‘Akurlah keputusan parti, yang bertanding bukan individu tetapi parti’ – Ismail Sabri

PETALING JAYA: Semua pihak perlu akur dengan keputusan parti melantik Ketua UMNO bahagian Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, sebagai Ketua Jentera Pilihan Raya parti itu untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bulan depan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pelantikan itu sudah diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan ahli perlu mengenepikan agenda serta kepentingan diri demi kelangsungan parti.

“Dalam isu PRN Sabah, Presiden sudah membuat kenyataan yang mengumumkan Bung Moktar sebagai ketua jentera PRN Sabah.

“Keputusan Presiden adalah keputusan parti dan saya harap ahli mengenepikan agenda sendiri, mengenepikan kepentingan diri kerana yang bertanding bukan individu tetapi parti.

“Saya berharap apabila Presiden mengumumkan keputusan parti, akurlah keputusan parti,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Kempen Tabung Pahlawan 2020 di Sri Pentas di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan beberapa ketua UMNO bahagian Sabah dan sekumpulan pemimpin parti itu yang membantah pelantikan Bung Moktar sebagai Ketua Jentera Pilihan Raya parti itu pada PRN bulan depan.

Wakil kumpulan itu, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, dilaporkan berkata, pemimpin yang menjadi Ketua Jentera Pilihan Raya mestilah bebas daripada persepsi negatif yang boleh dimanipulasi oleh pihak lawan.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi dan Ketua UMNO Bahagian Tuaran berkata, sebagai Ketua Jentera Pilihan Raya, seseorang itu perlu mempunyai kredibiliti yang tidak boleh dipersoalkan rakyat dan tidak dibebankan dengan masalah peribadi yang boleh menjejaskan sokongan pengundi kepada UMNO dan rakan ketika menghadapi PRN.

Ditanya mengenai isu dibangkitkan Ahli Parlimen pembangkang di Dewan Rakyat mengenai seorang menteri yang tidak dikuarantin selepas pulang dari Turki, Ismail enggan mengulas lanjut.

“Isu (menteri pulang dari) Turki, itu saya tidak tahu. Saya jenis tidak mengulas apa yang saya tidak tahu,” katanya.

Foto: Bernama

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker