Perlantikan Tommy Oleh Mahathir Penghinaan Kepada Bangsa Melayu – Bersatu Kepong

 

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad hendaklah berhenti membuat kenyataan seolah-olah cuba mempertahankan dirinya sendiri berhubung sebarang isu melibatkan pelantikan Tan Sri Tommy Thomas.

Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kepong, Datuk Norizan Ali menegaskan, kesilapan jelas dilakukan bekas Perdana Menteri itu dalam pelantikan Peguam Negara yang sepatutnya diperuntukkan kepada individu Melayu.



Jelasnya, ia sesuai dengan kedudukan orang Melayu sebagai majoriti serta Islam sebagai agama Persekutuan negara.

“Lantikan Tommy oleh Dr Mahathir yang memecah tradisi pada 2018 lalu bukan saja menghilangkan kepercayaan majoriti rakyat, malah penghinaan kepada bangsa Melayu.

“Pelantikan itu juga telah merosakkan perpaduan kaum berbanding pelantikan Peguam Negara Melayu sebelum ini yang diterima baik oleh pelbagai lapisan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dr Mahathir sebelum ini menyatakan kekesalannya melantik Tommy sebagai Peguam Negara, individu yang telah mengkritik beliau dalam memoirnya.



Seandainya diberi peluang untuk mengundurkan waktu, Dr Mahathir berkata, beliau tentu sekali tidak akan memilih Tommy, sebaliknya, melantik individu lain untuk mengisi jawatan berkenaan.

Dalam pada itu kata Noriza, buku tulisan Tommy, ‘Justice In The Wilderness’ adalah suatu pendedahan yang boleh memalukan negara di mata dunia dan tidak sepatutnya diterbitkan.

“Ia juga meletakkan negara menjadi perhatian yang tidak sepatutnya di peringkat antarabangsa, selain menjadikan rakyat hilang hormat serta keyakinan terhadap institusi Jabatan Peguam Negara itu sendiri.

“Kerajaan digesa mengambil beberapa tindakan pantas dengan segera termasuk langkah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang patut bertindak mengharamkan buku tersebut serta menariknya daripada pasaran,” tegasnya.



Tambahnya, siasatan segera hendaklah dilakukan selepas banyak laporan polis dibuat yang mendakwa buku tersebut membuat beberapa pendedahan dan tohmahan yang tidak sepatutnya.

Kata Norizan, gelaran Tan Sri yang dipegang Tommy sekarang seharusnya ditarik balik kerana buku tersebut juga jelas melanggar sumpah simpan rahsia Tommy sebagai Peguam Negara.

Mengulas lanjut, Norizan meminta negara bergerak ke hadapan dengan lebih baik lagi selepas kerajaan membuat tindakan dalam hal berkenaan.

“Kita sebagai rakyat haruslah fokus kepada isu sebenar yang sedang melanda negara, seperti menangani COVID-19 dan hendaklah mengetepikan sementara segala kepentingan puak atau kumpulan tertentu semata-mata.



Sehingga Ahad, Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menjelaskan, pihaknya telah menerima 16 laporan daripada pelbagai pihak berhubung penerbitan buku berbentuk memoir tulisan Tommy, sejak isu berkenaan mula mendapat perhatian ramai beberapa hari lepas.

Tegasnya, susulan laporan berkenaan, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 dan Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker