Tok Mat wajar wakili BN isi jawatan TPM

Tok Mat wajar wakili BN isi jawatan TPM

Oleh Dr Syed Agil Alsagoff

Beberapa hari ini, hangat sekali perbincangan mengenai siapakah Ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan dilantik mengisi Kabinet dalam kerajaan diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Paling menarik, jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang dijanji kepada wakil BN, tentunya UMNO dan GRS, pastinya Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mewakili Sabah serta Sarawak.

TPM daripada GRS tidaklah hangat kerana hampir semua berpandangan tokoh paling sesuai ialah Datuk Seri Fadillah Yusof, dikira paling tepat kerana Ahli Parlimen paling kanan dari segi hierarki partinya, iaitu Naib Yang Di-Pertua Kanan PBB.

Namun, calon mewakili UMNO menjadi persoalan hangat kerana kedua-dua Presiden dan Timbalan Presiden UMNO memenangi kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menang majoriti 348 undi di Bagan Datuk berbanding majoriti sebelumnya, 5,073 undi serta Datuk Seri Mohamad Hasan meraih majoriti 19,897 undi di Rembau berbanding majoriti sebelumnya 4,364 undi (Khairy Jamaluddin).

Ramai berpendapat dari sudut moral, lebih bagus UMNO memilih Mohamad atau lebih dikenali Tok Mat sebagai calon TPM kerana majoritinya meningkat 15,533 undi, manakala Ahmad Zahid menurun (4,725 undi).

Selaku Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Mohamad juga menunjukkan prestasi gemilang mengemudi UMNO negeri sebagai satu-satunya menunjukkan kecemerlangan dengan merampas kerusi dimiliki lawan walaupun UMNO merundum di negeri lain.

Dalam PRU14, UMNO hanya menang tiga kerusi, iaitu Rembau dan Jelebu dengan majoriti 2,045 undi melalui Datuk Jalaluddin Alias serta Jempol melalui Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif (1,631 undi).

Dalam PRU15, ketiga-tiga kerusi ini dipertahankan UMNO dengan majoriti lebih baik, iaitu Jelebu dengan majoriti 8,125 undi; Jempol (5,857 undi) dan Rembau (19,897 undi). UMNO juga merampas kerusi Kuala Pilah dengan majoriti 6,483 undi melalui Datuk Adnan Abu Hassan dan Tampin melalui Mohd Isam Mohd Isa (1,276 undi).

Menang selesa

Menarik juga, walaupun empat daripada lima calon UMNO adalah muka baharu, semuanya menang selesa tidak seperti di kerusi di hampir keseluruhan negeri lain apabila muka baharu kecundang teruk.

Oleh itu, Mohamad mempunyai kelebihan hingga mengemudi UMNO menunjukkan prestasi cemerlang dalam PRU15 walaupun di gelombang undi Melayu di negeri lain dikatakan menuju ke PN hingga UMNO hanya mampu menang 26 kerusi.

Kewibawaan Mohamad mengemudi pastilah boleh dihubungkan dengan prestasi amat bagus beliau tunjukkan sebagai Menteri Besar mulai 25 Mac 2004 hingga 9 Mei 2018.

Dalam tempoh itu, Negeri Sembilan mencatatkan pertumbuhan sosioekonomi pesat dan kesan positifnya dinikmati seluruh penduduk dengan ekonomi negeri berasaskan pertanian berjaya ditukar kepada berasaskan pembuatan melalui pengwujudan beberapa taman industri.

Dasar mesra perniagaan dan pelabur di bawah pentadbiran Mohamad juga menarik minat banyak syarikat multinasional seperti Coca-Cola, Daihatsu Motor dan Hino Motors masuk melabur, sekali gus memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Banyak lagi inisiatif diperkenalkan seperti Dasar Jaringan Keselamatan Sosial berjaya mengurangkan kadar kemiskinan tegar kepada hanya 0.2 peratus pada 2016 serta pembinaan banyak lebuh raya mengatasi kesesakan lalu lintas.

Begitu juga pelbagai infrastruktur dibina seperti Hospital Rembau, Menara Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Empangan Sungai Triang, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Rembau, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Sendayan Tech Valley.

Dalam konteks janji dan tuntutan pelbagai pihak supaya Kabinet hendaklah dibarisi tokoh tidak mempunyai apa-apa kes mahkamah, amatlah tepat jika Mohamad dinamakan sebagai TPM mewakili BN, setidak-tidaknya hingga Ahmad Zahid dibebaskan daripada semua pertuduhan.

Begitu juga latar belakang Mohamad teguh di bidang ekonomi, dengan pengalaman di Bank Negara, Malayan Banking Berhad, Arab Malaysian Merchant Bank Berhad dan Bank Bumiputra Malaysia Berhad, selain pendedahan korporat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Cold Storage Malaysia Berhad serta Pengarah Urusan Cycle and Carriage Bintang Berhad, pastilah akan menjadikan beliau sebagai aset besar membantu memulihkan ekonomi negara. BH

Ketua Pusat Kecemerlangan Komunikasi, Media dan Industri Kreatif, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Tok Mat wajar wakili BN isi jawatan TPM


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Nabila Razali nikah senyap-senyap?

Dituduh jadi ejen Israel, Anwar arah polis ambil tindakan – Fahmi

Orang baik dan orang jahat tak boleh duduk bersama – Tuan Ibrahim

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker