Pesara saintis dakwa temui lokasi bangkai pesawat MH370
Pesara saintis dakwa temui lokasi bangkai pesawat MH370

KUALA LUMPUR: Seorang pesara saintis penyelidikan mendakwa sudah menemui lokasi bangkai pesawat MH370 milik Malaysia Airlines yang hilang ketika dalam penerbangan lebih sedekad lalu.
Bekas penyelidik di Institut Pengajian Marin dan Antartik, Universiti Tasmania yang berpangkalan di Australia, Dr Vincent Lyne, mendakwa mengenal pasti piksel kuning dalam model rupa bumi bagi dasar lautan global, yang mungkin menunjukkan lokasi pesawat terbabit.
Malah, katanya, berdasarkan data Carta Batimetrik Umum Lautan (GEBCO) yang memetakan rupa bumi bawah air menunjukkan bentuk piksel dengan jelas.
Batimetri adalah kaedah pengukuran kedalaman lautan untuk menentukan keadaan rupa bumi lantai lautan.
Pesara saintis itu mendakwa piksel berkenaan muncul pada latitud 33.02°S, longitud 100.27°E, dalam kawah di hujung timur Broken Ridge, iaitu kawasan laut dalam yang berbukit di Lautan Hindi.
DISYORKAN UNTUK ANDA :
“Ia tersembunyi jauh di lautan luas dengan piksel terang muncul di kawasan Briken Ridge bertemu zon Rekahan Diamantina, menunjukkan lokasi bangkai pesawat dengan ketepatan belum pernah terjadi sebelum ini.
“Ia menonjol sebagai anomali sangat ketara pada kedalaman 5,750 meter, menunjukkan kemungkinan lokasi nahas MH370.
“Namun, gabungan data sonar yang tidak seimbang dan altimeter satelit menyebabkan wujud sedikit ketidakpastian lokasi, biarpun anomali melampau berkenaan tidak dapat disangkal,” katanya seperti dilaporkan Today’s Paper terbitan The Economic Times.
Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 kru hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada jam 1.09 pagi, 8 Mac 2014.
Ungkapan ‘Good night, Malaysian three-seven-zero,’ adalah mesej terakhir dari kokpit pesawat MH370 selepas ia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 12.41 tengah malam.
DISYORKAN UNTUK ANDA :
Ia kekal sebagai antara misteri terbesar dalam sejarah penerbangan moden, membawa kesedihan berpanjangan kepada keluarga mangsa serta mencetuskan pelbagai teori dan usaha pencarian yang masih berterusan.
Sebelum ini, Lyne berpendapat insiden terbabit disengajakan, selain mendakwa juruterbang pesawat itu, Kapten Zaharie Ahmad Shah, dengan sengaja menjunamkan MH370 ke dasar Broken Ridge, menjadikannya sukar ditemui.
Katanya, kawah dikenal pasti beliau ‘tidak konsisten dengan ciri semula jadi dasar laut’ selain mencadangkan MH370 mungkin sengaja diterjunkan ke dalam lubang berkenaan.
Beliau juga mengakui hujah berkenaan bersifat spekulatif, sambil menjelaskan ia adalah satu lagi teori kepada misteri yang terus menarik perhatian dunia itu.
BH baru-baru ini, melaporkan Kementerian Pengangkutan menegaskan komitmen kerajaan meneruskan operasi pencarian MH370 berdasarkan petunjuk berwibawa, sekali gus memberikan jawapan diperlukan keluarga mangsa.
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- Apakah Masa Depan UMNO Sebagai Parti Politik Orang Melayu
- Apakah Pemimpin Politik Masih Menghormati Prinsip Demokrasi?
Selaras keputusan Jemaah Menteri pada 13 Disember lalu, kerajaan bersetuju menerima syor Ocean Infinity (United Kingdom) bagi memulakan semula operasi pencarian di kawasan baharu, dengan keluasan kira-kira 15,000 kilometer persegi (km2) di selatan Lautan Hindi.
Operasi itu dilaksanakan berdasarkan prinsip ‘no find, no fee’, iaitu tiada sebarang pembayaran akan dibuat melainkan bangkai pesawat ditemukan.
Syarikat robotik marin, Ocean Infinity sebelum ini, melaksanakan usaha pencarian MH370 bermula Januari 2018, meliputi lebih 112,000km2 dasar laut di selatan Lautan Hindi sebelum menamatkan misinya pada 29 Mei 2018.
Pencarian MH370 adalah antara operasi paling mahal dalam sejarah penerbangan dunia, membabitkan kos AS$200 juta (RM837.47 juta) ketika itu serta penyertaan 82 pesawat dan 84 kapal laut dari 26 negara.