Isu dana yayasan: saya sedia beri kerjasama penuh – Ahmad Zahid

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kaitannya dengan dakwaan penyalahgunaan dana sebuah yayasan untuk kepentingan peribadi.

Ahmad Zahid berkata, dakwaan tersebut sebenarnya mengenai sebuah yayasan milik keluarganya yang ditubuhkan bagi menjalankan kerja-kerja amal.

Ahmad Zahid bagaimanapun berkata, beliau akan kemukakan keterangan yang diperlukan oleh SPRM secara telus di ibu pejabat agensi itu esok.

“Saya telah diminta untuk menjelaskan beberapa isu antaranya berhubung mengenai sebuah yayasan dimiliki oleh keluarga saya sendiri yang ditubuhkan untuk menjalankan kerja-kerja amal seperti pembinaan masjid, maahad tahfiz, rumah anak yatim selain beberapa aktiviti kebajikan lain.



“Wang yang terdapat dalam yayasan itu datang dari sumbangan saya sendiri dan beberapa kawan yang hendak melakukan amal jariah. Ini yang akan diperjelaskan kepada SPRM esok,” katanya dalam sidang akhbar pertamanya selepas menjadi Presiden UMNO di Menara Dato Onn, di sini hari ini.

Sebuah media tempatan melaporkan Ahmad Zahid akan dipanggil SPRM bagi membantu siasatan berhubung penggunaan dana sebuah yayasan.

Memetik sumber, laporan itu menyatakan SPRM juga akan mengambil kenyataan mengenai pertemuan Ahmad Zahid dengan ahli keluarga diraja Arab Saudi yang dikatakan mendermakan wang kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dakwa laporan itu, Ahmad Zahid adalah pengerusi sebuah yayasan yang didaftarkan pada 1997 dan memainkan peranan menerima dan mengurus dana bagi membasmi kemiskinan.



Laporan itu turut menyatakan Ahmad Zahid akan diminta memberi penjelasan berhubung tuduhan dana yayasan itu digunakan untuk membayar kredit kad milik beliau dan isterinya berjumlah RM800,000. – UTUSAN ONLINE

Utusan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker