Hidayah saat sedang mabuk
Hidayah saat sedang mabuk
“Bunuh diri bukan satu cara penyelesaian malah ia satu permulaan kepada seksaan. Banyakkan berfikir kepada Tuhan, mohon agar dilindungi daripada segala musibah yang melanda. Perbanyakan doa kepada-Nya agar ditunjukkan jalan yang benar serta diberi kekuatan dan ketabahan dalam meneruskan perjalanan hidup ini.”
Telefon jenis Blackberry masih di tangan, berulang kali aku membaca khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Abang Roslim. Kata-kata itu telah mengubah keputusanku – terjun dari tingkat 11!
Ternyata mesej terakhir yang ku hantar kepada Abang Roslim, antara kawan Melayu yang paling rapat denganku, menghalang aku meneruskan niat tersebut.
“Allah! kalau betul engkau Tuhan yang esa, bantulah aku dan tunjukkanlah aku jalan yang benar. Aku tidak lagi mampu berharap pada tuhanku sendiri, kerana dia sanggup biarkan diri aku sendiri dalam masalah ini. Aku bukan umatmu, aku bukan hambamu, tapi sekiranya engkau dapat membantu aku, aku akan menganut agamamu.”
Ucapan itu aku ulang beberapa kali, sehingga aku tenggelam dalam tangisan sendiri. Puas! Terasa beban yang menghentak fikiranku sedikit terlerai.
“Kalau betul Tuhan Abang Roslim dan Tuhan yang disembah oleh seluruh umat Islam seluruh dunia ini benar wujud dan Islam agama terbaik di dunia ini, Dia pasti menolong aku. Dia pasti tidak akan membiarkan aku sendirian menghadapi masalah ini, sepertimana tuhan yang aku ikuti sebelum ini,” hati ini terus berkata-kata.
Dilahirkan di Pulau Pinang dan diberi nama Jocelyn Cheng, aku adalah penganut agama Buddha, agama warisan keluarga. Namun dalam roda perjalanan kehidupanku, dalam taat kepada tuhan, aku terus diuji.
Aku mula merantau ke Kuala Lumpur bermula tahun 2008 dan dari situ aku mula bergaul dengan masyarakat berbilang kaum di ibu kota termasuk abang Roslim Abu.
Kehidupan aku tenang dan bahagia sekali. Kerja pun stabil, kawan-kawan semuanya memahami, keluarga di Pulau Pinang pun tidak risau dengan keadaanku kerana mereka tahu, aku gembira dengan hidup sebagai perantau, lebih berdikari.
Namun bak kata orang, hidup tak selalu indah, langit tak selalu cerah. Pada Ogos 2011, syarikat tempatku bekerja mula mengalami masalah dan terpaksa ditutup. Seluruh pekerja termasuk aku diberhentikan. Saat kesukaran dalam hidupku bermula. Semuanya berlaku sekelip mata.
Ekoran tiada kerja, aku mula kehilangan tempat tinggal. Tiada lagi penginapan hostel milik syarikat. Ansuran kereta yang biasanya dibayar melalui skim potongan gaji juga sudah tiga bulan tidak berbayar. Aku buntu, tidak tahu apa yang harus dilakukan. Ingin mencari kerja baharu, bukannya mudah.
Aku hilang akal seketika. Keseorangan menghadapi segala permasalahan. Memberitahu keluarga? Tidak sekali. Selagi boleh hadap sendiri, aku tidak akan menyusahkan orang lain.
Tuhan? Ya, aku amat memerlukan pertolongannya saat ini. Sebulan berada dalam kesengsaraan, fikiranku makin kusut. Hanya satu jalan penyelesaian. Bunuh diri!
Itu keputusan mudah dan singkat untuk lari daripada segala masalah hidup. Namun sebelum segala-galanya berakhir, penderitaan yang aku lalui aku kongsi bersama Abang Roslim dengan hanya menghantar mesej kepadanya. Hasilnya, dia membalas semula. Ternyata mesej yang ku terima mampu mengubah keputusanku.
Selepas menjerit, meraung memohon kepada tuhan, ada kalanya aku seolah-olah mencabar tuhan pada ketika itu. Aku langsung tidak rasa bersalah. Apa yang aku rasa, aku ingin bebas, aku ingin tenang daripada segala kekusutan ini. Akhirnya, aku terlena dalam tangisan.
Aku masih disayangi!
Keesokan harinya, berlaku satu keajaiban, tuan rumah menelefon aku memberitahu dia mengizinkan aku tinggal di rumah itu sebulan sahaja lagi, walaupun aku telah mendapat amaran untuk meninggalkan rumah itu kerana gagal membayar sewa.
Dalam pada aku gembira dengan perkhabaran tersebut, petangnya pula, aku menerima khabar gembira, sebuah syarikat yang aku pernah memohon kerja sebelum ini menyuruh aku datang temu duga.
Dalam tidak sedar, hidupku kembali pulih. Aku seolah-olah dapat bernafas kembali. Aku lega, kini hidup aku kembali normal, dapat kerja baru, ansuran kereta pun berjalan lancar malah dapat menyewa dengan aman.
Namun, apabila aku seronok dengan pertolongan daripada Tuhan, aku mula lupa akan nikmat itu daripada-Nya. Aku lupa akan janjiku kepada-Nya iaitu untuk mengabdikan diri kepada-Nya jika Dia menolong aku. Aku lupa semua itu kerana lemas dalam nikmat yang diberikan!
Selang beberapa bulan daripada peristiwa tersebut, Januari 2012, aku pulang ke Penang untuk menyambut Tahun Baru Cina bersama keluarga. Hari raya kali ini cukup seronok buatku.
Seperti kebiasaan acara ‘makan besar’ sering dinanti-nantikan. Apatah lagi hidangan pada malam itu turut menyediakan minuman keras juga dituruti dengan bermain judi bersama-sama.
Setelah beberapa botol minuman keras itu ku teguk, aku mula merapu. Bercakap yang bukan-bukan. Dalam keadaan pening-pening lalat, entah kenapa aku meluahkan hasrat memeluk Islam kepada abang angkat aku, Ananda Wong.
“Tangan pegang rokok, mulut minum arak dan sedang berjudi, kau kata nak masuk Islam? Gila ke mabuk ni?,” itu jawapan yang ku terima.
Namun dalam keadaan sedemikian, tidak sedikit pun kata-kata tersebut mengguris hatiku. Tetapi dalam hati terus berkata-kata,
“Kalau esok aku dapat bangun pagi, aku akan masuk Islam.”
Keseronokan malam berlalu dan esoknya seawal jam tujuh pagi aku terjaga dari tidur. Dalam keadaan terpisat-pisat, aku mengingati semula setiap kata-kataku malam tadi. Biasanya, kalau aku tidur jam 4 pagi, agak mustahil untuk aku bangun seawal ini.
“Apa yang dah aku lakukan!”.
Aku tahu ini semua perancangan Tuhan untuk mengingatkan sekali lagi kepadaku tentang janjiku kepada-Nya tatkala kesusahan menghimpit aku. Aku lupa janji-janji tersebut. Aku lupa akan kebesaran dan pertolongan-Mu. Aku lupa Engkau Tuhan yang Esa.
Saat itu perasaan bersalah mula menyelebungi diri. Terasa kerdil diri ini di hadapan Tuhan. Manusia yang pandai berjanji namun mungkir pada janji bila kesenangan diberi. Jenis manusia apakah aku ini?
Menebus segala janji-janjiku kepada-Nya, tanpa pengetahuan sesiapa, aku ke Jabatan Agama Islam Selangor, cawangan Shah Alam, untuk memeluk agama yang suci ini. Berkalamkan
“Aku bersaksi tiada Tuhan selain Allah dan nabi Muhammad s.a.w itu pesuruh Allah”, seluruh jiwa raga ini merasai akan suatu perasaan aneh, sukar untuk digambarkan.
Gambar pertama
Selepas aku memeluk agama Islam, aku mula memuat naik gambar aku dalam keadaan bertudung buat pertama kalinya di laman sosial, facebook. Dan ini SMS pertama yang ku terima daripada kakak sulungku.
“Lu gilakah? Kenapa balut kepala lu macam ni?”
Aku berterus terang kepadanya bahawa aku sudah memeluk agama Islam. Ternyata mesej ku tidak lagi berbalas!
Selama dua bulan aku seakan sebatang kara kerana keluarga langsung tidak menghubungiku. Aku tahu, mereka marah dengan tindakanku. Namun, aku terus memuat naik gambar aku menutup aurat setiap hari. Aku melakukannya kerana aku tahu, keluargaku selalu memerhatikan aku melalui laman sosial itu.
Pada aku, Mummy dan Daddy tiada masalah dengan keputusan aku menukar agama, kerana mereka sentiasa terbuka dalam bab beragama. Cuma, nenek sahaja tidak dapat menerima kerana baginya, masuk Islam bermaksud masuk Melayu.
Nenek tidak mahu hubunganku dengan keluarga terputus seterusnya melupakan asal bangsa saudara-saudaraku – Cina.
Syukur alhamdulillah, selepas empat bulan memeluk agama Islam, aku memberanikan diri pulang ke rumah orang tuaku. Semuanya kelihatan tenang cuma nenek meletakkan syarat tidak boleh memakai tudung untuk masuk ke rumah keluarga kami. Aku menurutinya seperti anak kecil.
Sampai depan rumah, aku tukar tudung yang melitupi kepalaku dengan skaf kepala seperti turban, dan itu juga masih menutupi auratku. Alhamdulillah, Allah mudahkan urusanku.
Keluarga dapat menerima seadanya dan kepada nenek aku memberitahu Islam tidak pernah menyuruh hubungan kekeluargaan diputuskan. Jauh di sudut hati, aku mengharapkan nenek dapat menerimaku!
Memantapkan pengislamanku, aku tidak lupa untuk mengikuti pengajian agama yang disediakan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Dari kursus fardhu ain asas dan kursus perkaderan asas, aku juga mengikuti kelas mengaji dan fardhu ain di Masjid Amaniah, Selyang baru.
Aku bersyukur, daripada seorang yang langsung tidak mengenal huruf Alif Ba Ta, kini aku mampu membaca al-Quran.
Setelah hampir setahun hidup sebagai seorang mualaf, alhamdulillah sekali lagi nikmat Allah tidak dapat aku dustakan. Tarikh 1 Mei 2013, aku Jocelyn Cheng Abdullah bernikah dengan seorang mualaf dari Sarawak, Khairil Abdullah.
Alhamdulillah, aku bersyukur kerana masih sempat untuk menghirup udara segar di bumi ini sebagai seorang Muslim di samping suami tersayang. Utv
Hidayah saat sedang mabuk
Baca Artikel Menarik:
- Pemandu dipukul mati selepas kemalangan, 5 lelaki ditahan
- Rakyat Palestin diancam kebuluran
- Mahathir cari alasan, sedar dosa hilang wilayah tak boleh dimaaf
- Cuba kau pegang kepala, bukan ekor – Netizen
- Apakah krisis dalam LTAT?
- Sarawak berkabung 2 hari atas pemergian Taib
- Surat Lembaga Pengampunan tentang Najib bukan sulit – Shafee
- Isteri Daim ahli parti Muda
- Wajah Munkar dan Nakir ketika menyoal di dalam kubur
- 3 beranak ditemui mati tergantung di kipas, suami ditahan
- Kerajaan 9 Mawla Amin dipantau PDRM
- Remaja pandu pikap ‘Transformers’ seludup ketum
- Ini sebab Pierre Andre sudah 10 tahun hidup tanpa telefon
- Fatiya Latiff beri syarat berhenti ganggu Aiman Hakim
- Mengalahkan PMX Cik B punya bodyguard
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
You must be logged in to post a comment.