Buang sifat pesimis ketika hadapi saat sukar

MUSIBAH banjir yang berlaku di beberapa kawasan di negara kita adalah satu daripada ujian Allah.

Buang sifat pesimis ketika hadapi saat sukar

oleh Mohd Rizal Azman Rifin

“Abi, negara kita baru sahaja dilanda banjir. Kini, datang lagi banjir ni.” Demikian cetusan putera sulung saya, Ahmad Fauwaz yang mungkin hairan dengan situasi semasa yang asyik ada sahaja banjir yang melanda negara.

Sambil tersenyum saya cuba memberikan sedikit info untuk pengetahuannya supaya setiap pertanyaannya tidak ‘termati’ begitu sahaja. Kata saya kepadanya, ‘Fauwaz, begitulah setiap penghujung dan awal tahun tiupan angin Monsun Timur Laut akan membawa ledakan hujan yang lebat sekali gus menyebabkan beberapa negeri di Malaysia dilanda banjir. Alhamdulillah, bencana alam seperti banjir ini tidaklah seteruk sebagaimana yang saudara kita di negara lain alami. Namun, langkah kewaspadaan semestinya diambil.’

Berkenaan fenomena alam seperti kejadian banjir yang tidak putus-putus melanda baik di negara kita mahupun di negara lain, maka ada baiknya kita renung sebaris ungkapan yang diujarkan oleh Ibnu Jauzi yang antaranya beliau berkata, ‘Hendaklah seseorang itu sedar bahawa dunia ini adalah tempat ujian dan kesusahan. Dunia bukan tempat tinggal kekal untuk bersenang-senang. Hendaklah seseorang itu yakin bahawa setiap musibah yang menimpa adalah datangnya dengan ketentuan Allah.’

Walau apa pun situasi yang melanda, kita sebagai hamba Allah seharusnya bersikap tabah dan sabar. Mungkin sesetengah golongan yang mata pencariannya bergantung kepada sumber marin di laut, maka ketika ini tentu berhadapan dengan situasi sukar dan getir. Jangan dikeluh dengan keadaan apa pun yang ditimpakan Allah.

Apa yang diperintahkan Allah kepada hamba-Nya supaya melihat suasana semasa dengan hati yang reda dan sentiasa berdoa agar dibukakan jalan baharu buat sementara dalam mencari rezeki bagi menggantikan pintu yang tertutup itu.

Allah meminta kita mengamalkan nilai sabar dalam seluruh dimensi kehidupan. Ini termasuk juga sewaktu menempuh musim tengkujuh yang begitu merimaskan dan menggetirkan sesetengah golongan. Firman Allah: “Maka bersabarlah kamu seperti orang yang mempunyai keteguhan hati daripada rasul telah bersabar dan janganlah kamu meminta disegerakan (azab) bagi mereka.” (Surah al-Ahqaaf ayat 35)

Jadi, golongan paling terasa tempias musim tengkujuh seperti nelayan perlu mengaktifkan secara optimum sikap bersabar dan mengelakkan asyik mengeluh atas kesempitan yang dihadapi. Apa yang penting ketika ini ialah mempergunakan ruang masa dengan aktiviti pencarian sumber rezeki alternatif.

Buat dan lakukanlah apa sahaja pekerjaan gantian yang bersesuaian selagi ia halal di sisi agama serta bersemangatlah dalam melaksanakannya. Insya-Allah, Allah akan memberi bantuan meringankan beban dalam masa kritikal ini. Ingatlah pesanan Rasulullah SAW: “Berkemahuan keraslah terhadap apa yang mendatangkan manfaat kepadamu, mohonlah pertolongan kepada Allah dan janganlah lemah semangat.” (Hadis Riwayat Muslim)

Perkara utama yang sepatutnya diketepikan dalam diri ialah membuang sikap pesimis untuk menghadapi keadaan yang sukar. Sebab itulah Rasulullah SAW berpesan kepada kita semua supaya menanam sikap optimistik dalam melakukan apa sahaja. Ini diakui juga oleh beberapa tokoh Barat yang memperakukan bahawa sikap menentukan seseorang itu mampu melakukan sesuatu yang terbaik.

Orang bukan Islam juga turut mengakui kepentingan sikap sabar, misalnya Winston Churchill iaitu bekas Perdana Menteri Britain yang mengatakan: “Orang yang optimis melihat kesukaran dalam setiap peluang, orang yang optimis melihat peluang dalam setiap kesukaran.”

Tony Jeary iaitu penulis buku Success Acceleration juga mengulas hal yang sama. Kata beliau: “Bersikap optimis dan positif bukan hanya tindakan, suatu gimik atau formula ajaib yang perlu dilaksanakan apabila perlu. Sebaliknya ia mesti dibangunkan dan diamalkan sehingga ia menjadi kebiasaan atau a nature response.”

Selain berfikiran positif menghadapi masa-masa sukar, kita juga sewajarnya tidak lupa memohon pertolongan daripada Allah segala kesulitan yang sedang dihadapi akan diringankan-Nya serta dipermudahkan urusan mencari rezeki. Jangan disebabkan sedang dalam kerumitan hidup menyebabkan kita terus berburuk sangka terhadap takdir Allah dan malas untuk berdoa. Rasulullah SAW menganggap orang yang enggan berdoa itu insan yang paling lemah. Kata Rasulullah SAW: “Manusia paling lemah adalah orang yang tidak mampu memanfaatkan doa.” (Hadis Riwayat at-Tabrani)

Ibnu Qayyim di dalam kitabnya, Ad Din Wad Dawaa mengatakan: “Doa adalah musuh segala bencana. Doa dapat menolak malah dapat menghilangkannya. Ataupun sekurang-kurangnya, doa itu akan dapat meringankan segala bentuk musibah yang datang.”

Satu hal yang sewajibnya diinsafi oleh kita semua ialah segala yang sedang ditempuhi adalah bentuk ujian ke atas kadar iman. Saidina Ali bin Abi Talib pernah berkata, “Lebih baik kita diuji sewaktu hidup di atas muka bumi ini, berbanding ujian di akhirat kerana seberat mana pun ujian di dunia, ia akan berakhir, akan tetapi jika diuji dengan kesusahan di akhirat, ia terlalu dahsyat untuk ditanggung.”

Ini kata-kata motivasi semangat buat kita pada akhir zaman ini agar terus tabah dan bersedia menghadapi apa jua dugaan yang melanda.

Bersandarlah diri dengan sikap reda dalam melalui masa dugaan kerana hanya hati yang ‘kaya’ dengan nilai reda itu akan berasa tenang dan tidak cemas. Orang yang bersikap reda dengan sebarang ketentuan Allah akan memutikkan kesabaran yang tinggi dan tidak takut terhadap apa sahaja kemungkinan. Ini kerana mereka yakin bahawa Allah akan memberi kemudahan dan pertolongan kepadanya.

Ingatlah, dalam apa juga situasi yang kita tempuhi, jangan sampai terkeluar daripada mulut kata-kata yang berunsur keluhan. Sebaliknya teruslah menjalani kehidupan dengan melakukan transformasi dan pengubahsuaian mengikut keadaan supaya rezeki sentiasa dicurahkan Allah. Berdoalah agar Allah memberi kita jalan keluar tatkala hidup terasa menghimpit. Letakkan di minda, bahawa Tuhan sentiasa menguji kita.

Semoga kita semua, lebih-lebih lagi saudara kita yang sentiasa diuji dengan kejadian banjir, diperkuatkan oleh Allah dengan sikap sabar dan tabah.

Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah

Buang sifat pesimis ketika hadapi saat sukar

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Musa Hassan beri amaran jangan masuk campur urusan keluarga [VIDEO]

Logo rahsia beruang pada coklat Toblerone

Didakwa gigit ‘kemaluan wanita’, anak billionair dipanggil polis

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker