Konsert Taylor Swift: Tuan Ibrahim ‘sekolahkan’ Peja

Penganjuran konsert khususnya melibatkan artis luar negara tidak boleh dilihat dari segi peluang ekonomi dan pendapatan kepada negara sahaja tetapi kesannya yang lebih besar, menurut Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tuan Ibrahim berkata keuntungan ekonomi yang diraih tidak berbaloi jika ia menyebabkan “kerosakan” yang lebih besar.

“Kita menentang sebab untung katalah RM1 juta tetapi kerosakan tidak boleh dipulihkan dengan (nilai) RM1 juta…



“Kita kena jelas, jangan hanya melihat dari segi dolar dan sen tetapi perlu juga dilihat dari segi akhlak, kesan kepada remaja, bentuk persembahan yang dibuat, pergaulan bebas yang berlaku kerana kita sekarang ini dalam situasi kritikal,” katanya kepada Malaysiakini.

Antara nilai negatif menurut Tuan Ibrahim yang dipromosikan sebelum ini adalah komuniti LGBT serta pergaulan bebas.

Ahli parlimen Kubang Kerian itu tidak menamakan mana-mana selebriti secara khusus namun sebelum ini dia pernah menyuarakan bantahan serupa berhubung persembahan Coldplay di Kuala Lumpur pada November tahun lalu.

Dia mengulas kenyataan Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumum yang Malaysia gagal merebut peluang apabila terlepas untuk menjadikan negara sebagai tuan rumah bagi konsert The Eras Tour, yang membawakan penyanyi, Taylor Swift.



Kita terlepas peluang itu – Peja

Menurut Faizal, negara mengalami kerugian jika terus gagal memanfaatkan ruang yang ada untuk membolehkan artis antarabangsa mengadakan persembahan di negara ini.

Ia susulan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong yang dilaporkan berkata langkah menjadikan republik itu sebagai sebagai destinasi tunggal konsert Taylor Swift di Asia Tenggara sebagai langkah yang terbukti sangat berjaya.



Pada masa sama, Lee berkata ia bukanlah tindakan yang tidak mesra terhadap negara-negara lain di rantau berkenaan.

Untuk rekod, konsert The Eras Tour Taylor Swift akan diadakan selama tiga malam berturut-turut di republik berkenaan mulai 5 Mac lalu.

‘Jangan abai bakat tempatan’

Menyifatkannya pandangan Faizal sebagai bersifat peribadi dan tidak mewakili Bersatu, Tuan Ibrahim sekali lagi menegaskan PAS bukan semata-mata menentang persembahan atau konsert.



“Tetapi apa yang kita tentang adalah nilai yang dibawa, apakah nilai positif bagi rakyat atau nilai negatif bagi rakyat?” soalnya.

Mengulas lanjut, dia berkata kerajaan tidak perlu terlalu menyanjung artis luar negara sebaliknya turut membangunkan bakat tempatan, dengan membangkitkan kumpulan nasyid Raihan yang sebelum ini pernah mengadakan persembahan di banyak negara luar.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker