‘Mimpi ngeri’, kata bos majikan berhubung peraturan perjalanan

PETALING JAYA: Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berkata, perbezaan peraturan perjalanan yang ditetapkan antara negeri menyukarkan perniagaan.

“Ia bakal menjadi ‘mimpi ngeri’ bagi ahli perniagaan antarabangsa yang perlu membuat perjalanan ke Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” kata Pengarah Eksekutif MEF Shamsuddin Bardan berhubung pengumuman kerajaan mengenai ujian swab dan tempoh kuarantin melibatkan wilayah berbeza.

Shamsuddin memberitahu FMT bahawa peraturan itu perlu diseragamkan.



Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berkata, pengembara ke Sabah, Labuan dan Sarawak mesti menjalani ujian swab tiga hari sebelum berlepas.

Shamsuddin Bardan.

Mereka yang memasuki Sarawak akan dikuarantin selama 14 hari, namun tidak ada peraturan kuarantin bagi Labuan dan Sabah.

Shamsuddin berkata, peraturan perjalanan hendaklah ditetapkan berdasarkan fakta dan data sains berhubung keadaan semasa wabak Covid-19.

Beliau berkata, syarat kuarantin 14 hari ke atas pengembara “sangat menyekat”.



“Syarat itu akan memperlahankan langkah membantu perniagaan pulih kerana kebanyakan kakitangan syarikat tidak akan pergi ke Sarawak pada masa ini dan bersedia menunggu sehingga sekatan itu ditarik balik,” katanya.

Pengarah Eksekutif Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia Shaun Cheah bersetuju bahawa perbezaan dalam syarat perjalanan akan menimbulkan masalah, tetapi berkata, syarikat perniagaan boleh menyesuaikan diri.

“Selagi kerajaan membenarkan perjalanan antara negeri, ia sudah cukup baik untuk perniagaan,” katanya kepada FMT.

Cheah berkata, isu lebih besar yang perlu dihadapi oleh perniagaan membabitkan percanggahan dalam peraturan yang ditetapkan oleh Putrajaya, kerajaan negeri dan majlis tempatan.



Shaun Cheah.

“Contohnya, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mungkin memberi lesen kepada syarikat untuk menjalankan operasi kilang, tetapi kerajaan negeri hanya membenarkan kilang terbabit dibina di lokasi tertentu.

“Bagaimanapun apabila kilang dibina di lokasi yang dipersetujui, majlis tempatan mungkin enggan mengeluarkan lesen operasi.”

Beliau berkata, percanggahan itu menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan pelabur asing.

Cheah mencadangkan supaya kerajaan melibatkan pemegang taruh sebelum mengumumkan prosedur operasi standard atau dasar baharu.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker