Proses tukar kereta MB Kelantan sama seperti negeri lain, tiada isu, kata Takiyuddin

Isu pembelian kereta jenis Mercedes Benz untuk kegunaan menteri besar Kelantan tidak perlu diperbesar dan dijadikan modal politik, kata Takiyuddin Hassan.

Setiausaha agung PAS itu berkata, proses menukar kenderaan rasmi bagi kegunaan menteri besar, exco dan pegawai kerajaan yang dibuat di Kelantan adalah sama seperti negeri lain.

Katanya, keputusan Kelantan memilih menggunakan jenama Mercedes Benz sudah tentu dikaji dengan teliti dari segi kelebihannya, termasuk melibatkan penjimatan kos penyelengaraan berbanding kenderaan lain yang kosnya berkemungkinan lebih tinggi.

“Bagi saya kenderaan yang dibeli itu sudah tentu dikaji kelebihannya. Keuntungan jangka panjang bagi pihak kerajaan, terutamanya dari segi penyelenggaraan.



“Kenderaan Mercedes ini memang diketahui umum harganya agak mahal, tapi kos selengara kenderaan itu lebih menguntungkan daripada setengah kenderaan lain yang harganya lebih murah. Itu memang saya kira ‘benda’ yang diketahui umum,” katanya kepada FMT.

Takiyuddin yang juga ahli Parlimen Kota Bharu berkata, mana-mana pihak tidak sepatutnya menjadikan isu tersebut sebagai modal politik menyerang kerajaan PAS Kelantan, memandangkan proses menukar kenderaan rasmi bagi kegunaan kerajaan adalah sama seperti negeri lain, dan bukan untuk kegunaan peribadi.

“Ia tidak digunakan untuk tujuan peribadi dengan menggunakan wang kerajaan,” katanya.

Mengulas perbandingan dibuat sesetengah pihak bahawa pembelian kereta Mercedes itu sebagai keterlaluan pada saat kerajaan pusat membatalkan hasrat menjadikan Toyota Vellfire sebagai kenderaan rasmi menteri selepas diktitik hebat termasuk oleh pembangkang, Takiyuddin berkata, isu tersebut berbeza dengan apa yang berlaku di Kelantan.



Katanya, beliau secara peribadi menyokong jika kerajaan mahu menjadikan Toyota Vellfire sebagai kenderaan rasmi menteri, tetapi bukannya menjadikan kenderaan itu tambahan selain Proton Perdana edisi limousine yang sedia ada.

“Isu ini berbeza dengan isu pembelian Vellfire sebab saya difahamkan ia adalah kenderaan tambahan kepada menteri. Mereka sudah mempunyai kenderaan biasa.

“Kalau kereta Proton Perdana, ia adalah jenis limousine
yang sudah bertaraf mewah. Kemudian nak ditambah pula dengan Toyota Vellfire.

“Kenapa perlu banyak kenderaan rasmi. Itu yang menimbulkan pembaziran. Saya tak kata kalau guna Vellfire satu pembaziran atau sebagainya. Kalau nak guna, guna salah satu sahaja. Tidak perlu banyak,” katanya.



Pejabat Menteri Besar Kelantan mengesahkan pembelian kenderaan rasmi baru untuk Ahmad Yakob, selepas tular di media sosial mengatakan kerajaan negeri menggunakan peruntukan khas RM400 juta untuk membeli Mercedes Benz model S 450 AMD.

Kenderaan itu dibeli bagi menggantikan kenderaan rasmi pemimpin negeri yang dibuat menerusi kenyataan timbalan menteri besar pada 12 Sep 2018.

“Kerajaan negeri mengambil keputusan untuk menggantikan kenderaan rasmi bagi kegunaan menteri besar dan exco negeri secara berperingkat setelah membuat penelitian mengenai kenderaan lama yang digunakan sejak 10 hingga 12 tahun lalu.

“Kenderaan rasmi menteri besar dengan nombor pendaftaran DV 1 adalah kenderaan yang digunakan sejak pentadbiran menteri besar Nik Abdul Aziz Nik Mat yang merupakan pemberian Sultan Kelantan,” menurut kenyataan itu.



Ia turut menafikan pembelian kenderaan itu menggunakan dana RM400 juta yang diberikan Putrajaya.

Sebelum ini tular di media sosial gambar kenderaan rasmi menteri besar dengan nombor plat DV 1 yang dikatakan bernilai hampir RM700,000.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Husam Musa dilaporkan berkata, kerajaan negeri membeli kereta mewah untuk kegunaan pegawai tingginya sedangkan negeri itu berdepan masalah kewangan.

FMT



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker