Isu khemah biru Teluk Kemang dijangka selesai akhir tahun ini – Exco

Oleh – Syeikh Baran

Isu khemah biru Teluk Kemang dijangka selesai akhir tahun ini - Exco

Kedegilan pengusaha yang enggan mematuhi peraturan ditetapkan oleh Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) menyebabkan isu khemah biru di pantai Teluk Kemang, Port Dickson, dekat sini, berterusan.



Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J Arul Kumar berkata, sikap pengusaha yang tidak mematuhi peraturan mengundang masalah kepada pengunjung di pantai peranginan berkenaan.

Katanya, pengusaha sepatutnya membuka khemah sekiranya tiada permintaan pelanggan dan bukannya dibiarkan dipacak seolah-olah kawasan itu adalah tempat mereka.

“Isunya sekarang ada pengusaha pasang khemah secara kekal sehingga menimbulkan rungutan pengunjung kerana rasa kurang selesa dengan kehadiran banyak khemah di situ.

“Kalau mereka patuh dengan arahan dikeluarkan MPPD, saya rasa isu ini tidak akan timbul.



“Sikap mereka itu menyebabkan isu ini berulang sekali lagi,” katanya di sini, hari ini.

Arul Kumar berkata, seperti mana yang dimaklumkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sebelum ini, isu berkenaan akan diselesaikan menjelang hujung tahun ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nilai berkata, buat masa ini tiada arahan mengharamkan aktiviti sewaan khemah di pantai terbabit.

Menurutnya, pihaknya mengharapkan pengusaha dapat menghormati peraturan ditetapkan demi kepentingan bersama.



Katanya, penguatkuasaan oleh MPPD akan terus dilakukan dari semasa ke semasa dan tindakan merampas atau menyita khemah akan diambil sekiranya masih ada pengusaha yang berdegil.

“Kita pun ada pertimbangan kerana memahami itu sumber rezeki mereka selain ada permintaan daripada pelanggan.

“Bagi setengah orang memang mereka tidak perlukan khemah, tapi ada yang memerlukannya kerana tidak mahu duduk dalam keadaan panas,” katanya yang menjelaskan bahawa isu berkenaan hanya membabitkan pantai Teluk Kemang dan bukan di pantai lain di Port Dickson.

Sumber – HARIAN METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker