Mahkamah Rayuan tolak permohonan batalkan PRU-15

 

PUTRAJAYA: Hari pengundian akan diteruskan pada Sabtu ini selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuan seorang pengundi dan bekas Ahli Parlimen untuk menghalang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Tiga panel hakim dipengerusikan Hakim Azizah Nawawi berkata, tiada merit dalam rayuan pengundi Pandan di Kuala Lumpur, Syed Iskandar Syed Jaafar dan bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.



Azizah dan dua lagi panel, Hakim Che Ruzima Ghazali serta See Mee Chun berkata, hakim Mahkamah Tinggi membuat keputusan betul apabila membatalkan saman difailkan pada 28 Okt itu atas alasan tidak boleh diadili dan dipertikaikan di mahkamah.

“Budi bicara mutlak Yang di-Pertuan Agong untuk bersetuju dengan permohonan perdana menteri bagi membubarkan Parlimen tidak boleh dibawa ke mahkamah atas alasan ia tidak boleh diadili,” katanya.

Katanya, kedua-dua perayu memohon arahan berbangkit (sekiranya rayuan dibenarkan) tetapi kata hakim, SPR tidak boleh dikawal atau dihalang daripada menjalankan tanggungjawabnya mengikut Perlembagaan Persekutuan.

“Ia tidak seiring dengan undang-undang kerana SPR mempunyai tanggungjawab Perlembagaan untuk menjalankan pilihan raya dalam tempoh 60 hari selepas Dewan Rakyat dibubarkan,” katanya.



Parayu menamakan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan dan SPR dalam saman itu.

Pada 28 Okt lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Kamal Md Shahid menolak saman Syed Iskandar dan Santiago dengan alasan pembubaran Parlimen tidak boleh diadili dan tidak boleh ditentukan mahkamah.

Ahmad Kamal berkata, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa mutlak untuk membuat keputusan untuk membubarkan Dewan Rakyat atau tidak selepas menerima permohonan perdana menteri.

Syed Iskandar yang juga seorang peguam memohon pengisytiharan permohonan Ismail untuk membubarkan Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong pada 9 Okt lalu adalah tidak sah, terbatal dan tiada kuasa atau kesan.



Santiago pula memohon pengisytiharan permohonan Ismail untuk membubarkan Parlimen tidak mengikut Perlembagaan kerana ia dibuat tanpa persetujuan Jemaah Menteri.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker