Promosi Siapa Hussain: Umno desak Mujahid sekat penyebaran Syiah

Ketua Pemuda Umno Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mendesak Datuk Mujahid Yusof Rawa menggerakkan pihak berkuasa agama menyekat penyebaran fahaman Syiah selepas gambar sepanduk Siapa Hussain di Kuala Lumpur tersebar di media sosial.

Beliau berkata menteri di Jabatan Perdana Menteri harus bertindak segera dan tegas menguatkuasakan undang-undang terhadap ajaran yang bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Dasar keterbukaan dan kebebasan bawah Malaysia Baharu mestilah ada batasan agar tidak membiarkan doktrin yang sesat lagi menyesatkan menular…hingga boleh membawa kemudaratan lebih besar kepada kestabilan dan keharmonian negara,” katanya di Facebook.

Bekas timbalan menteri di JPM itu kesal dasar kelunakan dan keterbukaan kerajaan Pakatan Harapan “membiarkan ada pihak yang berani mempromosikan doktrin Syiah secara terbuka”.

“Walaupun menteri sentiasa melaung-laungkan prinsip ‘Rahmatan Lil Alamin’ yang diamalkan kerajaan hari ini, namun ia tidaklah bermakna kita bebas membiarkan kesucian Islam mula dicabuli dengan membenarkan doktrin songsang dan menyesatkan seperti Syiah disebarkan secara terbuka,” katanya.

Asyraf mengingatkan kebanyakan negeri memfatwakan fahaman Syiah sebagai sesat, “seiring dengan ‘maqasid syariah’ atau tujuan sesuatu pensyariatan hukum iaitu yang paling utama iaitu ‘Hifz al-Deen’ atau memelihara kesucian agama termasuk aqidah”.

“Dalam konteks ini, Islam membenarkan pemerintah untuk mengadakan sesuatu peruntukan undang-undang dan menguatkuasakannya demi menjaga maslahah agama Islam,” katanya.

Asyraf merujuk kepada gambar sepanduk “Who is Hussain?” yang didirikan berdekatan stesen monorel Bukit Bintang.

Hussain, atau Husayn Ali adalah cucu kepada Nabi Muhammad dan kisah mengenainya sering dikaitkan dengan pengikut fahaman Syiah.

Promosi tersebut mengajak pengunjung melayari laman web mengenai gerakan sebalik kempen itu dan menawarkan pek penerangan.

Pihak berkuasa Islam di Malaysia menganggap Syiah, fahaman yang terkenal dalam kalangan umat Islam di beberapa negara Timur Tengah, sebagai “menyimpang”, dengan khutbah Jumaat sering memberi amaran kepada umat Islam negara ini menolak ajaran tersebut.

Fatwa 1996 oleh Majlis Fatwa Kebangsaan melarang ajaran Syiah. Sejak itu, perjumpaan pengikut Syiah sering diserbu dan ditangkap, di mana pengikutnya didakwa dengan kesalahan jenayah di bawah undang-undang syariah.

FMT

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.