Daim di belakang kempen sekat Anwar, kata pemimpin PKR (video)

Seorang pemimpin PKR menamakan ketua penasihat kerajaan, Tun Daim Zainuddin sebagai antara individu yang berusaha menyekat Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada menjadi perdana menteri seperti dipersetujui dalam perjanjian bersama pimpinan Pakatan Harapan (PH) sebelum pilihan raya umum Mei lepas.

Bercakap dalam satu acara di Seremban Sabtu lepas bagi menyokong pencalonan Rafizi Ramli, yang mencabar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk kerusi timbalan presiden dalam pemilihan PKR bulan depan, Ahli Parlimen Kapar Abdullah Sani berkata, terdapat usaha untuk menyekat Anwar mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Banyak pihak cuba menghalang Anwar daripada menjadi perdana menteri. Ya kita tahu mereka bersekongkol dengan pihak yang menzalimi Anwar. Saya sebut terang-terang, Tun Daim Zainuddin, ya peranan beliau untuk memastikan…kalau kita tidak pilih Rafizi Ramli hari ini, sudah barang tentu kesukaran yang akan digalas oleh Anwar atas kedudukan beliau sebagai perdana menteri.

“Apakah saudara bersetuju kalau kita biarkan kesengsaraan Anwar berulang kembali?” soal Abdullah dalam satu ucapan penuh semangat bagi menyokong Rafizi dan pasukannya dalam pemilihan parti kali ini.

Rafizi, naib presiden PKR dan bekas Ahli Parlimen Pandan, menyatakan sokongan beliau kepada Anwar dalam kempen merebut jawatan No 2 PKR itu.

Rafizi berkata, beliau mewakili semangat “reformasi” PKR, slogan pembaharuan yang membawa kepada penubuhan parti itu 2 dekad lepas berikutan protes terhadap tindakan Dr Mahathir memecat Anwar Ibrahim sebagai timbalan beliau pada 1998.

Beberapa bulan sebelum pemecatan itu berlaku, Dr Mahathir memanggil semula Daim daripada pesaraan, untuk mengetuai Majlis Penasihat Ekonomi Negara (NEAC) yang ditubuhkan bagi menangani krisi ekonomi ketika itu.

Anwar dalam banyak ucapannya sebelum ini pernah menuduh Daim terlibat dalam konspirasi untuk menamatkan kerjaya politik beliau.

Dalam pilihan raya umum lalu, Daim terlibat aktif berkempen untuk calon PH, termasuk daripada PKR.
Berikutan kemenangan mengejut pakatan politik itu kemudiannya, Dr Mahathir melantik Daim mengetuai sebuah majlis 5 anggota yang dinamakan Majlis Penasihat Kerajaan untuk menasihati pentadbiran beliau sepanjang tempoh 100 hari pertama ia berkuasa.

Dalam satu perjanjian ditanda tangani pemimpin parti komponennya, PH bersetuju menamakan Anwar sebagai pengganti Dr Mahathir untuk jawatan perdana menteri.

Walaupun tempoh masa tertentu tidak dinyatakan, Dr Mahathir mengisyaratkan beliau akan memegang jawatan itu selama 2 tahun, atau lebih lama lagi sekiranya rakyat mahukannya.

One thought on “Daim di belakang kempen sekat Anwar, kata pemimpin PKR (video)

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.