PENGAMBILALIHAN TOL TIDAK MEMBANTU MELONJAKKAN SAHAM SYARIKAT, SAHAM GAMUDA SUSUT 7%

PASARAN SAHAM JATUH
Tawaran kerajaan untuk mengambil alih konsesi tol daripada Gamuda Berhad (Gamuda) tidak membantu melonjakkan saham syarikat itu apabila susut hampir tujuh peratus atau 26 sen kepada RM3.57 sesaham pada sesi penutupan dagangan petang.

Bagaimanapun, situasi berbeza bagi Lingkaran Trans Kota Sdn. Bhd. (Litrak) apabila saham syarikat itu naik 70 sen kepada RM4.91 sesaham.

Kebanyakan penganalisis berpendapat tawaran yang dibuat oleh kerajaan itu adalah adil, tetapi ada juga yang merasakan ia lebih rendah berbanding unjuran dalaman.

Keputusan untuk menjual konsesi itu bermakna Gamuda akan kehilangan pendapatan untuk segmen tol pada tahun kewangan berikutnya.



Para pelabur bimbang bagaimana Gamuda akan mencari peluang-peluang baharu bagi menutup jurang pendapatan akibat penjualan konsesi tersebut.

Dari aspek positif, kedudukan tunai Gamuda akan me­ningkat dengan ketara selain berupaya menyediakan mudah tunai yang besar dalam profil aset-asetnya apabila pengambilalihan empat tol dilaksanakan oleh Kementerian Kewangan.

MIDF Research dalam nota penyelidikan berkata, potensi keuntungan tunai itu akan digunakan untuk membiayai projek lain termasuk projek infrastruktur mega di Pulau Pinang.

“Buat masa ini, kami tidak menolak prospek dividen khas bagi menggantikan kerugian sumber pendapatan stabil pada masa depan. Kami berpendapat harga tawaran adalah munasabah dan tidak terlalu sedikit berbanding anggaran kami terdahulu pada RM2.5 bilion,” katanya di sini hari ini.



Kepentingan Gamuda dalam keempat-empat konsesi lebuh raya itu membabitkan anggaran nilai RM2.4 bilion. Syarikat itu kini memiliki 43.6 peratus kepentingan dalam Lingkaran Trans Kota Sdn. Bhd. (Litrak), Lebuhraya Shah Alam (Kesas; 70 peratus), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint; 51.8 peratus) dan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn. Bhd. (SMART; 50 peratus).

Dalam makluman Bursa Malaysia hari ini, syarikat sekutu 20 peratus milik Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Holdings Sdn. Bhd. (Sprint) menerima tawaran pengambilalihan bagi pembe­lian kesemua saham termasuk saham biasa, saham keutamaan dan saham pinjaman Sprint bernilai RM1.98 juta.

Sementara itu, Affin Hwang Investment Capital berkata, harga yang ditawarkan oleh Kementerian Kewangan itu 16 peratus lebih rendah berbanding unjuran penilaian aliran tunai diskaun (DCF) sebanyak RM2.8 bilion.

“Perkara ini agak mengejutkan, tetapi kami percaya pendekatan berasaskan pasaran yang dibuat oleh MoF mampu mengurangkan risiko dasar kerajaan untuk syarikat-syarikat konsesi dan manfaat kepada Gamuda untuk terlibat sama dalam projek Kerjasama Sektor Awam dan swasta (PPP) pada masa depan,” katanya.



Katanya, pihaknya mengurangkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) Gamuda antara 16 hingga 28 peratus bagi tahun kewangan 2020 dan 2021 sekiranya syarikat tersebut menerima tawaran berkenaan.

Katanya, ia disebabkan oleh kehilangan pendapatan daripada segmen lebuh raya, namun sebahagiannya dapat diimbangi oleh pendapat hasil faedah atas tunai RM2.36 bilion.

AmBank Research turut menurunkan unjuran keuntungan bersih tahun kewangan 2020 dan 2021, masing-masing sebanyak 20 dan 34 peratus memandangkan sumbangan daripada aset jalan bertol dijangka berkurangan kepada separuh pada tahun kewangan 2020 dan sifar sepenuhnya pada tahun kewangan 2021.

“Ia akan diimbangi menerusi penjimatan faedah daripada keuntungan pelupusan. Secara realistik, Gamuda akan mengambil masa untuk me­ngenal pasti perniagaan baharu bagi mengisi pelupusan berkenaan,” katanya.



Mengenai tawaran, AmBank Research berkata, Gamuda berkemungkinan besar akan menerima tawaran MoF untuk mengambil alih lebuh raya berkenaan.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker