Piagam UMNO-PAS Akan Dimeterai Dalam Masa Terdekat – Zahid

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, piagam antara UMNO dan PAS akan dimeterai di antara presiden kedua-dua parti dalam masa terdekat ini.

Jelas beliau, piagam ini kelak akan mengukuhkan lagi hubungan antara UMNO dan PAS sejak mereka terpisah pada tahun 1978.

“Pada tahun 1978, PAS merasakan UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengkhianati mereka tapi saya Zahid Hamidi akan memastikan UMNO tidak akan mengkhianati PAS.

“Komitmen PAS luar biasa jadi mana mungkin kita akan khianati mereka. UMNO sudah dapat kifarah… sudah terantuk maka kita akan setia dengan rakan sejati kita iaitu PAS,” ujarnya ketika merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO bahagian Tangga Batu malam tadi.



Dalam ucapannya Zahid turut menegur seorang menteri kabinet kerana menjadi ketua Syiah di negara ini sedangkan Malaysia mengamalkan ajaran Sunnah wal Jamaah.

“Apa nasib agama Islam di negara ini apabila mereka mula meminggirkan sekolah dan kelas Islam.

“Mana mungkin Tabung Haji yang diuruskan mengikut hukum syarak membenarkan Menteri Kewangan daripada Dap mencampurinya? Soal agihan zakat di Pulau Pinang juga dicampuri,” katanya.

Oleh itu, katanya, UMNO perlu memperjuangkan keadilan dan hak rakyat semua kaum malah memelihara segala kepentingan mereka.



“Mereka menuduh UMNO-PAS sebagai Taliban dan fanatik sedangkan mana pernah orang bukan Islam dibunuh sepanjang PAS memerintah Kelantan.

“Sebenarnya mereka cuba menakut-nakutkan rakyat kerana mereka sendiri bimbang dengan kerjasama dua parti ini,” ujarnya lagi.

Dalam isu lain, Zahid berkata beliau melantik Tengku Razaleigh sebagai Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO dan Datuk Seri Najib Razak sebagai Pengerusi Majlis Penasihat BN kerana khidmat mereka sangat berguna dan khidmat mereka juga masih diperlukan.

“Perlantikan BossKu ditentang oleh beberapa pihak, termasuk dalam UMNO sendiri kerana merasakan diri mereka tergugat, walhal mereka ini adalah orang yang tidak tahu menerima kekalahan dan menghormati suara majoriti,” katanya lagi. – MediaUMNO



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker