Syarikat suami Hannah Yeoh pertimbang tindakan undang-undang isu dakwaan tender DRT

Asia Mobility menafikan terlibat dalam perkara yang tidak beretika.

Syarikat suami Hannah Yeoh pertimbang tindakan undang-undang isu dakwaan tender DRT

Asia Mobility Technologies Sdn Bhd menegaskan pelantikannya sebagai salah satu daripada dua syarikat yang dipilih untuk menjalankan perkhidmatan Demand Responsive Transit (DRT) di bawah inisiatif Selangor Mobiliti telah dilakukan melalui proses awam hampir setahun yang lalu.

Lembaga pengarah syarikat berstatus Malaysia Digital (MD) itu berkata pihaknya telah dijadikan subjek kempen atas talian baru-baru ini oleh pihak tertentu yang tidak dikenali yang telah menimbulkan keraguan terhadap proses pelantikan syarikat tersebut.



Syarikat itu juga berkata akan mempertimbangkan kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang berhubung perkara itu.

“Sebagai sebuah syarikat yang komited terhadap tanggungjawabnya kepada pelanggan dan pemegang sahamnya, kami mengambil serius tuduhan terbaru ini dan akan menggunakan saluran undang-undang untuk menjaga reputasi dan kredibiliti kami.

“Kami melihat perkara ini sebagai serangan tidak berasas terhadap sebuah syarikat teknologi Malaysia yang baru berkembang,” kata syarikat itu.

“Pelantikan kami sebagai salah satu daripada dua penyedia perkhidmatan DRT untuk program Selangor Mobiliti pertama kali diumumkan pada 15 Jun 2023 di forum awam yang dianjurkan kerajaan negeri Selangor bersama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI).



“Ini disusuli pelancaran rasmi logo Selangor Mobiliti dan pengumuman zon pada Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC) pada 20 Oktober 2023.

“Pelantikan ini juga telah diumumkan dalam kenyataan akhbar pihak kami yang turut disiarkan pelbagai agensi berita dan diterbitkan di laman web kami,” tambahnya.

Pada Isnin lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han (gambar atas) berkata Asia Mobility ialah salah satu daripada dua syarikat yang dipilih untuk projek perintis DRT.

Tambahnya, kedua-dua syarikat itu juga telah mendapat kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).



Semalam, pengasas bersama Asia Mobility Technologies, Premesh Chandran mempertahankan peranan firma itu selepas timbul persoalan mengenai kemungkinan mereka mendapat layanan istimewa memandangkan Ketua Pegawai Eksekutifnya Ramachandran Muniandy juga ialah suami kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

“Percayalah, segala-galanya di landasan betul, kami tidak akan terlibat dalam perkara yang tidak beretika atau curang,” katanya pada catatan di media sosial semalam.

Premesh adalah juga bekas ketua pegawai eksekutif Malaysiakini dan ahli lembagai pengarah syarikat itu.

Asia Mobility Technologies, yang diasaskan bersama pada tahun 2018 oleh Premesh dan Ramachandran telah meraih pelbagai pengiktirafan antarabangsa dan serantau, ia termasuklah memenangi cabaran Newton Ungku Omar Fund Grand Challenge 2019.



Selain itu, syarikat teknologi berkenaan turut meraih tempat separuh akhir cabaran CATCH Toyota Mobility Foundation 2020 kategori global dan separuh akhir Top 150 antarabangsa untuk X-PITCH 2021 serta menjadi satu-satunya syarikat yang terpilih mewakili Malaysia pada final Piala Dunia Keusahawanan Global 2022.

Syarikat tersebut juga merupakan pemenang Carsome Mobility Lab, suatu program pemecut oleh Carsome, platform e-dagang kereta bersepadu terbesar di Asia Tenggara.

“Kami sering membida tender dan seperti mana-mana perniagaan kompetitif lain, kami berjaya dalam beberapa tender dan tidak begitu berjaya dalam tender yang lain.

“Sebagai entiti perniagaan yang sangat telus dan beretika, yang mana merupakan lanjutan daripada nilai-nilai peribadi pengasas kami, kami membenci pakatan sulit dan amalan anti-persaingan oleh mana-mana pihak, terutamanya agensi kerajaan dan syarikat korporat,” kata pengarah Asia Mobility.



Katanya lagi, dalam konteks proses pelantikan Selangor Mobiliti, syarikat berkenaan memahami alasan yang diberikan untuk melantik dua syarikat bukan hanya satu.

“Tender terbuka dalam situasi perkhidmatan yang sangat khusus dan baru serta hanya ada dua syarikat yang berkelayakan di Malaysia akan mencipta situasi monopoli di negeri ini.

“Ini akan menyekat daya saing serta peluang kerajaan negeri untuk memandu perkhidmatan ini dalam situasi dunia sebenar dan menilai prestasi pembekal perkhidmatan dalam jangka masa yang munasabah,” tambahnya.

Asia Mobility menjelaskan perkara yang perlu diberi perhatian adalah mengenai pelantikan syarikat itu yang hanya bagi tempoh sembilan bulan.



Kata syarikat itu, pihaknya memerlukan pelaburan besar daripada kedua-dua pembekal perkhidmatan dari segi mendapatkan kenderaan, mengambil pemandu serta penambahbaikan dan pembangunan teknologi yang menghidupkan perkhidmatan tersebut.

“Kerajaan Negeri Selangor telah menerima nilai terbaik bagi pelaburannya dan memberi peluang kepada dua syarikat bagi membuktikan diri mereka dan mencipta perkhidmatan baru bagi negeri yang mungkin menjadi antara yang pertama di Asia Tenggara.

“Kejayaan program Mobiliti Selangor juga telah menyebabkan Prasarana dan Kementerian Pengangkutan mengumumkan penggunaan DRT sebagai pengganti perkhidmatan bas penghantar konvensional di mana RapidKL telah menjalankan ujian yang sangat berjaya pada Mei 2023 dengan Trek Rides di UM-Bangsar South yang mana operasi itu diteruskan secara bebas,” kata pengarah Asia Mobility.

Menurut kenyataan hari ini, DRT merupakan ‘ground-breaking technology’ bagi perkhidmatan pengangkutan awam yang membolehkan perkhidmatan perkongsian perjalanan atas permintaan dengan menggunakan algoritma kecerdasan buatan yang dapat mengautomasikan penghantaran kenderaan dan mengoptimumkan perjalanan serta pengambilan dan menurunkan penumpang ke pelbagai destinasi dengan lebih cekap.

“Tempahan dibuat melalui aplikasi penumpang sementara pemandu dibimbing oleh aplikasi pemandu.

“Beroperasi dalam zon geofenced, ia menyediakan perkhidmatan batuan pertama dan terakhir dengan lebih cekap serta menjimatkan kos dan bebas daripada jadual perjalanan dan laluan tetap seperti perkhidmatan pengangkutan awam konvensional,” katanya. Mk

Syarikat suami Hannah Yeoh pertimbang tindakan undang-undang isu dakwaan tender DRT

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Tinggalkan solat Jumaat kerana bermusafir, ini hukumnya

Ruhainies baru balik umrah kan, kenapa seksi sangat? (Video)

Boikot Starbucks, Berjaya Food rugi RM 33.16 juta suku ketiga

Isteri menjadi dosa jika lakukan 2 ibadah ini

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker