Guna air kencing rakan elak dikesan positif dadah

KUALA TERENGGANU: Seorang penagih sanggup membawa air kencing rakannya yang disimpan dalam botol dan disembunyikan dalam seluar dalam dipakainya, bagi mengelak dicekup pihak berkuasa.

Bagaimanapun, helah pemuda berusia 20-an untuk menggunakan air kencing rakannya bagi menggantikan air kencingnya gagal apabila tindakannya itu disedari penguat kuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam ‘Ops Cegah’ di sekitar daerah ini dan Kuala Nerus pada Selasa dan Rabu lalu.

Terdahulu, lelaki terbabit yang yang ditahan ketika berehat di rumah keluarganya memberi pelbagai alasan ketika penguat kuasa meminta sampel air kencingnya termasuk tidak dapat kencing kepada anggota bertugas.

Bagaimanapun, cubaannya untuk memperdayakan anggota AADK dengan meletakkan air kencing rakannya di dalam bekas air kencing itu gagal sebelum pemeriksaan lanjut mendapati dia positif dadah.

Hasil siasatan awal mendapati lelaki terbabit akan membawa air kencing rakannya yang ‘bersih’ daripada bahan terlarang dengan meletakkannya di dalam botol kecil dan menyembunyikan di celah seluar dalam dipakainya.



Difahamkan, air kencing itu akan digunakan setiap kali ditahan untuk pemeriksaan pihak berkuasa.

Sementara itu, Ketua Pegawai AADK Kuala Terengganu, Saufi Yusoff, berkata pihaknya menahan 31 individu berusia antara 20 hingga 60 tahun di rumah masing-masing hasil risikan dan maklumat awam dalam operasi bermula jam 11 pagi pada Selasa dan berakhir pada jam 4 pagi Rabu.

“Daripada jumlah itu, seramai 28 individu didapati positif dadah termasuk seorang penjawat awam dengan 26 daripadanya positif dadah jenis methamphetamine, manakala dua lagi positif dadah opiate.

“Kita menahan 22 orang untuk siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 manakala enam daripadanya yang juga Orang Kena Pengawasan (OKP) ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(2) Akta Penagih Dadah 1983,” katanya.-BH



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker