Juang Cipta Sejarah Dunia Perfileman Malaysia, Tampilkan Enam Pengarah Hebat

Di kala pandemik Covid-19 dilihat telah melumpuhkan hampir semua sektor di dunia, namun ia tidak dapat ‘membunuh’ satu perkara yang ada dalam diri para pelaku seni tempatan.

Biarpun Malaysia ikut terkesan dengan pandemik yang tersebar sejak Disember 2019, para pelaku seni tetap ‘hidup’ dengan idea sekali gus membawa mereka kepada pembikinan sebuah projek mega yang tak pernah direncana sebelum ini.

Mempersembahkan buat julung kalinya dalam sejarah penerbitan dunia filem Malaysia, tiga syarikat gergasi tempatan iaitu Asia Tropical Films (Matt Lai), The Film Engine (Jack Lim) dan Suhan Movies (Datuk Rosyam Nor) bergabung dengan satu misi.



Di bawah projek tiga rumah produksi ini, mereka turut mencipta sejarah tersendiri apabila berhasil merekrut enam pengarah. Mereka bukan calang calang dan telah menabur bakti serta menghasilkan pelbagai projek filem yang diiktiraf di dalam juga luar negara.

Antara pengarah nama-nama besar yang terlibat dengan adalah Aziz M. Osman, Yusry Abdul Halim, Kabir Bhatia, Osman Ali, Matt Lai dan Erma Fatima.

Selain itu, ‘berJUANG’ bersama mereka adalah 200 pelaku seni serta 100 barisan pelakon yang siap memberi kejutan betapa karya yang akan dihasilkan pada musim pandemik ini punya nilai yang tidak mungkin dilupakan.

Seramai enam orang pengarah yang akan terlibat iaitu Matt Lai, Aziz M. Osman, Eirma Fatima, Osman Ali, Kabir Bhatia dan Yusry Abdul Halim.

Memakai nama kata Juang untuk judul filem, ia diambil daripada perkataan ‘Perjuangan’ yang bermaksud melawan. Projek mega ini kelak akan menampilkan lima kisah berlainan latar namun mengambil semangat dan cerita bagaimana setiap satu daripada rakyat Malaysia terutama perjuangan mereka di barisan hadapan bangkit dan memperjuangkan kehidupan di sebalik musibah yang melanda negara.



Datuk Rosyam Nor berkata, filem ini juga dilihat sebagai tanda solidariti terhadap dunia seni yang juga sempat ikut terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Memutuskan Rantaian Covid 19 dalam masa yang pendek adalah kejayaan seluruh rakyat Malaysia. Bagaimana ianya terjadi?

“Juang bakal memberi jawapan kepada kejayaan ini. Gabungan enam Pengarah Hebat akan memberi gambaran sebenar perjuangan barisan hadapan,” ujarnya.

Sementara itu, Matt Lai mengatakan idea Juang tercetus ketika semua rakyat Malaysia menghabiskan masa bersama keluarga kerana perintah kawalan pergerakan (PKP) atau ‘lockdown’.



“Di saat kita berdiam diri di rumah, ada barisan pejuang yang mempertaruhkan nyawa dan hidup mereka dalam memberi khidmat kepada negara. Sebagai rakyat Malaysia kita cukup terharu dan sangat berterima kasih dengan pengorbanan yang dilakukan para pejuang tidak didendang ini.

“Jadi, pihak kami mengambil inisiatif untuk mengucapkan rasa terima kasih terhadap komitmen semua pejuang dengan menghasilkan projek julung kali ini yang diberi judul Juang,” ujarnya.

Menurutnya, inilah masanya untuk mereka bergabung dan setiap daripada mereka juga tidak ingin terlepas untuk memberi sumbangan yang bermakna buat tanah air tercinta.

Dalam pada itu, Jack Lim mengatakan projek mega ini mahu dilaksanakan sebagai sebuah apresiasi kepada semua barisan hadapan yang telah bertungkus lumus melakukan tugas mereka bagi menjaga negara dengan begitu baik sepanjang pandemik yang masih belum surut ini.



Biarpun pandemik bukanlah sebuah kejadian yang manis untuk dikenang namun ia ingin menonjolkan sisi positif dan melihat sebuah kehidupan yang lebih baik di masa hadapan.

“Mereka berhak mendapat penghormatan dan pengiktirafan dari seluruh rakyat Malaysia dan mendokumentasikan semua momen ini dalam sebuah filem adalah sebuah kebanggaan buat kami,” katanya.

Jack juga mengatakan hal yang penting untuk industri hiburan juga adalah agar semua pihak kembali bergerak dan setiap sudut dapat memberikan sumbangan dalam sektor ini.

Di bawah arahan enam pengarah hebat ini, ada tiga pelakon yang akan memainkan peranan utama iaitu Zizan Razak yang membawa karakter sebagai Hafiz, Jack Lim memegang peranan Lee dan Zul Ariffin menghidupkan watak Johan.



Bagaimana kelak JUANG akan dipersembahkan? Jangan terlepas menyaksikannya di pawagam pada Mac 2021. Dapatkan info terkini Juang di semua laman media sosial, Instagram, Twitter dan FB: @JUANGthemovie. – KopiPlanet.com

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker