PEMIMPIN AMANAH YANG LEBIH WAN JI DARI WAN JI

Tergelak seketika saya bila membaca kenyataan pemimpin AMANAH yang menggunakan definisi yang diberikan oleh Wikipedia ke atas ‘hate speech’ bagi menghujahkan betapa “(beliau) tidak nampak kenyataan Wan Ji boleh dikategorikan sebagai ‘hate speech’”.

Definisi ‘hate speech’ yang diberikan oleh Wikipedia adalah “kenyataan menghentam ataupun menimbulkan prejudis berasaskan kepada ‘protected attributes’ seperti keturunannya, kaumnya, agamanya, warna kulitnya, asal negaranya, kecacatan tertentu padanya, jantina atau kecenderungan seksualnya”. Oleh itu, mengikut definisi yang beliau faham ini, “menghentam seorang raja kerana perangai dan sikap raja tersebut bukanlah ‘hate speech’”.

‘Hate speech’ adalah konsep undang-undang, sudah sewajarnyalah digunakan definisi yang diberikan oleh peruntukan akta, penghakiman mahkamah, kenyataan pakar undang-undang atau kenyataan kumpulan hak asasi manusia, bukan Wikipedia, untuk berhujah mengenainya.

Dalam bahasa paling mudah, ‘hate speech’ atau ‘ucapan kebencian’ sebenarnya bolehlah difahami sebagai apa-apa ucapan yang menimbulkan kebencian ke atas sesuatu pihak.
Malah inilah juga definisi yang diberikan oleh kumpulan hak asasi manusia, SUARAM, dalam laman webnya pada 27 Julai 2018, iaitu “an expression of hatred towards another person or group of people” (“pernyataan kebencian terhadap seseorang individu atau sekumpulan manusia”).



Dan inilah juga definisi yang diberikan oleh pakar undang-undang, Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi, dalam The Star pada 28 Februari 2019, iaitu “public expressions that spread, incite, promote or justify hatred… towards a specific group” (“pernyataan awam yang menyebar, mencetus, mempromosi atau menjustifikasi kebencian… terhadap sesuatu kumpulan tertentu”).

Dalam konteks Raja atau Kerajaan, Akta Hasutan menyebutkan perkara yang sama, iaitu pernyataan yang mendatangkan kebencian, penghinaan, perasaan tidak puas hati atau tidak setia terhadap mana-mana Raja atau Kerajaan atau di kalangan rakyat.

Inilah juga yang diputuskan oleh mahkamah dalam kes Pendakwa Raya lwn. Ooi Kee Saik and Others (1971) 2 MLJ 108, iaitu kritikan terhadap Raja atau Kerajaan adalah dibenarkan tetapi ia tidak lagi dibenarkan jika ia mempunyai kecenderungan untuk mencetuskan kebencian, penghinaan atau perasaan tidak setia terhadap Raja atau Kerajaan.

Menariknya, sepanjang penelitian saya ke atas penghakiman bertulis sepanjang 40 muka surat bertarikh 2 Julai 2018 yang diberikan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Mohd Sabri Ismail, Wan Ji sendiri tidak pernah menafikan bahawa kata-kata yang beliau keluarkan seperti yang tertera di bawah ini adalah bersifat menghasut atau menimbulkan kebencian:
(1) “Jenis syaitan tak baca hadis Nabi…”
(2) “Bahana bodoh agama tapi nak jadi ketua agama…”
(3) “Perasan bagus, tapi bodoh agama…”
(4) “Buang je Sultan-Sultan ni…”
(5) “Perabis duit rakyat…”
(6) “Si syaitan ni buat projek pembodohan…”
(7) “Bila orang bodoh, dia akan berkuasa…”
(8) “Firaun moden…”
(9) “Nak kaya dalam keadaan bodoh adalah jadi Sultan…”
(10) “Kalau di Malaysia, yang buat kerja (pembodohan) ni adalah UMNO dan Sultan…”



Sebaliknya, mengikut hakim, apa yang beliau lakukan untuk membela diri hanyalah dengan menegaskan bahawa “beliau bukan orang yang telah menerbitkan penerbitan-penerbitan menghasut tersebut” yang didapati oleh mahkamah “merupakan satu penafian kosong semata-mata tanpa disokong oleh sebarang bukti atau mana-mana saksi bebas yang lain”.

Oleh itu, bila pemimpin AMANAH tersebut mendakwa bahawa “(beliau) tidak nampak kenyataan Wan Ji boleh dikategorikan sebagai ‘hate speech’” ia adalah sesuatu yang melucukan sekali kerana Wan Ji sendiri tidak pernah menafikan ia adalah ‘hate speech’.

Apa pun, maaf saya ucapkan kepada pemimpin AMANAH tersebut jika saya ada terkasar bahasa di mana-mana dalam tulisan saya, dan pujian boleh saya berikan kepada beliau atas kesudian beliau untuk berdialog secara santai melalui medium Facebook dengan saya.

Dr. Kamarul Yusoff



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker