PH paling ramai calon wanita

Oleh Rohana Man

ANTARA calon wanita yang bertanding dalam PRU15, dari kiri Young Syefura Othman (Parlimen Bentong PH-DAP), Datuk Seri Azalina Othman (Parlimen Pengerang BN-UMNO), Datuk Seri Rina Harun (Parlimen Sepang PN) dan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PH-PKR).

KUALA LUMPUR – Sebanyak 127 calon wanita akan bertanding di kerusi Parlimen, manakala 60 lagi calon bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis, Perak, Pahang dan Bugaya di Sabah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Jumlah keseluruhan wanita yang bertanding adalah sebanyak 187 calon.

Daripada jumlah tersebut, Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada parti PKR, DAP, Amanah dan UPKO mempertaruhkan 39 calon wanita daripada keseluruhan jumlah calon Parlimen dan DUN sebanyak 205 calon.



Selain itu, seorang calon wanita PH bertanding atas tiket pakatan politiknya, MUDA di Parlimen Tanjong Karang, manakala seorang lagi bertanding menggunakan logo DAP di Parlimen Lanang, Sarawak.

Memetik laporan BERNAMA, Barisan Nasional (BN) yang terdiri daripada UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) meletakkan 22 calon wanita daripada jumlah keseluruhan 178 calon.

Jumlah itu tidak mencapai sasaran yang diperjuangkan Wanita UMNO sebanyak 30 peratus.

Kekecewaan itu diluahkan Timbalan Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN), Datuk Norliza Abdul Rahim yang mengakui ramai dalam kalangan ahli parti itu kecewa selepas kepimpinan tertinggi gagal mengotakan janji memastikan 30 peratus calon wanita pada PRU15.



Bagaimanapun beliau yang juga Naib Ketua Wanita UMNO berkata, masih belum terlewat untuk Wanita UMNO terus mendesak agar janji itu ditunaikan di peringkat pilihan raya negeri bagi baki enam negeri yang masih belum membubarkan DUN.

Sementara itu, Perikatan Nasional (PN) gabungan Bersatu, PAS dan Gerakan mempertaruhkan 16 calon wanita daripada 149 calon bertanding dengan dua daripada calonnya di Parlimen Tumpat dan Rantau Panjang menggunakan logo PAS.

Gerakan Tanah Air (GTA) yang terdiri daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) pula meletakkan 16 calon wanita daripada 116 calon yang bertanding dengan kesemuanya menggunakan logo Pejuang.

Dalam pada itu, sebanyak 10 wanita bertanding atas tiket Bebas, enam bagi Parti Warisan dan selebihnya adalah calon dari parti lain-lain.



Dari aspek usia pula, Peggy Chaw Zhi Ting, 23, muncul calon Bebas wanita paling muda bagi Parlimen Tenom, manakala Datuk Liew Chin Jin, 70, atau lebih dikenali Datuk Christina Liew (PH-PKR) pula calon wanita paling veteran bagi kerusi Parlimen Tawau.

Kesemua calon wanita PRU15 terdiri daripada pelbagai latar belakang dan pencapaian akademik termasuk ada antara mereka memiliki kerjaya profesional sebagai peguam dan doktor, selain memegang jawatan utama dalam parti yang diwakili.

Ini termasuk tokoh profesional Orang Kurang Upaya (OKU), Dr. Noraishah Mydin Abdul Aziz. Kemunculan beliau di pentas PRU15 membuktikan politik Malaysia semakin matang dan terbuka.

Beliau yang menghidap penyakit spina bifida sejak lahir akan bertanding di kerusi Parlimen Putrajaya di bawah tiket PH-PKR menentang lima calon lain termasuk penyandangnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor daripada BN.



Selain itu, bekas Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail akan bertanding di Parlimen Bandar Tun Razak.

Calon wanita yang mempertahankan kerusi Parlimen masing-masing adalah penyandang kerusi Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dari BN dan penyandang Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamarudin dari Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Bagi perebutan kerusi DUN pula, calon wanita paling muda adalah Hooi Mi Suet, 29, dari Warisan yang bertanding di kerusi Simpang Pulai, manakala calon paling tua berusia 66 tahun, Ng Wah Leng daripada BN-MCA bagi kerusi Keranji, kedua-duanya di Perak.

Dalam pada itu, DUN Bugaya bakal menyaksikan penyertaan calon wanita tunggal iaitu Nazmahwati Walli, 43, daripada PBM.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker