Peguam negara digesa tidak bantah permohonan semakan kehakiman

 

PETALING JAYA: Peguam Negara Idrus Harun hanya perlu membantah permohonan kebenaran semakan kehakiman dalam kes remeh dan menyusahkan, kata peguam.

Peguam kanan Bastian Pius Vendargon berkata, peguam negara hendaklah menggunakan statusnya sebagai pelindung kepentingan awam secara berhemah dan hanya atas alasan undang-undang.



“Paras ambang bagi pemohon memperoleh kebenaran dan mencabar pihak berkuasa awam adalah rendah dan harus disokong, dengan syarat ia tidak remeh dan menyusahkan,” kata beliau.

Verdagon merujuk kepada trend terbaru peguam negara membantah permohonan sedemikian dalam kes yang menyaksikan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) menolak permohonan pendaftaran parti politik dan dalam cabaran perlembagaan terhadap penggantungan Parlimen serta Dewan Undangan Negeri semasa perintah darurat berkuat kuasa.

Bastian Pius Vendargon.

Bekas peguam negara Thomas Thomas semasa pelantikannya pada Jun 2018 mengumumkan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak lagi akan mengenakan bantahan menyeluruh terhadap kes permohonan semakan kehakiman.

Beliau berkata, pihaknya akan berunding dengan Majlis Peguam dan Jawatankuasa Peraturan bagi memansuhkan syarat dalam Peraturan Mahkamah yang menghendaki semua dokumen penghujahan dikemukakan kepada AGC.



Permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkan oleh pihak yang terkilan bagi mencabar proses pembuatan keputusan pihak berkuasa awam kerana melanggar peraturan keadilan semula jadi, undang-undang bertulis dan perlembagaan.

Pihak terbabit perlu mendapat kebenaran daripada Mahkamah Tinggi sebelum merit aduan didengar, dan satu salinan permohonan ini perlu dihantar kepada Jabatan Peguam Negara.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, peguam kerajaan kerap membantah permohonan kebenaran tersebut dengan alasan pihak yang terkilan tidak mempunyai kedudukan dari sudut undang-undang untuk mengemukakan permohonan semakan kehakiman.

Klausa pengecualian dalam undang-undang bertulis juga mengecualikan mahkamah daripada mendengar aduan sedemikian.



Muhammad Rafique Rashid Ali.

“Oleh itu, akses kepada keadilan dinafikan apabila hujah penuh litigan tidak didengar,” kata beliau.

Rafique berkata, status peguam negara berubah setelah permohonan kebenaran diluluskan kerana pegawai bawahannya (peguam kerajaan) akan bertindak mempertahankan keputusan dan tindakan eksekutif.

Peguam R Kengadharan berkata, banyak masa dan sumber disia-siakan apabila peguam negara membantah permohonan kebenaran itu.

“Setelah rayuan berjaya, perkara itu akan dikembalikan ke Mahkamah Tinggi agar merit kes tersebut dapat didengar,” kata beliau.



Kengadharan berkata, permohonan semakan kehakiman membantu dalam promosi dan pengembangan undang-undang perlembagaan dan pentadbiran di negara ini.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker