Muhyiddin ‘berdagang’ raih sokongan

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dinasihatkan berhenti ‘berdagang’ bagi mendapatkan sokongan ahli Parlimen sebelum pembentangan bajet Oktober ini.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, sejak kebelakangan ini Perdana Menteri didakwanya sibuk ‘membuat dagangan’ supaya parti dipimpin beliau dan Perikatan Nasional (PN) dapat terus mengekalkan kuasa sehingga tempoh mandat tamat dua tahun lagi.

Kata beliau, Muhyiddin perlu menerima kenyataan parti Bersatu dan PN berada dalam keadaan yang amat rapuh sekarang.

“Beliau sibuk nak berdagang dan mengemukakan bermacam cadangan supaya ahli Parlimen termasuk dari blok pembangkang memberi sokongan kepada kerajaan yang dipimpinnya ketika pembentangan bajet.

“Saya nak tanya, sampai bila beliau nak berdagang dan berapa lama modal dagangannya dapat bertahan dalam sebuah kerajaan yang tidak stabil hari ini?” soalnya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Menurut Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai, Muhyiddin bukan tidak ada pilihan yang lebih baik untuk menyelesaikan semua isu berkenaan tetapi sengaja mahu menempuh jalan berliku serta sukar.

Katanya, penyelesaian terbaik untuk semua kemelut politik hari ini adalah mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) secepat mungkin dan selepas itu baru boleh menubuhkan kerajaan yang lebih kukuh.

“Muhyiddin patut membuka mindanya dan meneliti cadangan dari Presiden UMNO serta Pas yang meminta PRU-15 diadakan dalam masa terdekat.

“Dengan kekuatan Muafakat Nasional (MN) dan PN ketika ini, saya percaya kita boleh menang dengan majoriti lebih kukuh.

“Bila kerajaan baharu yang lebih stabil dapat didirikan selepas pilihan raya nanti, banyak kemelut politik mampu diselesaikan. Saya percaya Muhyiddin faham perkara ini,” katanya lagi.

Sementara itu, Nur Jazlan juga bersetuju dengan cadangan Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah supaya semua Ahli Parlimen UMNO yang berada dalam kerajaan PN meletakkan jawatan selepas Bersatu membuka kemasukan kepada ahli bukan Melayu ke dalam parti itu.

Beliau berkata, Bersatu sudah melanggar prinsip asas penubuhan MN iaitu muafakat parti Melayu-Islam, jadi menteri atau timbalan menteri dari UMNO perlu letak jawatan dan keluar dari kerajaan perikatan.

“Cadangan penubuhan sayap bukan Melayu dalam Bersatu bertentangan sama sekali dengan konsep dan keharmonian MN, jadi buat apa Ahli Parlimen UMNO nak duduk lagi dalam kerajaan PN?

“Pemimpin dari UMNO ini kena ingat kedudukan dan masa depan mereka ditentukan oleh ahli akar umbi, yang sebenarnya marah dengan ‘permainan politik’ Bersatu.” kata beliau.

Jelas Nur Jazlan lagi, jika sekarang ini Bersatu boleh mengubah haluan dan membuat beberapa langkah berlainan selepas seminggu bersetuju menyertai MN – apakah jaminan yang mereka tidak akan buat u-turn lagi selepas ini? – MalaysiaGazette

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker