Hilangnya ilmu maka berlakulah al-Harj

Hilangnya ilmu maka berlakulah al-Harj

oleh Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

PENELUSURI tragedi menyayat hati yang berlaku di Semenanjung Gaza, Palestin ketika ini sangat memberi kesan khususnya kepada umat Islam.

Lebih 4,000 mangsa korban adalah kanak-kanak manakala daripada jumlah berkenaan, angka korban yang dianggarkan untuk umat Islam di Gaza adalah lebih 11,000.

Sebagai umat Islam, nasib saudara Islam di sana sememangnya perit untuk ditanggung dan keganasan dilakukan tentera rejim Zionis perlu dihentikan dengan segera, malah tindakan menyasarkan hospital adalah satu tindakan di luar batas kemanusiaan.

Peristiwa pembunuhan ini antara isyarat besar yang dinyatakan oleh Nabi SAW sebagai tanda hampirnya dunia ini dengan kiamat. Menghampiri kepada saat itu, semakin banyak pembunuhan berlaku membabitkan banyak pihak.

Perkara ini semakin hari menjadi parah dengan tragedi sedemikian menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat.

Menekuni ilmu akhir zaman, walaupun kita tidak boleh secara muktamad menyatakan bahawa apa yang berlaku di Palestin adalah petanda besar akhir zaman, namun ia adalah satu peristiwa yang boleh dijadikan rujukan.

Daripada Abdullah bin Mas’ud, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Menjelang kiamat nanti, hari banyak dipenuhi dengan al-Harj. Saat itu ilmu menjadi hilang dan kejahilan tersebar di mana-mana”. Abu Musa berkata: “Al-Harj bermaksud pembunuhan menurut dialek orang Habsyi.” (Hadis Riwayat al-Bukhari Kitab al-Fitan, hadis no 7067)

Hadis ini menjelaskan maksud al-Harj yang merujuk kepada pembunuhan yang berlaku pada masa tertentu dan di antara sebabnya adalah tersebarnya kebodohan serta hilangnya ilmu.

Memetik nukilan Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir bahawa hadis ini menjelaskan maksud al-Harj yang merujuk kepada pembunuhan yang berlaku pada masa tertentu dan antara sebabnya adalah tersebarnya kebodohan serta hilangnya ilmu.

Dalam riwayat lain, daripada Abdullah dan Abu Musa RA, mereka berkata, Nabi SAW bersabda maksudnya: “Apabila hampirnya berlaku kiamat, akan terjadi hari-hari berlakunya kejahilan, diangkat daripadanya ilmu dan berleluasanya al-Harj. Al-Harj adalah pembunuhan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari Kitab al-Fitan, hadis no 6538)

Dalam hadis berikutnya, daripada Abu Hurairah RA, baginda Nabi SAW bersabda: “Tidak akan berlaku kiamat sehingga terzahirnya fitnah, banyaknya penipuan, pasar berdekatan, masa semakin singkat, banyaknya al-Harj. Telah berkata: Apa itu al-Harj? Baginda menjawab: Pembunuhan.” (Hadis Riwayat Al-Albani. Silsilati al-Shahih, hadis no. 2772)

Gambaran pertama hadis ini merujuk kepada kejahilan yang jelas berlaku bermula pada penghujung pemerintahan kerajaan Uthmaniyah iaitu apabila hampir tiada yang mampu membaca dan menulis sehingga mencapai kemuncak kepada kejahilan manusia. Pada ketika itu hanya sedikit yang mendirikan solat dan hampir tiada yang boleh membaca al-Quran, sebelum umat Islam mula bangkit kembali serta ajaran Islam mula berkembang.

Gambaran pembunuhan pula merujuk kepada banyaknya pembunuhan sehingga seseorang itu akan membunuh seseorang yang lain tanpa mengetahui sebab dia membunuh dan bagi yang dibunuh juga tidak mengetahui kenapa dia dibunuh.

Perkara ini merujuk kepada pembunuhan tanpa niat yang kukuh.

Menyentuh tentang Palestin pula, Syam dahulu adalah wilayah besar yang meliputi Palestin, Jordan, Syria dan Lubnan.

Antara kota utama wilayah Syam ialah Baitul Maqdis di Palestin dan Dimasyq di Syria.

Bagi umat Islam, mengenali semua nama tempat ini adalah cukup penting untuk memahami banyak hadis menyebut mengenainya terutama berkaitan peristiwa besar yang akan berlaku pada akhir zaman.

Memetik nukilan Ketua Unit Hadis dan Kajian Akidah (Inhad) Universiti Islam Selangor (UIS), Dr Khafidz Soroni, bahawa permulaannya mungkin ditandai apabila orang Yahudi dengan bantuan Britain menubuhkan negara haram Israel di atas bumi Palestin pada 1948.

Malah, sejak itu, kerajaan haram itu terus melaksanakan projek peluasan tanah jajahannya sedikit demi sedikit. Menjelang 1967, Israel menguasai hampir 80 peratus tanah Palestin dan mengenakan kawalan ketat ke atas Baitul Maqdis, tempat suci ketiga umat Islam sehingga mereka kini tidak lagi bebas memasukinya. Banyak kezaliman dan keganasan yang dilakukan oleh kerajaan haram Israel yang belum pernah disaksikan oleh sejarah bangsa Yahudi itu sendiri. Lebih menyedihkan, jika kita melihat aplikasi peta dunia, nama Palestin kini sudah tidak lagi wujud dan lokasinya digantikan dengan nama Israel.

Namun, rakyat Palestin tidak pernah duduk diam melihat semua penindasan dan kekejaman ini. Sudah sekian banyak jiwa yang terkorban dan gugur syahid dalam menentang penjajahan itu, meskipun mereka hanya bersenjatakan batu. Menyaksikan kegigihan dan kekentalan perjuangan rakyat Palestin ini, elok kita renungi beberapa hadis yang penulis kira mungkin mempunyai kaitan cukup signifikan dengan apa yang berlaku di sana.

Antaranya, hadis Abu Umamah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Ada satu kelompok daripada umatku yang sentiasa zahir di atas agama ini dan mampu mengalahkan musuh mereka. Tidak akan dapat memudaratkan mereka sesiapa yang menentang mereka melainkan kesempitan hidup yang menimpa mereka, sehinggalah tiba perintah Allah (hampirnya Hari Kiamat) dan mereka tetap seperti demikian.” Sahabat bertanya: ‘Wahai Rasulullah, di manakah mereka itu? Rasulullah SAW menjawab: “Di Baitul Maqdis dan di pinggir-pinggir Baitul Maqdis.” (Riwayat Ahmad dan al-Tabarani. Hadis hasan)

Dalam hadis Abu Hurairah RA pula diriwayatkan Nabi SAW bersabda: “Ada satu kumpulan daripada umatku yang sentiasa berperang di pintu-pintu Dimasyq dan kawasan sekitarnya serta di pintu-pintu Baitul Maqdis dan kawasan sekitarnya. Tidak akan dapat memudaratkan mereka pemulauan orang yang memulaukan mereka. Mereka tetap zahir di atas kebenaran sehinggalah berlakunya Hari Kiamat.” (Riwayat Abu Ya’la dan al-Tabarani dengan sanad daif)

Qurrah bin Iyas RA pula meriwayatkan, sabda Rasulullah SAW: “Sekiranya binasa ahli Syam, maka tiada lagi kebaikan pada kamu sekalian. Ada satu kelompok daripada umatku yang sentiasa diberikan pertolongan. Tidak akan dapat memudaratkan mereka sesiapa yang membiarkan mereka sehinggalah berlakunya Hari Kiamat.” (Riwayat al-Tirmizi, katanya: Hasan sahih)

Apa-apa pun sebelum saat itu tiba, setiap umat Islam wajib mempunyai sensitiviti dan mengambil berat terhadap apa berlaku kepada saudara Islam mereka yang ditindas, dianiaya dan berada dalam kesusahan. Umat Islam wajib menggemblengkan sedaya upaya mereka untuk memberikan pertolongan, walaupun sekurang-kurangnya dengan berdoa, bermunajat dan menghulurkan bantuan kewangan. Rasulullah SAW bersabda: “Perumpamaan orang Mukmin pada sifat saling mencintai, mengasihi dan menyayangi mereka itu adalah umpama satu jasad. Apabila satu anggota tubuh berasa sakit, maka seluruh jasad itu akan ikut berjaga malam dan berasa demam kerananya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) HM

Hilangnya ilmu maka berlakulah al-Harj

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Siti Nordiana guna bomoh dalam GV?

Mahathir jawab berdepan kenapa tak suka Khairy

Suhaimi Saad ditidurkan di ICU

Bogel di surau , pasangan dipenjara

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker