MSN akan jumpa bekas atlet renang dakwa pernah alami gangguan seksual


Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Ahmad Shapawi Ismail berkata, beliau sudah pun menghubungi bekas perenang negara Cindy Ong berhubung isu gangguan seksual yang dikatakan dialaminya ketika bergelar atlet negara.

Ini bagi mengadakan perbincangan lanjut bersamanya dalam masa terdekat untuk melihat hal berkenaan dengan lebih mendalam, kata Shapawi.

“Sehingga perbincangan tersebut diadakan, pengurusan MSN berharap agar kita termasuk Cindy diberikan sedikit ruang bagi meneliti pendekatan terbaik menangani isu tersebut,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan MSN hari ini.

Selasa lalu, sebuah portal berita tempatan melaporkan pendedahan Ong dan seorang lagi bekas perenang yang mendakwa mengalami gangguan dan serangan seksual selama bertahun-tahun ketika menjadi perenang negara.

Perkara itu mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina, yang mengakui amat terkesan, marah dan kecewa mengikuti kisah Ong serta atlet lain seperti yang dilaporkan.

Beliau lantas mengarahkan pegawainya dan MSN menghubungi serta membantu Ong, sambil menambah, pihaknya akan membuat laporan polis berhubung perkara itu.

“Bagi saya, tiada kompromi dan perlindungan untuk mana-mana jurulatih dan pegawai, jika didapati bersalah. Pelaku tidak akan dilindungi,” katanya dalam kenyataan.

Dalam kenyataan, pengurusan MSN turut menegaskan bahawa setiap individu yang telah dan sedang terlibat dalam program latihan persediaan atlet bawah MSN mempunyai pelbagai saluran untuk mengemukakan sebarang aduan berkaitan salah laku atau gangguan.

Antara platform diwujudkan bawah MSN adalah Jawatankuasa Perwakilan Atlet, ditubuhkan pada 2016, yang diwakili seorang wakil atlet atau ketua pasukan setiap sukan bagi mengetengahkan sebarang isu.

“Sama ada dari segi kebajikan, perkhidmatan sokongan dan latihan sukan masing-masing supaya program latihan mereka berjalan lancar,” kata Ahmad Shapawi.

Sementara itu, beliau berkata, Lembaga Pengurus MSN yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan telah menubuhkan Jawatankuasa Salah Laku dan Perlindungan Dalam Sukan melalui Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet Malaysia (MACE)-MSN.

Katanya, sebarang aduan boleh dikemukakan oleh atlet/jurulatih/pegawai sukan di bawah program MSN melalui e-mel kepada [email protected] atau melalui no telefon, 03-8992 9778 / 8992 9809.

Ahmad Shapawi berkata Suruhanjaya Atlet yang berada bawah Majlis Olimpik Malaysia (MOM) juga boleh dijadikan platform alternatif bagi atlet untuk menyuarakan sebarang permasalahan untuk diketengahkan kepada pihak berwajib.

Dalam pada itu, beliau berkata pengurusan MSN telah memperhebatkan kempen kesedaran kepada atlet dan jurulatih berkaitan gangguan seksual dalam kalangan atlet atau pegawai sukan.
FMT

Berenang dengan ‘buaya’ – atlet imbau gangguan seksual jurulatih

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker