Pastikan Rantau untuk anak Rantau

Pengundi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau diminta memilih calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan yang merupakan anak tempatan dan telah lama berkhidmat kepada penduduk di kawasan itu.

Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat lebih mengetahui keperluan dan isu masyarakat setempat berbanding calon Pakatan Harapan (PH), Dr. S. Streram.

“Atas dasar jasa dan banyak yang telah dibuatnya, kita kena ingat. Kita nak tanamkan bahawa kita kena beri kemenangan kepada orang yang tahu denyut nadi dan perit maung rakyat.

“Saya difahamkan beliau banyak membantu penduduk memiliki tanah tak kira orang Melayu atau kaum lain. Sebab itu kena pilih anak Rantau. Streram ini datang dari mana? Dia dari Klang (Selangor),” katanya.



Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Mesra Bersama Pemimpin anjuran Jentera BN Pusat Daerah Mengundi Taman Angsamas di sini malam ini.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri Johol, Saiful Yazan Sulaiman.

Menurut Reezal Merican, Mohamad adalah pemimpin yang banyak memainkan peranan dalam kerjasama UMNO dan Pas demi memastikan agenda penyatuan umat Islam di negara ini.

“Tuhan takdirkan PRK demi PRK dan menemukan Pas dan UMNO. Bertemu di laluan perjuangan yang sama. Tuhan takdirkan juga PRK di Rantau sebab yang bertanding adalah Tok Mat.



“Beliau sekarang sedang mengetuai gagasan besar, perjuangan orang Islam dan menemukan parti Melayu iaitu UMNO dengan parti Islam, Pas. Sebab itu hanya ada satu pilihan iaitu memastikan kemenangan besar beliau kerana ia bernilai untuk parti dan negara,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker