Pemilihan BERSATU: JPP akan umum keputusan selepas semakan
Oleh – Syeikh Baran
Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) BERSATU mengesahkan sudah menerima keputusan pemilihan jawatankuasa dari 296 persidangan Srikandi Bahagian, ARMADA bahagian dan Srikandi Muda Bahagian di seluruh negara.
Pengerusi JPP BERSATU, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dalam kenyataan hari ini berkata, semua bahagian berjaya melangsungkan persidangan bahagian masing-masing semalam.
Katanya, keputusan muktamad bagi pemilihan Jawatankuasa peringkat Srikandi, ARMADA dan Srikandi Muda pusat akan diumumkan dalam waktu terdekat selepas pihaknya selesai menyemak semua pematuhan peraturan pemilihan dan prosedur pengundian.
Ia termasuk menyemak penjumlahan undi yang teratur serta memperhalusi semua bantahan dan aduan yang diterima.
“Pihak JPP ingin menegaskan waktu akhir penerimaan bantahan dan aduan oleh pihak JPP Pusat adalah pada jam 10 pagi esok.
“Sebarang urusan boleh berhubung dengan Setiausaha JPP Pusat Saudara Amirul Fahmi di talian 013-6011 566.
“Kami menyeru semua pihak tidak membuat sebarang pengumuman atau spekulasi mengenai keputusan kemenangan mana-mana pihak sehingga pihak JPP mengumumkannya secara rasmi dan muktamad,” katanya.
Sumber – BERITA HARIAN