Rempuhan Itaewon: Bekas ketua polis Seoul bebas tuduhan kecuaian

Oleh – Syeikh Baran

Rempuhan Itaewon: Bekas ketua polis Seoul bebas tuduhan kecuaian

Mahkamah Korea Selatan membebaskan bekas ketua polis Seoul daripada pertuduhan melakukan kecuaian berhubung insiden kematian 159 orang semasa sambutan Halloween di daerah Itaewon, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) kelmarin.



Kim Kwang-ho, merupakan pegawai polis berpangkat tertinggi yang didakwa atas tragedi rempuhan maut tersebut pada 2022. 

Semasa perbicaraan, mahkamah berkata, bukti pendakwaan tidak mencukupi untuk membuktikan Kwang-ho mengabaikan tugasnya sebelum kejadian dan semasa respons awal.

Seorang pegawai polis berpangkat rendah, Lee Im-jae, dikenakan hukuman penjara selama tiga tahun pada bulan lalu kerana gagal menghalang rempuhan daripada berlaku.

Keputusan itu bagaimanapun mendapat bantahan keras daripada keluarga mangsa. Mereka berkata bahawa Kwang-ho sepatutnya didakwa lebih awal. 

Kwang-ho didakwa pada Januari lalu, lebih setahun selepas tragedi itu. 



Dia turut dipecat daripada jawatannya pada Jun lalu selepas dikenakan tindakan tatatertib susulan kejadian itu, lapor agensi berita Yonhap.

Sementara itu, dua tertuduh yang bekerja sebagai pegawai pengurusan situasi semasa kejadian, Ryu Mi-jin dan Jeong Dae-gyeong didapati tidak bersalah.

Keluarga mangsa berkata mereka mengutuk sekeras-kerasnya keputusan itu dan meminta pendakwa raya memfailkan rayuan.

“Mahkamah terlepas peluang untuk berfikir tentang beratnya tanggungjawab pegawai awam melindungi nyawa dan keselamatan orang awam, selain mengingatkan pemimpin negeri dan anggota masyarakat tentang perkara ini.



“Siasatan lemah pihak pendakwaan dan tafsiran pasif undang-undang mahkamah telah melengahkan hukuman terhadap mereka yang bertanggungjawab atas tragedi itu dan sekali lagi ‘mencabul’ hak mangsa,” kata mereka. – AGENSI

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker