“Bab Salah Dan Dosa, Saya Kena Tegur..Artis Berhijab Tak Sesuai Guna Kain Warna Kulit..” – Jaafar Onn

Artis serba boleh Jaafar Onn, 70, mendesak golongan pereka fesyen agar tidak menggunakan kain jenis warna kulit untuk rekaan pakaian artis berhijab bagi mengelakkan salah faham masyarakat.

Ia berikutan kontroversi membabitkan artis Nabila Razali yang dikecam peminat gara-gara dikatakan berpakaian seksi dan menampakkan bahagian dada sedangkan dia menggunakan pakaian warna kulit.



“Salam untuk semua pereka fesyen. Hentikan guna kain ‘skin colour’ (warna kulit) untuk rekaan anda pada artis yang berhijab,” luahnya menerusi Facebook.

 

Jaafar dihubungi berkata dia terpanggil untuk menyuarakan perkara itu sebagai inisiatif membetulkan keadaan.

“Mereka sengaja cari dosa. Kebanyakan pereka fesyen ini adalah golongan lembut. Mereka fikir cantik pada pandangan sendiri sahaja dan nak menampakkan artis itu seksi walaupun si artis memakai tudung.



“Artis pula tak fikir mengenai perkara ini dan terus setuju. Main pakai sahaja tanpa bantahan yang sepatutnya.

“Saya pernah tegur seorang artis wanita veteran, ketika dia muncul di TV pakai turban tapi dedah bahagian dada dan bahu. Walaupun bahagian terdedah itu sebenarnya kain warna kulit, tapi ia tak manis dilihat. Sebab teguran itu juga, sampai sekarang dia tak tegur saya dah,” katanya kepada Harian Metro.



Jaafar yang kini popular dengan filem 18 Puasa Di Kampong Pisang berkata, dia seorang yang suka berterus terang dalam sesuatu perkara termasuk dalam isu pakaian ini.

“Saya cakap terus-terang dengan artis itu. Dahlah dia pakai turban,  tapi caranya pakai warna kulit nampak mengaibkan terutama kepada golongan sebayanya.

“Dalam dunia seni, saya dah dikira veteran. Walaupun orang labelkan saya lelaki lembut atau apa sahaja, saya patut menegur dari segi apa pun.

“Bab salah dan dosa, saya kena tegur dan mereka tak boleh nak pertikaikan. Saya bukan nak cari publisiti tapi ini tak sepatutnya berlaku,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan pereka fesyen orang Melayu dan setiap kali ada majlis anugerah, masing-masing mahu menunjukkan kehebatan mereka pakaian tanpa mengira dosa pahala.

“Jadi saya minta pereka fesyen, janganlah hasilkan baju guna warna kulit lagi. Zaman nak seksi, nak tunjuk dada, pinggang dengan guna kain warna kulit dah tak perlu lagi.

“Ingatlah kita dah akhir zaman. Saya tegur kerana umur saya dah begini. Jangan perkotak-katikkan hal pemakaian. Kalau orang lain tak boleh tegur, siapa lagi?



“Sebagai artis, saya nampak perkara ini dan perlu tegur. Nabila Razali baru habis satu isu, takkan nak timbulkan satu isu lagi?,” katanya.

Menurut Jaafar, artis popular pasti ada pembantu peribadi atau pegawai perhubungan dari syarikat rakaman, jadi takkanlah tak boleh fikir dan tolak jika pakaian diberi itu yang tak sesuai?-HM

SEMENTARA ITU…

“Maaf sebab rosakkan mata korang” – Nabila Razali menyesal ‘ganggu’ iman netizen gara-gara pakai tudung singkat

AKIBAT memakai pakaian yang agak ketat selain bertudung singkat, penyanyi Nabila Razali sekali lagi menjadi bahan kritikan netizen.



Ujar Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd Razali, 29, dia akan lebih berhati-hati dengan penampilannya sebagai wanita muslimah pada masa akan datang.

“Perkara itu berpunca daripada kekhilafan diri sendiri dan saya ingin meminta maaf sekiranya secara tidak langsung merosakkan pandangan orang ramai.

“Cuma pada malam itu saya mahu kelihatan presentable, tak sangka apabila bergambar nampak lain pula. Harap mereka semua doakan saya agar kekal iqstiqomah, ” ujarnya kepada mStar.

Dalam pada itu Nabila juga turut memberi kata-kata semangat kepada Tiktokers dikenali sebagai Suekhaizar yang kini menerima kecaman selepas muncul dengan single pertama berjudul Aku Budak Girl.



“Saya pun bukanlah lama sangat dalam bidang nyanyian ni, cuma apa yang boleh saya katakan ialah jangan putus semangat dan teruskan berkarya… lakukan perkara yang kita suka.

“Kita kena sentiasa terus belajar, jangan rasa seronok sangat apabila dah dapat views yang tinggi, perlu ada rasa ingin tahu dalam diri sendiri, ” katanya.

Suekhaizar teruk dikecam netizen kerana dikatakan tidak memiliki vokal yang baik untuk bergelar penyanyi sungguhpun lirik video lagunya itu kini ditonton lebih dua juta tontonan di YouTube.

[VIDEO] Andai Kata Nabila Razali Tak ‘Terkucil’, Memang Sedap! Komposer Kongsi Video ‘Rehearsal’ AJL35… Ramai Puji

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker