Pendakwaan untuk malukan Ahmad Zahid

Pendakwaan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dijangka dibuat di mahkamah esok disifatkan bertujuan memalukan pemimpin tersebut.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Jalaluddin Alias berkata, tindakan itu juga dilihat antara strategi untuk menggambarkan Ahmad Zahid sebagai pemimpin tidak amanah sedangkan rakyat tahu beliau banyak berjasa kepada negara.

“Pendakwaan ini adalah rentetan kepada usaha untuk memalukan pemimpin-pemimpin UMNO di seluruh negara bermula dengan bekas Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Azeez Rahim. Turut didakwa isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor.

“Bagaimanapun saya yakin rakyat tidak akan terpengaruh dengan niat jahat kerajaan kerana umum mengakui Ahmad Zahid sejak dulu lagi membela rakyat tanpa melihat asal keturunan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.



Beliau berkata demikian berikutan spekulasi bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan didakwa di mahkamah esok, susulan beberapa siri siasatan terhadapnya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, Ahmad Zahid sentiasa membantu rakyat atas kapasitinya sebagai orang nombor dua negara sebelum ini selain mempengerusikan berpuluh jawatankuasa Kabinet bertujuan membantu rakyat.

Justeru beliau mendesak kerajaan supaya menghentikan tindakan berkenaan yang dilihat mahu menonjolkan imej kurang baik Ahmad Zahid sebagai seorang pemimpin.

“Kerajaan seharusnya memberi tumpuan untuk membangunkan negara demi kepentingan rakyat dan bukan mengamalkan politik membalas dendam.



“Cukup-cukuplah menyalahkan orang lain sebaliknya bantulah rakyat yang semakin resah gelisah kerana tiada pekerjaan dan terkesan dengan kenaikan harga barang,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker