Baguslah tu Sanusi

Baguslah tu Sanusi

oleh Hishamuddin Aun

Ketika mula menatap berita ini, saya terpaksa gosok-gosok mata. Takut penglihatan kabur dah mula gagalkan saya, kalau-kalau dah tersalah baca atau minda mula memesongkan kewarasan saya. Sungguhlah politik adalah satu cabang seni yang serba berkemungkinan, dengan tiada kawan atau lawan yang kekal. Kawan hari ini mungkin jadi lawan esok hari dan begitulah sebaliknya.



Apabila Menteri Besar Kedah Sanusi Nor minggu lalu mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang sering didakwanya “buka mulut, muhong…buka mulut, muhong”, saya anggap ia berita yang bukan biasa-biasa, malah sesuatu yang di luar tabii. Lagipun, bila kali terakhir Sanusi berterima kasih kepada musuh politiknya itu melainkan ia jadi petanda esok kita akan mula berpuasa Ramadan yang menuntut supaya saling memaafkan.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu seakan-akan dapat berasa ucapan terima kasihnya kepada perdana menteri kerana membuka ruang kepada perbincangan berkaitan projek pembangunan di Kedah akan disensasikan. Lantas Sanusi menawarkan alasan yang Anwar sebenarnya sudah mula berlembut. Dalam berdiplomasi pun, seboleh-bolehnya panglima perang PAS itu nak menang juga.

“Alhamdulillah, saya ucap terima kasih kepada Yang Amat Berhormat perdana menteri kerana telah mula berlembut dan membuka pintu kepada sebarang perundingan berkaitan dengan projek-projek ekonomi,” katanya pada sidang media selepas persidangan DUN Kedah di Alor Setar, Khamis lalu. Terdahulu, semasa menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Sultan Kedah di persidangan itu, Sanusi berkata kerajaan negeri memohon sokongan kerajaan persekutuan dalam pembangunan Pelabuhan Laut Dalam Sanglang dan pembangunan Kedah Aerotropolis yang dianggapnya penting untuk membantu memperkasakan negara di pentas geopolitik.

Sebelum ada yang naik semangat dengan perkembangan terbaru ini, sebenarnya Sanusi tidak mengadakan pertemuan dengan perdana menteri pada hari berkenaan, sebaliknya sekadar mengadakan sidang media. Apabila kedua- duanya bertemu nanti, itu menuntut coretan berbeza kemudian hari ketika tutur kata dan bahasa tubuh kedua-duanya bakal menarik minat ramai.



Kebetulan, pada hari sama minggu lalu itu, Anwar berada 6,522km jauhnya dari ibu negara ketika sedang memenuhi jadual hari terakhirnya di Canberra dalam rangka lawatan rasmi pertamanya ke Australia atas jemputan Perdana Menteri Australia Anthony Albanese dan mengetuai delegasi Malaysia ke dua program utama — Mesyuarat Pemimpin Tahunan Malaysia-Australia dan Sidang Kemuncak Khas Asean-Australia.

Kedua-dua Sanusi dan Anwar mempunyai sejarah perang mulut yang panjang – dari sebelum PRU15 lagi yang didahului kemuncaknya dalam PRN enam negeri pada 12 Ogos 2023 dan kemudian membawa kepada PRK Pulai/Simpang Jeram pada 9 Sept 2023, PRK Pelangai pada 7 Okt 2023 dan PRK Kemaman pada 2 Dis 2023. Malah, Anwar menyaman Sanusi pada 13 Dis 2022 berhubung ucapan berbaur fitnah mengaitkannya dengan perlakuan tidak bermoral dalam satu kempen ceramah Jelajah PN Best Tambun.

Masakan kita boleh mudah lupa bagaimana Sanusi memperlekehkan Anwar dalam ceramah perdana PRK Pelangai di Dataran Purnama, Simpang Pelangai, Bentong pada 24 Sept 2023 apabila menyifatkan penampilan perdana menteri pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) Ke-78 di New York pada 22 Sept sebagai “hambar dan gagal mendapat perhatian pemimpin dunia”.

“Bezanya masa PM9 (Ismail Sabri Yaakob) berucap (pada 24 Sept 2022) orang ramai tetapi masa PM10 (Anwar) berucap di UNGA orang tak ada…yang ada pun delegasi Malaysia sahaja. Kenapa tak ada orang? Sebab orang luar pun tahu dia kuat membohong, daripada dengar lebih baik keluar. Sebagai rakyat Malaysia, kita patut malu kerana ketika berucap di UNGA orang tak mahu dengar,” katanya.



Dakwaan Sanusi itu bagaimanapun ditempelak Menteri Luar Zambry Abdul Kadir dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Amran Mohamed Zin yang memaklumkan bahawa ucapan Anwar itu mendapat reaksi positif ramai kalangan diplomat yang memuji pendirian dan ketegasan Malaysia. Tidak sekadar ucapan di PBB itu, malah Sanusi turut menyindir penampilan Anwar ketika menyampaikan khutbah Jumaat di Islamic Cultural Centre of New York (ICCNY) pada 23 Sept 2023.

“Khutbah itu rukun, kalau bukan rukun, rasanya tak ada yang nak dengar di masjid itu,” katanya. Barangkali Sanusi boleh dimaafkan kerana itu cakap-cakap politiknya, tidak terkecuali ketika kopiah putih menyerkup kepalanya. Jarang kita mendengar ada sesiapa yang memperlekehkan khutbah Jumaat yang isinya tidak pernah mendorong kepada kebencian. Tapi lain pula halnya dengan Sanusi yang mudah “naik syeikh” oleh sorakan bersemangat audiensnya di pentas ceramah dan hilai-ketawa terhadap jenaka yang sering dibawanya.

Mungkin kita boleh andaikan apa yang dirasakan oleh Sanusi terhadap Anwar adalah sama dengan apa yang perdana menteri pendam terhadap menteri besar Kedah itu. Pernah dalam satu sidang Dewan Rakyat pada 6 Jun 2023, Anwar menyentuh persoalan adab untuk menerangkan mengapa beliau tidak bertemu Sanusi berbanding dengan menteri besar negeri lain yang ditadbir oleh PN. Sepanjang enam bulan di Putrajaya, kata perdana menteri, sudah empat kali pertemuan diadakan dengan Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob dan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar pada waktu itu.

“Kalau soal pertemuan, saya bertemu dengan MB Kelantan dah empat kali. Dengan MB Terengganu empat kali. MB Perlis (pun sama) dengan kebanyakan (pertemuan), diluluskan sekali peruntukan yang diminta. Itu kerana ditanya dengan sopan dan tahu cara beradab, antara hubungan negeri dan persekutuan,” katanya dalam sesi soal jawab perdana menteri (PMQT) kepada soalan tambahan Afnan Hamimi Taib Azamudden(PN-Alor Star) yang bertanya mengapa sehingga waktu itu belum ada pertemuan dengan MB Kedah.



Kemudian, dalam Ceramah Mega Madani di Sungai Ara, Bayan Lepas pada 5 Ogos 2023, Anwar mengulangi jika menteri besar Kedah itu menulis sehingga 30 surat kepadanya sekalipun untuk meminta pertemuan, beliau tidak akan melayaninya atas sebab sama.

“Dia mengutus tiga surat. Jika dia tulis 30 surat sekalipun, saya tidak peduli kerana dia tidak tahu adab dan gemar menghina orang,” kata Anwar sambil menambah bahawa beliau akan memberi respons dengan cara baik jika beliau sendiri disantuni dengan cara sama. “Jika kamu bercakap dengan beradab, saya juga akan menjawab dengan beradab.”

“Menteri besar Perlis datang kepada saya kerana mereka tidak boleh membayar gaji, saya tambah sedikit peruntukan. Menteri besar Kelantan mohon bantuan untuk bencana banjir dan kita bantu mereka,” katanya lagi.

Jika seperti dinyatakan Sanusi Khamis lalu bahawa PMX sudah membuka ruang perbincangan antara kedua-duanya, itu membayangkan bukannya Anwar sudah berlembut, sebaliknya Sanusi dirasakan kini lebih bersopan dan tahu cara beradab. Apa pun, Sanusi harus akui hubungan baik kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri penting dalam memacu pembangunan negeri dan negara. Kemesraan pemimpin peringkat negeri dengan pemimpin negara hanya akan mencetuskan situasi menang-menang.



Apabila dibelek-belek tulisan sebelumnya, ini baru kali pertama saya mencoret sesuatu yang positif mengenai Sanusi – dan harus ia di luar tabii juga. FMT

Baguslah tu Sanusi

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET



Rayuan jangan boikot Starbucks, netizen ‘sekolahkan’ Vincent Tan

Toshiba bakal muflis?

Ajai tolak berduet dengan Nourul, dah tak ada rasa katanya,

Elly menggigil dicabul ustaz

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker