Jangan buat U-turn bila sudah jadi kerajaan.

Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung manifesto yang disifatkannya hanya panduan dan bukan kitab suci, dikhuatiri membuka ruang kepada Pakatan Harapan (PH) melakukan banyak ‘pusingan U’ untuk tidak melaksanakan janji.

Setiausaha Pengelola Angkatan Muda Keadilan, Ahmad Syukri Che Ab Razab, berkata lebih membimbangkan apabila simptom pusingan U itu dikesan berlaku sejak perubahan kerajaan 9 Mei lalu.

“PH sebelum ini berjanji memansuhkan Biro Tatanegara (BTN), namun baru-baru ini BTN dikatakan akan dikekalkan dengan perubahan tertentu pada pengisiannya.

“BTN yang dimulakan oleh Dr Mahathir pada 1982 tidak jadi dimansuhkan, mungkinkah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang turut diperkasakan Dr Mahathir pada 1974 akan mengalami nasib sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Syukri berkata, tindakan itu menggambarkan manifesto sebelum pilihan raya umum lalu tidak dibina atas asas yang kukuh walaupun semua pihak maklum ia adalah natijah pungutan suara rakyat hasil perjuangan sebelum ini.

“Walaupun manifesto bukan kitab suci, dokumen terbabit perlu dimuliakan sebagai janji yang membuka laluan untuk PH berjaya.

“Justeru, PH perlu memiliki tekad dan iltizam untuk melaksanakan semua manifesto berkenaan.

“Jika ada keperluan untuk meminda sesuatu janji, hal itu mesti dibuat dengan memuliakan suara rakyat mengikut kaedah pungutan suara atau referendum.

“Kerajaan PH perlu tegas dalam memulakan pendekatan baharu bagi mewujudkan era pemerintahan baharu,” katanya.

Katanya, kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya mengubah janji kerana sikap meremehkan janji dan membelakangkan rakyat perlu ditamatkan secara total.

Dr Mahathir semalam dilaporkan berkata, manifesto PH bukan seperti kitab Injil, sebaliknya hanya panduan kepada kerajaan dan atas sebab itu ada beberapa perkara tidak boleh dilaksanakan seperti digariskan dalam manifesto berkenaan.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *