Isu PM: Pembangkang buat pendirian jika PH gagal capai konsensus – Annuar

Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa berkata, anggota parlimen BN dan PAS hanya akan membuat pendirian sekiranya Pakatan Harapan (PH) gagal mencapai konsensus mengenai peralihan kuasa perdana menteri.

Beliau berkata sekiranya keadaan itu berlaku, BN dan PAS akan membuat pendirian bersama.

“Buat masa ini Umno belum berhasrat memutuskan sebarang ketetapan kerana ia dianggap masih terlalu “premature”. Soal peralihan kuasa PM ke-7 kepada PM ke-8 adalah urusan dalaman PH dan boleh ditentukan oleh 138 ahli Parlimen mereka.

“Hanya sekiranya PH gagal mencapai konsensus sesama mereka, barulah wujud keperluan blok pembangkang membuat pendirian.



“Bagi tujuan tersebut MKT (Majlis Kerja Tertinggi Umno) akan berunding terlebih dahulu. Parti komponen BN akan dirujuk dan PAS sebagai rakan Muafakat Nasional akan kita sepakati sebelum sebarang pendirian dibuat,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata keputusan parti itu kemudian akan disampaikan kepada ahli parlimen BN melalui Ketua Whip mereka, Mahdzir Khalid.

“Insha- Allah, apa jua keputusan parti nanti ia berupa keputusan ‘en bloc’ dan akan dipatuhi oleh semua Ahli Parlimen BN,” jelasnya.

Pada 24 Okt lalu enam anggota Parlimen Umno menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir Mohamad untuk berkhidmat sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal.



Pada masa yang sama, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan turut memberi jaminan kesemua 16 ahli Parlimen daripada parti itu turut memberi sokongan kepada Dr Mahathir.

Sokongan itu timbul di tengah-tengah spekulasi terdapat komplot belakang tabir yang diketuai bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein agar Mahathir kekal sebagai sebagai perdana menteri, sekali gus menghalang Presiden PKR Anwar Ibrahim daripada menggantikannya.

Bagaimanapun Hishammuddin menafikan dakwaan itu.

Annuar berkata, sokongan enam anggota parlimen Umno itu adalah pendirian peribadi mereka seperti dinyatakan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.



“Saya menyeru semua pihak agar tidak terlalu cepat membuat telahan atau konklusi, sebelum tiba masanya kita diperlukan berbuat demikian,” katanya.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker