Perkahwinan terlerai gara-gara suami angau bercinta

Setiap insan pasti mendambakan cinta berkekalan sehingga ke jannah. Apatah lagi jika ia adalah cinta pertama. Itulah dambaan Nor (bukan nama sebenar) yang sudi berkongsi episod cinta pertamanya.

Nor mengenali Jafri (bukan nama sebenar) semasa di bangku sekolah menengah. Perkenalan dengan Jafri yang merupakan senior setahun darinya membibitkan cinta di hati mereka berdua.

Waima cinta semasa alam persekolahan dikatakan ‘cinta monyet’ tapi bagi mereka itulah ‘cinta pertama’ yang akhirnya menyatukan mereka di pelaminan.



Usai alam persekolahan Jafri memilih karier sebagai anggota Polis, manakala Nor bekerja sebagai operator kilang. Enggan bertangguh, mereka mengambil keputusan berkahwin pada usia Jafri, 20 tahun manakala Nor, 19 tahun.

Rumah tangga yang dibina ketika itu terasa amat indah, apatah lagi ia terbina daripada benih cinta pertama yang disemai sejak alam persekolahan.

Terasa tepat sekali kata-kata setengah orang bahawa cinta pertama adalah cinta teragung dan andai ia berakhir dengan perkahwinan pasti menjadi satu anugerah yang tidak mampu terungkap dengan kata-kata.

Setelah berkahwin Nor berhenti kerja dan mengikut Jafri yang ditugaskan berkhidmat di Johor. Mereka dikurniakan empat orang cahaya mata. Dua lelaki dan dua perempuan persis pelengkap kepada kebahagiaan yang dikecapi.



Namun bahagia yang sekian waktu menjadi milik mereka seperti direnggut secara tiba-tiba. Ketika anak bongsu mereka berusia tiga tahun, cinta Jafri beralih arah apabila dia mengenali seorang wanita.

Bermula sebagai kawan, akhirnya saling jatuh cinta. Walaupun awalnya Jafri cuba menyorokkan hubungannya dengan wanita tersebut, tetapi akhirnya terbongkar jua. Demi masa depan ‘cinta pertama’ mereka jua anak-anak, Nor ketepikan segala amukan emosi.

Dengan hasrat mempertahankan rumah tangga yang terbina lebih 15 tahun itu, Nor mengajak Jafri untuk berbincang dari hati ke hati. Hasil perbincangan itu, Jafri mengakui tentang cintanya terhadap wanita tersebut.

Luluh jiwa Nor tatkala mendengar pengakuan Jafri. Pengakuan Jafri umpama dentuman halilintar yang menyambar telinganya. Umpama mimpi, Nor seakan tidak percaya itulah realiti kemusnahan tugu ‘cinta pertama’ yang selama ini tegap terpasak menjadi lambang kemegahan sebuah perasaan yang lahir dari nurani sucinya.



Hatinya bagai direntap. Jantungnya bagai tersiat dek belati tajam. Namun Nor cuba untuk menerima hakikat betapa ‘cinta pertama’ mereka telah berkecai. Namun kolam matanya tidak mampu untuk menatang air mata yang akhirnya mengalir deras meluncuri pipinya.

 

DESAS-DESUS

Setelah segala desas-desus yang Nor dengar sebelum ini sudah jelas lagi bersuluh, Nor menyerahkan kepada Jafri untuk membuat keputusan berkenaan rumah tangga mereka dan hubungannya dengan wanita tersebut.



Bukan tidak menerima hukum agama yang membenarkan seorang lelaki untuk berpoligami, tetapi Nor melihat ia tidak semudah itu untuk dilaksanakan oleh Jafri. Disebabkan kedudukan Jafri sebagai anggota polis, ia memerlukan kebenaran daripada pegawai atasannya dan perlu memenuhi pelbagai syarat yang ditetapkan.

Nor mengakui seperti kebanyakan wanita, hatinya tiada kekuatan mengharungi hidup berpoligami. Untuk mengelakkan kekusutan berpanjangan, Nor meminta Jafri melepaskannya andai berhasrat berkahwin dengan wanita tersebut.

Akhirnya Jafri memilih untuk melupakan ‘cinta pertama’ mereka dan meneruskan hari esok bersama cinta barunya.

Nor diceraikan oleh Jafri dengan talak satu. Nor pasrah waima hatinya terluka.



Baginya pasti ada hikmah yang dititipkan Allah di sebalik berkecainya istana bahagia yang terbina dari puing-puing ‘cinta pertama’.

Setelah berpisah dengan Jafri, kampung halaman menjadi destinasi Nor untuk meneruskan kehidupan bersama anak-anak. Nor bersyukur kerana ibu bapanya memahami apa yang telah berlaku dan menerimanya bersama anak-anak untuk menumpang berteduh.

Setelah luka sedikit terubat, Nor memulakan hidup barunya dan bekerja membantu ibu saudaranya yang mengusahakan kantin sekolah. Namun setahun bekerja di kantin sekolah, sekali lagi Nor diuji.

Suatu hari, ibu saudaranya meminta Nor untuk membeli barang. Nor keluar berseorangan dengan memandu kereta milik ibu saudaranya. Malang tidak berbau. Nor terlibat dengan kemalangan jalan raya yang hampir meragut nyawanya.



Namun kuasa Tuhan tiada siapa yang boleh mengingkarinya. Nor mengalami kecederaan parah dan koma lebih enam bulan. Kembali sedar dari koma Nor mendapati dirinya lumpuh dari bahagian pinggang ke bawah.

Menurut doktor peluang untuk kembali pulih amat tipis dan Nor mungkin akan lumpuh sepanjang hayat. Sekali lagi Nor merasakan dunia seakan gelap seluruhnya. Nor mengakui pada awalnya agak sukar untuk menerima suratan perjalanan hidupnya.

Namun Nor memujuk dirinya untuk reda. Nor pasrah. Baginya Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya.

Kini telah lebih sedekad Nor terpaksa hidup sebagai orang kurang upaya (OKU) dan terpaksa bergantung kepada rawatan yang berpanjangan kesan daripada kecederaan parah yang dialaminya.

Waima terpaksa meneruskan kehidupannya dalam keadaan serba kekurangan namun Nor bersyukur kerana anak-anaknya sentiasa mengambil berat tentang dirinya.

Walaupun tiga daripada anaknya telah berumah tangga tetapi mereka tidak pernah melupakan apatah lagi mengabaikan Nor. Bagi Nor kini anak-anaklah tempat dia bergantung harap bagi meneruskan sisa-sisa hidupnya.

Ia seperti firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (yang mendatangkan iktibar) dan sesungguhnya Kami tetap menguji (hamba-hamba Kami). (al-Mukminun: 30)

Perkahwinan terlerai gara-gara suami angau bercinta


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Isteri pukul suami ketika ditemu bual wartawan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker