Penjawat awam antara 13 ditahan terbabit kartel pindah milik tanah – Ramli

Penjawat awam antara 13 ditahan terbabit kartel pindah milik tanah – Ramli

Penjawat awam antara 13 ditahan terbabit kartel pindah milik tanah - Ramli
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf pada sidang media di Menara KPJ Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. – Foto ASWADI ALIAS

KUALA LUMPUR: Enam wanita antara 13 yang ditahan termasuk penjawat awam kerana disyaki terbabit dengan kartel pindah milik tanah secara tidak sah membabitkan sebuah pejabat tanah dan daerah di Selangor.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata tangkapan dilakukan susulan satu laporan polis dibuat oleh seorang penolong pegawai daerah pada awal bulan ini.

Katanya, pengadu tampil membuat laporan polis selepas mendapati wujud beberapa transaksi pindah milik tanah yang mencurigakan dan berlaku secara tidak sah.

“Siasatan yang dijalankan mendedahkan terdapat sindiket dan kartel di dalam pejabat tanah yang menjalankan kegiatan pindah milik tanah secara tidak sah.

“Sindiket ini dipercayai mengeksploitasi sistem dengan memadam serta menghilangkan rekod-rekod penting pindah milik.


“Setakat ini dipercayai terdapat enam transaksi pindah milik secara tidak sah membabitkan enam bidang tanah,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat JSJK, Menara KPJ di sini, hari ini.

Ramli berkata, susulan siasatan yang dijalankan, pihaknya menahan 13 individu terdiri daripada tujuh lelaki dan enam wanita berusia lingkungan antara 26 hingga 59 tahun.

Beliau berkata, antara suspek yang ditahan itu adalah kakitangan di pejabat tanah dan daerah terbabit, bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut kerana kes masih dalam siasatan.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Ramli berkata seorang lelaki warga emas berusia 65 tahun kerugian RM1.08 juta wang simpanan persaraan selepas menjadi mangsa ‘phone scam’.

Katanya, mangsa tampil membuat laporan polis di Pulau Pinang, semalam dan menyatakan menerima panggilan dari individu mengaku kononnya pegawai dari ‘Tabung Haji’ pada 18 Oktober lalu.

“Mangsa dimaklumkan akaun miliknya didapati terbabit dengan kegiatan pengubahan wang haram. Seterusnya mangsa dihubungi oleh seorang yang mendakwa dari Balai Polis Ampang yang kononnya akan membuat siasatan terhadap pengadu.

“Mangsa turut diingatkan supaya tidak menceritakan perihal siasatan tersebut kepada orang lain atau mangsa akan ditangkap,” katanya.

Ramli berkata mangsa juga diarahkan ‘melaporkan diri’ lima kali sehari kepada ‘Puan Suraya’ yang kononnya seorang pendakwa raya.

“Mangsa diarahkan membuka akaun bank baharu dan memindahkan semua wang miliknya ke akaun bank tersebut dan menyerahkan butiran perbankan

akaun kepada pihak sindiket.

“Mangsa hanya menyedari ditipu apabila bercerita perkara tersebut kepada anaknya,” katanya.

Ramli berkata, semakan lanjut mendapati wang dari akaun bank yang baharu dibuka mangsa itu sudah dipindahkan ke beberapa bank yang belum dikenalpasti melalui 60 transaksi berbeza.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Kepada anak-anak, tolonglah nasihatkan ibu bapa, pakcik, makcik, saudara, rakan taulan terutamanya warga emas.

“Selitkan perkara ini sebagai agenda perbualan supaya mereka tahu dan terdetik di pemikiran mereka apabila menerima panggilan sebegini,” katanya.

Penjawat awam antara 13 ditahan terbabit kartel pindah milik tanah – Ramli

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker