Pemilihan PKR: Kemungkinan berakhirnya legasi Anwar

Share


Pemilihan PKR Ogos ini dianggap sebagai getir kerana berkemungkinan besar bakal menjadi medan berakhirnya penguasaan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam parti yang ditubuhkan bagi mem­bela dirinya.

Penganalisis politik, Dr. Ainul Adzellie Hasnul mendakwa, tindakan Timbalan Pre­siden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang masih berteka-teki berhubung pendirian beliau menjadi asas kukuh untuk menyatakan bahawa Anwar bakal ditentang dalam pemilihan kali ini.

Katanya, Mohamed Azmin kini berada pada tahap keyakinan tertinggi berdasarkan rekod membanggakan me­mimpin PKR memenangi Pi­lihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, mentadbir negeri Selangor dengan berjaya sehingga dipilih Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memegang portfolio utama negara.

Jelas beliau, Mohamed Azmin tidak boleh mengambil pendekatan ke terbelakang dengan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR, dan demi kelangsungan masa depan politik beliau mahu atau tidak jawatan Presiden PKR adalah matlamat utama ketika ini.

“Mohamed Azmin bukan orang baru dalam politik PKR, beliau sudah berada di dalam parti itu sejak 1998 lagi. Beliau juga mempunyai penyokong tersendiri, jika Anwar dianggap sebagai penyatu kepada PKR, Mohamed Azmin pula dianggap sebagai ikon baharu dalam kalangan generasi muda di dalam parti itu.

“Dakwaan kewujudan dua kem dalam PKR turut me­ngu­kuhkan lagi kemungkinan Mohamed Azmin akan bertanding kerusi Presiden PKR. Kewujudan dua kem ini bukan perkara baharu, malah telah berlaku sejak sekian lama semasa Anwar masih berada di dalam penjara lagi,” katanya kepada Mingguan Malaysia hari ini.

Mengulas lanjut, Ainul Adzellie berkata, peluang untuk dua figura hebat dan berpe­ngaruh berkenaan memenangi jawatan Presiden adalah sama rata atau 50/50.

Katanya, Anwar akan mene­rima sokongan penuh dalam kalangan ahli asal reformasi 1998, manakala Mohamed Azmin begitu popular dalam kalangan anak-anak muda yang melihat beliau adalah masa hadapan PKR.

“Harus diingatkan, majoriti pejuang reformis 1998 kini sudah menjadi otai dan kebanyakan mereka tidak lagi aktif dalam parti. Keadaan ini memberi kesan kepada sokongan yang bakal diberikan kepada Anwar,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Zainal Kling berlainan pula nadanya, beliau berpendapat Anwar tidak akan ditentang oleh mana-mana pihak sekali gus diangkat menjadi Presiden tanpa bertanding.

Namun begitu, katanya, jawatan Timbalan Presiden bakal menjadi pertaruhan antara Mohamed Azmin dan Rafizi Ramli.

“Kita tak dapat tolak balak berlakunya pertembungan pe­ribadi dalam usaha mendapatkan sokongan. Rafizi se­perti diketahui seorang kritis dan keras dalam menyatakan pendirian,” katanya.

Utusan



3 thoughts on “Pemilihan PKR: Kemungkinan berakhirnya legasi Anwar

  • July 29, 2018 at 10:37 pm
    Permalink

    Madey bukan suka nuar sbb suka kacau kroni dan anak dia

    Reply
  • July 30, 2018 at 10:53 pm
    Permalink

    Maahathir sure suruh Azmin tanding presiden Pkr punya

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *