Peserta bukan penyanyi berentap di Famili Duo 3

Peserta bukan penyanyi berentap di Famili Duo 3

Janggal melihat senarai pasangan yang terpilih bersaing pada musim ketiga program realiti, Famili Duo (FD3) seperti diumumkan TV3, kelmarin.

Di sebalik nama besar dalam dunia seni suara, tiba-tiba terselit personaliti terkenal TikTok bersama adiknya, di mana masing-masing belum teruji kemampuan mereka dalam bidang nyanyian.

Hanya berbekal single duet raya yang dinyanyikan bersama Andi Bernadee, pempengaruh media sosial, Ryan Bakery dan Adam Bakery, mencetuskan kejutan apabila menjadi antara enam pasangan yang bakal membawa cabaran FD3.

Apa rasional di sebalik pemilihan dua beradik ini? Sepanjang dua musim bersiaran, program nyanyian berbentuk kekeluargaan ini lebih mengutamakan individu yang berbakat dalam cabang seni yang mempertaruhkan vokal itu.

Adakah faktor mengejar ‘rating’ mendorong TV3 menongkah arus dan melanggar format asal program yang pernah mencetuskan fenomena, tahun lalu?

Menjawab persoalan itu, Penerbit Eksekutif FD3, Muhamad Sufian Che Isa mengaku syarat penyertaan program realiti itu kini lebih terbuka di mana mereka yang bukan dalam kalangan penyanyi berpeluang menjadi peserta.

Tambah Sufian, kelonggaran itu bakal memberi manfaat kepada peserta, selain sekadar mahu bertanding dan mengejar ganjaran semata-mata.

“Untuk musim ketiga ini, program ini akan menjadi lebih pelbagai. Mungkin dengan pemilihan Ryan dan adiknya membuatkan kita boleh nampak sisi lain, iaitu persembahan yang menarik dan menghiburkan.

“Kami juga lihat dari aspek kreativiti selain daripada nyanyian. Namun, kami anggap mungkin program ini boleh menjadi platform untuk mereka perbaiki nyanyian. Tidak perlu hendak rasa malu atau takut kalau kena marah.

“Mana tahu kita dapat lahirkan sisi berbeza mereka selepas ini. Mungkin mereka akan dapat lebih banyak ‘show’ selepas mendapat bimbingan profesional. Bagi peserta asal penyanyi, mungkin ruang ini boleh dimanfaatkan untuk menambah ilmu

“Jadi, saya fikir masing-masing ada kekuatan dan kelemahan. Pastinya program ini akan menjadi lebih menarik untuk ditonton,” katanya pada sidang media Famili Duo 3 di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, kelmarin.

Selain Ryan dan Adam, FD3 membariskan Haqiem Rusli dan Ariff Bahran (Duo Sepupu); Tom dan Fuad Rahman (Duo Suami Isteri); Adira Suhaimi dan Emma Suhaimi (Duo Adik Beradik) dan Shila Amzah dan Syahir (Duo Adik Beradik).

Peserta keenam FD3 hanya akan diumumkan apabila gelanggang episod pertama FD3 dibuka pada 15 Oktober.

Sufian tidak menolak kesukaran mendapatkan pasangan penyanyi yang mempunyai pertalian darah menyebabkan pihaknya terpaksa membuka ruang itu kepada peserta bukan penyanyi.

“Tidak dapat dinafikan hendak cari pasangan penyanyi yang ada ikatan persaudaraan sangat susah. Ini menjadi antara sebab mengapa syarat penyertaan diperluaskan.

“Ada 15 pasangan yang disenarai pendek. Ada antara mereka menolak dengan memberi alasan jadual harian ketat. Tetapi saya anggap itu semua cabaran buat produksi.

“Untuk peserta keenam yang bakal diumumkan pada 15 Oktober, saya anggap itu sebagai kejutan kerana mereka bukan dalam kalangan penyanyi,” katanya.

Jika tahun lalu program ini hangat dengan pelbagai cerita sensasi hingga menjadi bahan perdebatan netizen, bagi musim ini, Pengurus Projek FD3, Russel Mark Rodrigues, berkata pihaknya sudah menyusun strategi terbaik bagi memastikan FD3 kekal pilihan penonton.

“Setiap minggu ada gimik yang kami rancang. Bagaimanapun, ada antara gimik yang tular sebelum ini berlaku tanpa dirancang,” katanya.

Ryan tidak menganggap dirinya dan Adam sebagai peserta ‘tangkap muat’ atau tempelan selepas diumumkan antara enam pasangan yang menyertai FD3.

Biarpun mengakui bakatnya tidak sehebat peserta lain terutama daripada segi vokal, namun, Ryan atau nama sebenar, Muhammad Ryan Fahmi Bakery, 28, akan memastikan pembabitannya bakal memberi saingan.

“Saya tak anggap pun macam tu (tangkap muat). Hendak kata pandai sangat menyanyi tak adalah.

“Tapi kami bolehlah menyanyi. Lagipun kami ada buat persediaan dengan menyertai kelas vokal.

“Bukannya kami masuk membuta tuli,” katanya.

Diusik pertanyaan apakah pemilihannya ada kaitan dengan pengaruh sebagai personaliti media sosial, calon Top 5 kategori Lawak Viral Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 ini memberitahu, perkara itu tidak dapat dielak.

“Program ini ada dua kategori undian, iaitu juri tetap dan penonton. Sebagai pempengaruh, saya kena beritahu mengenai undian itu kepada pengikut ,” katanya.

FD3 menyaksikan Ajai dan Mas Idayu kekal sebagai juri, manakala Izzue Islam dan Janna Nick terus diberi kepercayaan menjadi pengacara.

Duo juara mingguan bakal memenangi hadiah bernilai RM10,000 pada tujuh episod pertama, manakala finalis di pentas akhir FD3 berpeluang merebut hadiah wang utama sebanyak RM100,000.

Pemenang mingguan akan ditentukan juri tetap sebanyak 70 peratus dan undian dalam talian melalui Tonton (30 peratus).

FD3 bakal menemui penonton setiap Ahad jam 9 malam di TV3 dan strim langsung secara HD melalui Tonton di www.tonton.com.my atau di aplikasi Tonton yang boleh dimuat turun di Google Play atau App Store.

Penaja utama FD3 adalah OGAWA, penaja bersama Elegant Cosmetics dan rakan penaja Centrum Multivitamin.

Turut memeriahkan FD3 adalah Oh Bulan! dan XTRA sebagai Famili Digital serta Hot FM sebagai Famili Radio. BH

Peserta bukan penyanyi berentap di Famili Duo 3

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

GV10: Peminat mahu Kak Lina Pom Pom kembali, Elly Mazlein tak gedik

Ira Kazar terima kifarah – Nur Nilam

Jiggy komen pakaian renang Dhabitah

Tuah wajah iras Mira Filzah dapat watak utama

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker