Sanusi tak kesian ke KDA FC?

Oleh Hishamuddin Aun

Baru usai dua perlawanan Liga Super musim 2024/25, sebuah daripada 13 pasukan yang bertanding sedang kelemasan. Lemas oleh dana yang makin kehabisan, lemas memikirkan prestasi pasukan akan merudum dan lebih lemas lagi terhadap kemungkinan terpaksa menarik diri tatkala musim pertandingan belum pun tiba ke garis pertengahan.

Hujung minggu lalu, pemilik kelab Kedah Darul Aman (KDA) FC Mohd Daud Bakar mendedahkan pasukan itu berdepan masalah kewangan meruncing dan hanya mampu bertahan sebulan atau dua saja lagi kerana ketiadaan penaja utama. Penarikan diri penaja sebelumnya dan kurangnya sokongan pelbagai pihak dikatakan antara punca pasukan itu tidak mempunyai kewangan kukuh.

“Jika tiada penaja utama dalam masa terdekat, ia akan menjadi sukar untuk KDA FC meneruskan perjuangan dalam Liga Super. Kewangan yang ada sekarang boleh bertahan satu atau dua bulan sahaja,” katanya seperti dipetik majoriti.com pada 19 Mei.

Dalam Liga Super yang membabitkan 24 perlawanan secara timbal balik, pasukan-pasukan diketahui memerlukan dana besar untuk gaji barisan kejurulatihan dan pemain – dibenarkan membawa masuk sehingga sembilan pemain import musim ini – dan perbelanjaan logistik ketika berkunjung ke tempat lawan. Ia juga merangkumi perlawanan Piala FA dan Piala Malaysia yang berjalan seiring.

Keadaan terbaru itu mengulangi episod penghujung musim lalu apabila KDA FC yang sedang bersaing untuk kedudukan naib juara liga – yang memberikan slot untuk bersaing di peringkat Asia – kesudahannya sekadar menduduki tangga keempat setelah tewas dua perlawanan terakhir kepada Selangor FC dan Sabah FC, yang masing-masing melonjak ke tangga kedua dan ketiga.

Masalah gaji yang tidak terbayar membuat pemain-pemain skuad Sang Kenari ketika itu seakan-akan tawar hati untuk bermain habis-habisan pada ketika ramai antara mereka – pemain import tidak terkecuali – lebih tertumpu untuk mencari majikan baru sedangkan gesaan dan rayuan pihak pengurusan supaya bersabar sedikit tidak mampu menenangkan mereka.

Bagi musim 2024/25 ini pula, KDA FC hanya mendapat ‘lesen’ bertanding pada saat-saat akhir apabila ia memaklumkan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) April lalu bahawa ia sudah mendapat kelulusan pembiayaan dana bagi menyelesaikan tunggakan gaji pemain bagi musim lalu.

Dalam pada itu, KDA FC tetap dikenakan pemotongan tiga mata bagi liga musim ini dan denda RM50,000 kerana gagal menyelesaikan keseluruhan tunggakan gaji bagi tahun 2023 pada atau sebelum tarikh akhir 30 Mac 2024.

Ia tetap mengundang pelbagai reaksi di media sosial terutama selepas Kelantan FC tidak mendapat ‘lesen’ untuk ikut bertanding atas masalah serupa hingga Presiden MFL Ab Ghani Hassan mengeluarkan kenyataan menafikan badan pengelola liga itu bersifat ‘memberi muka’ kepada KDA FC.

Selepas menepati syarat pelesenan MFL, KDA FC tidak lagi akan mendapat kelonggaran jika berlaku lagi tunggakan gaji selepas ini. Sebaliknya, pasukan itu mungkin mengalami nasib serupa dengan tetangga di utara, Perlis FC, yang dibatalkan penyertaannya dalam Liga Perdana selepas hanya beberapa perlawanan pada 2019 apabila MFL mendapati pasukan itu tidak memiliki jaminan kewangan kukuh untuk terus bertahan hingga akhir musim.

Kita percaya pendedahan Daud mengenai kedudukan kewangan pasukannya ketika ini bukan pun bersifat mengugut. Sebaliknya ia lebih kepada menagih ihsan daripada pihak-pihak yang mahu melihat KDA FC terus memberi saingan dalam liga yang mereka sendiri dianggap antara ‘pasukan gergasi’.

Kepayahan mereka sekadar diburukkan lagi oleh laporan pada awal Januari lalu bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Zulkifli Che Haron dan tiga individu termasuk dua perunding bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah bernilai RM6 juta.

Menteri Besar Kedah Sanusi Nor yang juga presiden KFA selepas itu berseloroh mencadangkan agar SPRM mengambil alih pengurusan KDA FC dan membayar gaji pemain. Alasannya ialah penaja yang berminat menaja kelab itu menarik diri gara-gara siasatan ke atas KFA berkaitan isu rasuah. Bakal penaja, katanya, bimbang sumbangan yang hendak disalurkan kepada KDA FC akan dikaitkan dengan isu berkenaan.

Kata Sanusi: “Orang bukan faham KFA dan KDA FC berbeza, mereka tahu dua-dua (entiti) itu pasukan bola saja. Bila dibuat tangkapan dan dituduh rasuah di mahkamah sedangkan ia tidak berlaku, penaja lari kerana mereka kata ada rasuah. Saya cadangkan SPRM ambil alih pasukan bola sepak KDA FC sebab mereka pandai sangat, tentu boleh urus pasukan bola dan bayar gaji tertunggak pemain.”

Di sebalik KDA FC sudah diswastakan untuk liga musim lalu dan bukan lagi tanggungan KFA, ia harus sesuatu yang terpuji apabila Sanusi tidak bersikap lepas tangan, sebaliknya tampil untuk membantu menyelesaikan masalah pasukan.

Semua orang tahu Sanusi amat bersemangat dengan bola sepak dengan kerap beraksi dalam perlawanan persahabatan di negeri Jelapang Padi itu. Dua bekas pemain negeri Radhi Mat Din dan Baddrol Bakhtiar turut diangkatnya sebagai calon Perikatan Nasional (PN) dan menang dalam PRN Ogos tahun lalu untuk bergelar yang berhormat.

Sanusi juga sebelum ini berjanji bahawa kerajaan negeri tetap akan terus memberi bantuan kepada KDA FC meskipun pasukan itu sudah diswastakan sepenuhnya sejak Ogos 2022 tetapi ia menerusi sumber kewangan lain dan tidak sesekali menggunakan duit daripada kantung kerajaan negeri.

“Selama ini kita bantu melalui KFA, sampai sekarang KFA bantu dan terbaharu kita salurkan beberapa juta ringgit lagi, cuma saya tak mahu bising. Polisi kita sangat mudah. Duit bola kita cari duit lain. KFA masih ada dan sudah tolong sejumlah RM16 juta sejak dulu. Saya tak akan guna duit kerajaan untuk bayar gaji bola sepak, sama juga tak guna duit kerajaan negeri untuk bayar gaji pekerja dalam syarikat,” katanya bulan lalu.

Menghadapi kemelut terbaru ini, kerjasama dan bantuan menteri besar sekali lagi ditagih dan diharapkan beliau tidak serik untuk membantu. Tak mungkin Sanusi tak berasa kasihan dengan KDA FC yang digambarkan ‘sedang tenggelam’.

Ketika belum diswastakan pun, pasukan Kedah sebelum ini sentiasa disasarkannya untuk menjadi yang terbaik dalam negara – sama seperti ketika mereka meraih gelaran ‘double treble’ pada 2007 dan 2008.

Dengan rekod gemilang lampau seperti itu, tidak mungkin Sanusi akan membiarkan KDA FC terkapai-kapai, jauh sekali untuk merelakan skuad Helang Merah itu terkeluar daripada saingan. Untuk menjangkakan menteri besar tidak menaruh sebarang belas ihsan terhadap KDA FC, rasanya itu sesuatu yang tak masuk akal.

Sambil menghargai pendirian menteri besar yang enggan menggunakan wang kerajaan negeri bagi melunaskan gaji pemain yang tertunggak, Daud yakin bahawa kerajaan negeri dan agensi kerajaan lain akan mencari peluang bagi membantu pembangunan bola sepak di Kedah, termasuk KDA FC yang dianggap sebagai ‘tiang utama’ bola sepak negeri.

“KDA FC menghormati keputusan kerajaan negeri dan memahami bahawa segala tanggungjawab serta liabiliti kewangan tertanggung sepenuhnya oleh pemilik saham. Justeru, KDA FC mengharapkan sokongan dan sumbangan pihak penaja, peminat serta penyokong untuk membina semula pasukan yang sedang tenggelam ini,” katanya.

Meskipun tidak dinyatakannya secara terbuka, harus keyakinannya ialah Sanusi – seperti masa-masa lalu – akan tampil membantu lagi.

Lagipun, seperti diungkapkan oleh penganalisis sukan Pekan Ramli, penarikan diri daripada saingan liga tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah kerana gaji pemain termasuk gaji pemain import tetap perlu dilunaskan juga. FMT

Sanusi tak kesian ke KDA FC?

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Penjenayah samun kedai runcit di Kampung Baru berjaya ditangkap polis

Arab Saudi makin gila, anjur fesyen pakaian renang

Saya bodoh, Mahathir pilih Ku Li – Musa Hitam

Sebab kubur suspek serang Balai Polis Ulu Tiram diasingkan.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker