Kami mahu ekonomilah, bodoh.

Nak kerja, nak duit, tak nak politik

PERNYATAAN It’s the economy, stupid! (Ia adalah hal ekonomi, bodoh!) bunyi agak kasar tetapi sila baca dari segi konteks ayat. Hanya dengan cara ini, anda mungkin belajar sesuatu daripada Merrepak hari ini.

It’s the economy, stupid! merupakan frasa yang dicipta oleh pakar strategi kempen pilihan raya untuk Presiden Bill Clinton pada 1992 iaitu James Carville bagi menekankan isu paling penting kepada para pengundi. Ayat itu berkembang menjadi satu bentuk pemikiran iaitu ekonomi akan mengatasi atau menerajui segala bentuk penggubalan dasar kerajaan.

Pendekatan kempen Clinton 27 tahun lalu itu, secara ringkasnya menumpu kepada merubah pendirian pengundi bahawa mereka akan memilih parti yang memberi mereka kelebihan ekonomi. Seandainya ekonomi bagus, mereka akan mengundi parti pemerintah. Jika ekonomi mencabar, parti lawan memiliki kelebihan.



Jadi apakah keputusan pilihan raya kecil DUN Rantau baru-baru ini berkaitan ekonomi? Ramai beranggapan dan merumuskan demikian, termasuk kalangan penyokong kerajaan sendiri.

Sebelum anda menguap dan hilang daya tumpuan selama-lamanya terhadap artikel ini, berikut adalah senarai Merrepak berkaitan kemahuan kita semua terhadap kerajaan sekarang, ketika ekonomi negara berterusan tidak menentu:

1. Meluat politik
Adalah sangat malang dan tidak salah sesiapa pun, sejak 9 Mei 2018, negara terus menerus berdepan dengan pilihan raya kecil. Setiap kali itu jugalah kerajaan dan pembangkang menghalakan senjata dan menembak masing-masing. Setiap kali itu jugalah perasaan kita terbakar, tersiat dan terpalit. Segala keputusan kerajaan dianggap tidak ikhlas iaitu sekadar mahu meraih undi. Segala tindak-tanduk pembangkang dikecam, atas dasar politik. Kita di tengah-tengah sakit kepala.

2. Konsisten buat keputusan
Minggu lalu, kerajaan secara rasmi meneruskan projek ECRL, walaupun melencong ke Negeri Sembilan. Tiada siapa lupa pada satu ketika dua menteri kanan bertentangan kenyataan. Seorang kata batal, seorang kata tidak. Bab ini diklasifikasikan sebagai bukti tiada konsistensi di pihak kerajaan. Ia dibaca oleh pelabur asing dan tempatan sebagai `bukan tempat pelaburan selamat’.



3. Cukai apa lagi?
Selepas meraih undi dengan mengecam GST, ramai mendapati SST tidak menurunkan harga sama sekali. Makin naik lagi ada. Paling terbaharu, cukai 6 peratus ke atas dikenakan bagi pembelian perkhidmatan digital seperti Netflix, Spotify dan banyak lagi termasuk pembelian iklan, bermula 1 Januari 2020. Satu lagi ialah cukai pelepasan ke luar negara sebanyak RM20 bagi ASEAN dan RM40 di luar ASEAN mulai 1 Jun ini. Malas sudah hendak cerita cukai soda. Entah apa lagi cukai baharu hendak diperkenalkan.

4. Kesungguhan
Tiga minggu lagi genap setahun PH menjadi kerajaan, semua dapat melihat betapa sulitnya mereka hendak memenuhi janji-janji manifesto. Mungkin rakyat tidak akan terlalu terasa hati jika melihat wujud kesungguhan di pihak PH untuk memenuhi janji-janjinya. Satu elemen penting yang perlu dihentikan ialah menyalahkan kerajaan lama sebab lagu itu sudah basi. Buat kerja, pamerkan komitmen. Itu kita mahu.

5. Ubat betul
Bagaimana hendak cepat pulih jika sakit kepala sekadar diberi ubat penahan sakit? Bila sudah dikenal pasti betapa tenatnya ekonomi atau kedudukan kewangan sesuatu syarikat milik kerajaan (GLC) contohnya, lantiklah orang yang betul-betul berwibawa dan strategi pemulihan yang telah disaring banyak tahap sebelum dilulus untuk dilaksanakan.

6. Malaysia baharu
Kelakarnya orang yang berkobar-kobar meneriak Malaysia Baharu dahulu, kini tidak lagi rancak menuturkannya. Ini kerana realiti sudah melempang ke muka. Hal orang yang didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah, tidak menukar realiti dihadapi rakyat bahawa peluang kerja tidak juga banyak, gaji tidak juga naik dan harga barangan tidak juga turun-turun.



7. Kebebasan media
Dalam tempoh peralihan sejak 9 Mei 2018, selain kerajaan hari ini berusaha menyesuaikan diri dengan kewujudan kuasa baharu, begitu juga kepada media massa yang terdorong menyusun semula hala tuju pemberitaan masing-masing. Semua media arus perdana senada menyokong kerajaan yang berkuasa hari ini, dan tidak berkelakuan seperti sesetengah media pada zaman sebelum ini yang terang-terang menentang kerajaan.

8. Bermusuh dengan semua
Semakin kerap pula pemimpin PH melahirkan rasa tidak puas hati kerana tidak menerima kerjasama daripada sesetengah penjawat awam dan swasta. Itu sudah adat. Janganlah ajak bergaduh semua orang yang tidak menyokong. Buktikan kepimpinan dan tunaikan janji, itu pasti akan menukar pendirian mereka.

9. Senada
Ini ialah berkaitan mengeluarkan kenyataan yang tidak senada seirama. Ada kementerian yang menterinya dari parti lain, timbalan parti lain. Bila timbalan mengumumkan sesuatu perkara yang kemudiannya dielak untuk diulas oleh menteri, isyarat yang diterima oleh rakyat ialah kementerian itu ada dua peneraju sebenarnya yang menjaga kepentingan parti masing-masing.

10. Fokus pulih ekonomi
Apakah menukar nama-nama inisiatif kerajaan lama akan membantu menaikkan angka-angka pelaburan negara yang menunjukkan tahap negatif sekarang? Apakah usaha menyakinkan pelabur asing supaya tidak membawa keluar ekuiti mereka?.



Harga minyak petrol walaupun tidak naik sebenarnya tidak juga turun-turun seperti dijanjikan, harga barangan pasca-GST tiada perubahan dengan SST. Tolonglah, tumpukan perhatian kepada usaha pemulihan ekonomi, ekonomi dan ekonomi. Belajarlah dari Clinton sekali ini.

Johardy Ibrahim
Utusan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker