Sepanyol padam impian Perancis, mara ke final Piala Dunia

Sepanyol padam impian Perancis, mara ke final Piala Dunia

Sepanyol padam impian Perancis, mara ke final Piala Dunia
PEMAIN Sepanyol meraikan kemenangan ke atas Perancis. FOTO Agensi

Arlington: Sepanyol mempamerkan taktikal menakjubkan apabila menewaskan pilihan utama kejohanan, Perancis 2-0 untuk mara ke final Piala Dunia 2026 sekali gus menghancurkan impian Les Bleus memburu kejuaraan dunia ketiga.

Sepakan penalti Mikel Oyarzabal pada babak pertama dan jaringan Pedro Porro pada minit ke-58 memastikan kemenangan bergaya juara Eropah itu di Stadium AT&T, Arlington, Texas.

Sepanyol, juara dunia 2010, kini akan berdepan pemenang separuh akhir antara Argentina dan England dalam aksi final Ahad ini di New Jersey.

Perancis hadir ke perlawanan itu sebagai pasukan pilihan utama selepas mencipta rekod jaringan mengagumkan sepanjang kempen sehingga ke separuh akhir.

Namun, kuartet serangan berbisa diketuai kapten Kylian Mbappe bersama pemenang Ballon d’Or, Ousmane Dembele, Bradley Barcola dan Michael Olise gagal menyerlah apabila berjaya dikawal rapi menerusi gabungan ketenangan serta kekuatan fizikal Sepanyol.

Sepanyol yang sebelum ini menewaskan Perancis dalam dua pertemuan kompetitif terakhir mereka membuktikan janji untuk tampil menyerang sejak awal.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Mohd Salim Ajak Semua Kembali Bersama UMNO, Perkukuh Kekuatan BN


Dominasi bahagian tengah yang diketuai bintang Manchester City, Rodri, bersama sokongan Fabian Ruiz dan Dani Olmo menyebabkan Perancis sukar membina rentak permainan.

Gandingan tengah Perancis, Adrien Rabiot dan Aurelien Tchouameni, gagal menyaingi kawalan bola Sepanyol yang mudah menguasai permainan menerusi hantaran pantas.

Petanda kekecewaan Perancis muncul seawal minit kesembilan apabila Rabiot dilayangkan kad kuning kerana memijak kaki Olmo di luar kawasan penalti.

Bagaimanapun, walaupun dikuasai Sepanyol pada awal permainan, Perancis tetap mencipta ancaman ketika menyerang dan hampir membuka ruang buat Mbappe pada minit ke-16 sebelum Pau Cubarsi melakukan hadangan penting.

Penguasaan awal Sepanyol akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-20.

Hantaran lintang Marc Cucurella gagal dikeluarkan dengan sempurna oleh Lucas Digne sebelum pemain Aston Villa itu secara tidak sengaja menghayun kaki dan mengasari bintang Barcelona, Lamine Yamal, dalam kotak penalti.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

‘Jangan Lupa Janji!’, Armand Azha Ingatkan Nga Kor Ming


Pengadil El Salvador, Ivan Barton, tanpa ragu-ragu memberikan sepakan penalti dan Oyarzabal menyempurnakannya dengan tenang menewaskan penjaga gol Perancis, Mike Maignan.

Situasi Perancis bertambah buruk selepas minit ke-31 apabila pertahanan tengah utama, William Saliba, terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan dan digantikan Maxence Lacroix.

Sepanyol hampir menggandakan kelebihan menerusi gerakan hantaran cantik pada minit ke-38, namun rembatan Fabian Ruiz disekat Dayot Upamecano.

Perancis menampilkan aksi lebih baik pada penghujung babak pertama, tetapi penjaga gol Sepanyol, Unai Simon, melakukan bacaan tepat untuk menafikan percubaan Mbappe hasil hantaran Rabiot.

Sepanyol kembali menguasai permainan selepas rehat apabila kegagalan jurulatih Perancis, Didier Deschamps, melakukan perubahan taktikal membolehkan bahagian tengah Sepanyol terus mengawal perlawanan.

Pada minit ke-58, Sepanyol memberikan tamparan terakhir kepada lawan.

Gandingan satu-dua menarik antara Porro dan Olmo di luar kotak penalti membuka ruang buat pertahanan Tottenham itu melepaskan rembatan kemas melepasi Maignan.

Sepanyol hampir menambah gol ketiga pada minit ke-61 tetapi jaringan Yamal dibatalkan kerana ofsaid.

Deschamps kemudian melakukan beberapa pertukaran pemain dalam usaha mengubah keadaan, namun Perancis terus buntu menembusi benteng pertahanan Sepanyol.

Peluang terbaik mereka hadir menerusi rembatan Mbappe yang berjaya disekat Simon di tiang dekat.

Kekecewaan Perancis turut terpancar menerusi Mbappe yang dilayangkan kad kuning pada minit-minit akhir selepas melakukan kekasaran susulan terhadap Simon ketika Sepanyol memastikan kemenangan.

Kemenangan itu menyaksikan Sepanyol melangkah ke final Piala Dunia buat kali kedua dalam sejarah selepas kejayaan mereka pada 2010.

Sepanyol padam impian Perancis, mara ke final Piala Dunia


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Kerajaan Negeri Melaka Komited Perkasa Agenda Perumahan Demi Kesejahteraan Rakyat

 

 

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker