Sumbangan Tunai Rahmah, kerajaan akan bayar RM500 esok kepada yang layak

Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 akan bermula esok kepada 8.2 juta penerima yang berdaftar dalam pangkalan data STR.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan semalam, memaklumkan pembayaran itu akan dibuat kepada penerima melalui pengkreditan ke akaun bank atau secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat, mengikut kategori kelayakan STR masing-masing.

Menurut kenyataan itu, kerajaan telah menaikkan bayaran STR Fasa 1 kepada RM500 bagi penerima kategori isi rumah berbanding bayaran maksimum RM300 pada tahun lalu, bagi membantu sebilangan besar rakyat menangani kesan peningkatan kos sara hidup.



Bagi fasa 1, penerima kategori isi rumah berpendapatan RM2,500 dan ke bawah akan menerima RM500, isi rumah berpendapatan RM2,501-RM5,000 menerima RM100 hingga RM300, manakala warga emas tiada pasangan dan golongan bujang, masing-masing menerima RM150 dan RM100.

Ringan beban rakyat

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan sama, berkata setiap kali beliau bertemu rakyat, perihal utama diutarakan ialah beban kos sara hidup yang kian meningkat lebih deras daripada pendapatan.

“Saya akur akan keperitan ini, justeru kerajaan giat berusaha untuk memastikan bantuan kerajaan dapat dipertingkat dengan lebih ketara agar masalah asas ini dapat dileraikan dan tiada rakyat di belakang, di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.



“Selaras dengan pendekatan Ekonomi MADANI untuk ‘meninggikan lantai’ dari segi kualiti hidup rakyat, kerajaan akan mengutamakan dan memastikan isi rumah berpendapatan rendah terus diberi bantuan sewajarnya.

“Kerajaan MADANI sentiasa peka kepada keluhan rakyat dan akan terus menambah baik STR dalam usaha membantu rakyat mendepani cabaran kos sara hidup,” kata Perdana Menteri.

MOF memaklumkan, setakat ini, 8.2 juta individu yang layak telah berdaftar untuk STR 2024, namun angka itu dijangka meningkat kepada hampir sembilan juta kerana proses permohonan baharu dan kemas kini dibuka sepanjang tahun berbanding setahun sekali seperti dilaksanakan sebelum ini.

Kementerian itu menasihati orang ramai untuk menyemak status kelayakan STR dan mendapatkan jawapan bagi soalan lazim (FAQ) dalam portal rasmi STR melalui pautan bantuantunai.hasil.gov.my atau manfaat.mof.gov.my.



Orang ramai tidak tersenarai dalam pangkalan data STR diminta membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan dimuktamadkan, selain dinasihatkan sentiasa berwaspada dengan pautan tidak sahih dalam merujuk maklumat mengenai STR. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker