Nombor plat lebih kecil daripada syiling 5 sen

Oleh – Syeikh Baran

Nombor plat lebih kecil daripada syiling 5 sen

Selain tak memakai topi keledar, ada penunggang motosikal yang dikesan begitu berani menggunakan nombor plat pendaftaran lebih kecil daripada duit syiling lima sen bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.



Itu antara kesalahan yang ditemui ketika polis menjalankan operasi motosikal di sekitar Kuala Perlis malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop, berkata operasi yang dijalankan sekitar jam 6 petang dan berterusan hingga awal pagi hari ini dengan menumpukan lokasi Kuala Perlis bermula dari kawasan pesisiran pantai Kurong Tengar hingga ke Kuala Perlis.

“Operasi ini masih berterusan dan hingga kini, kita sudah tahan seramai 441 penunggang motosikal dan pembonceng dan merampas 350 motosikal yang didapati mempunyai pelbagai kesalahan antaranya nombor plat pendaftaran tidak dipasang dan dipamerkan, pengubahsuai motosikal termasuk ekzos serta ada beberapa kes yang kita kesan menggunakan plat pendaftaran palsu.

“Kita laksanakan operasi ini setiap hujung minggu memandangkan cuti hujung minggu di negeri ini dan daerah Kangar dan Kuala Perlis sering menjadi tumpuan penunggang motosikal dari seluruh utara. Dalam operasi ini kami kesan ada individu atau kumpulan penunggang motosikal yang datang dari Perak, Pulau Pinang, Kedah malah dari Langkawi,” katanya ditemui di Balai Polis Kuala Perlis.



Katanya, menerusi operasi yang dilaksanakan, pihaknya mengharapkan keluarga dan ibu bapa sentiasa memantau anak mereka menunggang motosikal dalam keadaan selamat termasuklah dengan mempunyai lesen memandu dan mematuhi segala peraturan jalan raya yang ditetapkan.

“Malah, ada juga ibu bapa dikesan membiarkan anak mereka di bawah usia seperti 13 tahun menunggang motosikal tanpa lesen memandu.

“Kebanyakan kompaun yang dikeluarkan adalah kesalahan membabitkan saman yang minimum sebanyak RM300 dan tidak lebih RM2,000,” katanya.

Sumber – BERITA HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker