Subahat timbul apabila Razak membisu tentang pembunuhan Altantuya
Subahat timbul apabila Razak membisu tentang pembunuhan Altantuya
Suatu inferens yang bertentangan dengan kepentingan Razak Baginda terpaksa dibuat apabila penganalisis politik itu memilih untuk tidak beri keterangan bersumpah atau kemuka saksi, dalam saman keluarga Altantuyaa Shaariibu yang dibunuh, menurut Mahkamah Tinggi.
Hakim Vazeer Alam Mydin Meera berkata hanya Razak boleh menjawab beberapa persoalan yang timbul. Penganalisis itu mengakui ada hubungan romantik dengan wanita warga Mongolia itu, antara November 2004 dan Ogos 2005.
“Walaupun berpeluang membuat penjelasan di kandang saksi, dia memilih untuk tidak berbuat demikian. Terdapat motif serong yang jelas di pihak defendan ketiga (Razak) apabila berhujah tidak ada kes yang perlu dijawab,” katanya dalam penghakiman yang diterbitkan minggu lalu.
Vazeer, kini hakim di Mahkamah Persekutuan, berkata mahkamah berhak membuat inferens yang bertentangan dengan kepentingan Razak apabila beliau enggan beri keterangan atau memimpin keterangan menerusi saksi, menurut Seksyen 114(g) Akta Keterangan.
Pada 16 Dis 2022, Vazeer yang ketika itu bersidang di Mahkamah Tinggi Shah Alam, memutuskan bahawa bekas anggota polis iaitu Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, Razak, dan kerajaan persekutuan boleh dipertanggungjawabkan atas kematian Altantuya.
Hakim memerintahkan keempat-empat pihak berkenaan secara bersama membayar ganti rugi sebanyak RM5 juta kepada keluarga mangsa.
Dalam penghakiman bertulis yang baru diterbitkan itu, Vazeer mengambil maklum bahawa Azilah memberitahu Razak bahawa dia boleh “habiskan perempuan itu”, dalam suatu pertemuan di pejabat Razak pada 17 Okt 2006.
Razak dikatakan menjawab bahawa tidak perlu bertindak sebegitu ekstrem, kerana keluarga Altantuya pasti akan mencarinya jika apa-apa berlaku pada wanita itu.
“Jika benar Razak berkata demikian, maka dia sepatutnya beri keterangan bersumpah untuk menjelaskan mengapa dia memanggil Azilah untuk urus mendiang pada malam 19 Okt 2006, apabila wanita itu berada di luar kediamannya.
“Pengisytiharan yang membebaskan dirinya daripada tuduhan serta penafian liabiliti bagi kematian si mati seperti yang terkandung dalam pembelaannya yang telah dipinda tidak menerangkan apa-apa tanpa testimoni di mahkamah,” katanya.
Plaintif yang terdiri daripada bapa Altantuya, iaitu Shaariibuu Setev, dan si ibu, Altantsetseg Sanjaa, serta anaknya, Mungunshagai, memfailkan saman pada 2007 dan mendakwa terdapat suatu konspirasi sekitar pembunuhan wanita itu. Mereka menuntut ganti rugi sebanyak RM100 juta.
Altantuya ditembak mati pada 2006 di hutan di Puncak Alam berdekatan Shah Alam. Mayatnya diletupkan dengan bom C4.
Azilah dan Sirul disabit kesalahan membunuh dan dijatuhi hukuman mati.
Razak, yang juga bekas pembantu kepada Najib Razak sewaktu beliau menjadi timbalan perdana menteri, dituduh bersubahat namun kemudian dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.
Sirul melarikan diri ke Australia sebelum rayuan terakhirnya, manakala Azilah menanti hukuman mati di Penjara Kajang. Kedua-dua mereka tidak mencabar saman keluarga Altantuya.
Vazeer mengisytiharkan bahawa keluarga plaintif berjaya membuktikan kes mereka atas imbangan kebarangkalian.
Mereka menunjukkan bahawa kali terakhir Altantuya dilihat masih hidup adalah pada malam 19 Okt 2006, ketika meninggalkan kawasan mes pegawai Bukit Aman dalam kereta Sirul bersama kedua-dua anggota polis itu.
Vazeer berkata Sirul dan Azilah membuat pengakuan kepada beberapa pegawai polis bahawa mereka menyebabkan kematian Altantuya, dengan menembaknya menggunakan senjata api dan kemudian meletupkan jasadnya.
Hakim berkata kelakuan Razak mendedahkan bahawa beliau tahu apa yang anggota polis terbabit ingin lakukan dan terlibat dalam rancangan itu.
“Kelakuan sebelum dan selepas kematian si mati menimbulkan inferens yang tidak dapat diketepikan, bahawa dia berkomplot dan berpakat sulit dengan anggota polis terbabit sehingga menyebabkan kematian si mati,” katanya.
Vazeer berkata anggota polis terbabit tiada sebab peribadi untuk membunuh Altantuya.
“Saya dapati plaintif telah menunjukkan bahawa Razak bersubahat dalam pembunuhan Altantuya oleh anggota polis terbabit, dan oleh itu boleh dipertanggungjawabkan ke atas pembunuhan itu.”
Vazeer juga berkata beliau berpuas hati bahawa plaintif memenuhi keperluan-keperluan tort konspirasi yang sering diselubungi kerahsiaan.
“Keterangan mengikut keadaan yang menunjukkan ada suatu konspirasi adalah amat kuat,” katanya.
Hakim berkata beliau menganggap jumlah RM5 juta yang diberikan sebagai gantu rugi adalah angka yang adil dan mencukupi, memandangkan peristiwa pembunuhan mangsa dan kelakuan defendan.
“Saya akui bahawa saya tidak temui kes lain di negara ini yang setanding kekejaman Azilah dan Sirul apabila membunuh si mati,” katanya, dan menambah kesalahan serius yang dilakukan oleh anggota polis yang sedang berkhidmat harus dikutuk sekeras-kerasnya.
Razak dan kerajaan telah mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan terhadap dapatan Vazeer mengenai liabiliti dan kuantum ganti rugi.
Disember lalu, dilaporkan peguam bagi keluarga Altantuya sedang meneroka kemungkinan menyelesaikan kes ini dengan kerajaan tanpa melalui proses rayuan. FMT
Subahat timbul apabila Razak membisu tentang pembunuhan Altantuya
Baca Artikel Menarik:
- Pemimpin Umno kena jadi ‘pembangkang’ – Johari
- Rafizi kena jaga mulut
- Bahlol, bodoh Rafizi makan diri
- Tarian pengantin India bersama rakan Melayu jadi viral (Video)
- Mula bergurau, kemudian bergaduh
- Tak perlu lari, runding saja – Anwar
- Kes tumbuk teman wanita, ini kata Ammar Alfian
- ‘Real Taib’ dipenjara 91 bulan, 6 sebatan
- Mamat Exist mengaku ambil dadah
- Muharam bulan Syahrullah
- ‘Berbohong dari dahulu sehingga sekarang, UMNO tidak akan berkerjasama selagi Hadi Awang Presiden PAS’
- Ini rahsia mengapa sepakan penalti England begitu sempurna dalam Euro 2024
- Henti salahkan orang, UMNO kuat MCA & MIC akan turut kuat, jika UMNO lemah begitulah sebaliknya
- ‘Formula Sakti’ Rafizi akhirnya makan diri
- Noh, Annuar ibarat ‘kemuncup di seluar dalam’
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
You must be logged in to post a comment.