PKPP dilanjut hingga 31 Mac


Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob mengumumkan sekatan ke atas aktiviti awam di bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) akan dilanjutkan hingga 31 Mac depan.

PKPP yang dilaksanakan sejak 10 Jun lalu, sepatutnya berakhir semalam.

Ismail berkata, lanjutan itu susulan peningkatan kes aktif, khasnya dalam kalangan pekerja asing.

“Sehubungan itu, segala SOP di bawah PKPP terpakai dan tertakluk kepada perubahan yang akan diumumkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan.



Beliau berkata, pub dan kelab malam masih tidak dibenarkan beroperasi di bawah PKPP, kecuali perniagaan restoran di dalam pub serta kelab malam.

Katanya, sebarang aktiviti membabitkan kehadiran ramai sehingga menyukarkan penjarakan fizikal turut dilarang.

Ismail berkata, lebih banyak asrama pekerja asing di Johor akan diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan dipertingkatkan (PKPD) akibat lonjakan kes.

Ia termasuk asrama pekerja Westlite 1 dan 2 di Senai, Johor mulai esok hingga 15 Jan ini.



Penutupan itu membabitkan dua blok asrama terdiri daripada 444 penduduk, yang semuanya pekerja asing.

Katanya, asrama pekerja Kejora Juara di Bukit Pasir, Muar, turut dikenakan PKPD, selepas 212 kes positif COVID-19 direkodkan. Ia membabitkan 17 blok bangunan yang menempatkan 1,828 pekerja asing.

Dalam pada itu, PKPD di Apartment Ria, Bentong ditamatkan hari ini.

Mengenai kesalahan mengingkari arahan perintah kawalan pergerakan, Ismail berkata, 347 orang ditahan semalam, dengan 337 dikompaun dan baki 10 lagi direman.



“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti pusat hiburan (135), tidak memakai pelitup muka (109), gagal mematuhi penjarakan fizikal (54) dan gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (49).”

Beliau berkata, polis menahan 31 pendatang asing tanpa izin dan merampas lima kenderaan menerusi 110 sekatan jalan di seluruh negara semalam.

Katanya, seramai 95,466 individu yang pulang ke tanah air sejak 24 Julai hingga semalam menjalani kuarantin wajib di 74 hotel dan 16 institut latihan awam serta institusi pengajian tinggi swasta.

Daripada jumlah itu, seramai 7,440 individu sedang menjalani kuarantin wajib, manakala 540 orang dihantar ke hospital untuk rawatan dan 87,486 individu dibenarkan pulang. FMT



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker