‘Saya tak mahu ke mahkamah lihat suspek bunuh ayah, bimbang emosi terganggu’
Oleh – Syeikh Baran
“Saya tidak berhasrat ke mahkamah esok untuk melihat suspek bunuh ayah, saya bimbang emosi saya akan lebih terganggu apabila melihat mereka berdua,” kata Muhammad Amir Hakimi Sabari , 25.
Anak bongsu Sabari Baharom, 62, itu berkata, dia dimaklumkan perkara itu oleh pegawai penyiasat pagi tadi bahawa dua suspek akan didakwa di Mahkamah Majistret Kubang Pasu, esok.
Bagaimanapun, katanya, kakak sulungnya Suraiya Izzati, 29, akan ke mahkamah esok bagi melihat sendiri pendakwaan terhadap dua suspek itu.
“Saya harap kes ini berjalan lancar di mahkamah, apa yang dia (suspek) buat, dia akan dapat balik,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Amir berkata, sebagai anak, dia tetap mahu keadilan untuk bapanya dan yakin apa saja keputusan diambil mahkamah kelak akan menjadi contoh kepada masyarakat.
Katanya, dia tidak mahu mengganggu perjalanan kes mahkamah, malah apabila siasatan mula dilakukan secara terperinci dia menyerahkan segala-galanya kepada polis.
“Kita tidak tahu apa yang suspek cakap mungkin. Namun saya yakin dengan polis, undang-undang negara, kes ini perlu jadi pengajaran kepada semua orang,” katanya.
Sebelum ini, dua lelaki masing-masing berusia 26 dan 38 tahun ditahan pada 27 September bagi membantu siasatan.
Hasil siasatan, suspek membuat pengakuan mencampak mangsa ke dalam Sungai Padang Terap di Derang, Jitra dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat.
Sumber – BERITA HARIAN