Isu bekas banduan: PKR panik jika rakyat tolak Anwar

PKR dilihat bukan sahaja tidak senang duduk, malah mulai panik apabila Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan menyentuh status Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bekas banduan, baru-baru ini.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Machang, Mohd Fakaaruddin Ismail berkata, jika isu itu terus dimainkan, penerimaan rakyat terhadap Anwar sebagai bakal Perdana Menteri akan merosot kerana tidak ada orang yang inginkan pemimpin mereka seorang bekas banduan.

Maka katanya, ramai ahli PKR kini melenting seolah-olah terkena bola api sehingga ada yang membuat laporan polis dan mendesak Takiyuddin menarik balik kenyataan tersebut.

“Pada hemat saya, perkara ini sebenarnya seperti terkena ludah mereka sendiri dan apa yang menjadi topik utama adalah kerisauan ahli PKR terhadap bakal perdana menteri itu sendiri.



“Jika bekas banduan itu disabitkan dengan kesalahan jenayah politik atau kesalahan ringan yang lain mungkin boleh diterima akal, namun bekas banduan ini kesalahannya memalukan iaitu meliwat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Rabu minggu lalu, Takiyuddin dilaporkan melontarkan persoalan sama ada rakyat mahu seorang bekas banduan seperti Anwar sebagai bakal Perdana Menteri dalam satu ceramah di Taman Indah, Sandakan, Sabah.

Mohd. Fakaaruddin dalam pada itu berkata, beliau tertanya-tanya adakah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sanggup melepaskan jawatannya kepada seorang bekas banduan, lebih-lebih lagi isu tersebut hangat diperkatakan sekarang.

Kata beliau, banyak perkara perlu diambil kira oleh Dr. Mahathir kerana jika beliau tetap melepaskan jawatan tersebut kepada Anwar, secara tidak langsung Pakatan Harapan (PH) diramalkan akan terus merudum secara sendirinya.



“Orang kuat Anwar ketika ini berada dalam keadaan risau dan ketakutan sekiranya Presiden mereka tidak berjaya diangkat sebagai Perdana Menteri, dalam bahasa mudahnya, kepentingan peribadi mereka dan DAP sekali lagi terbantut.

“Agenda tersembunyi PKR dan DAP mahu merealisasikan ‘Malaysia untuk bangsa Malaysia serta menghapuskan kuasa Melayu dan Islam akan gagal sekiranya Dr. Mahathir enggan menyerahkan jawatan kepada seorang bekas banduan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker