Siap sedia untuk sebarang kemungkinan – Tok Mat
Siap sedia untuk sebarang kemungkinan – Tok Mat
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Batalion Malbatt 850-11 Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang akan berlepas ke selatan Lubnan bagi menyertai misi keamanan PBB di negara itu agar bersiap sedia untuk “sebarang kemungkinan”.
Gesaan itu di tengah konflik yang kian memburuk di Gaza yang berdekatan dengan Lubnan.
Mohamad berkata demikian ketika acara penghantaran kumpulan pertama Batalion Malbatt 850-11 di Pangkalan Udara TUDM di Subang, Selangor hari ini.
Diketuai Kolonel Burhan Saguni, Malbatt 850-11 dianggotai 854 pegawai dan tentera ATM, 30 tentera Brunei dan seorang pegawai Kementerian Pertahanan.
Kontinjen ini akan menggantikan Malbatt 850-10 yang telah bertugas di Lubnan sejak kira-kira setahun lalu.
“Penugasan kali ini lebih mencabar ekoran konflik Israel-Gaza…yang mengakibatkan ribuan nyawa terkorban dan kemusnahan harta benda.
“Konflik bergolak ini secara langsung memberi kesan kepada situasi keselamatan di selatan Lubnan, yang tentunya akan menyukarkan pengoperasian kontnjen Malbatt 10 dan 11,” katanya, sambil menasihatkan para anggota untuk mengekalkan profesionalisme mereka.
“Saya harap saudara-saudari dalam kontinjen akan sentiasa berwaspada dan siap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan apabila menggantikan Malbatt 850-10.
“Kekalkan sikap berkecuali dan sentiasa utamakan keselamatan serta mematuhi peraturan dan prosedur yang ditetapkan Unifil (Pasukan Interim PBB),” katanya lagi.
Mohamad memberi jaminan anggota Malbatt 850-10 dilaporkan di selatan Lubnan dilaporkan dalam keadaan selamat, walau di tengah ketegangan di Gaza.
Malaysia menghantar pasukan tentera secara tahunan ke Lubnan sebagai penglibatan dalam Unifil yang bermula pada Januari 2007, susulan perang di Lubnan pada tahun sebelumnya.
Kontinjen Malaysia yang dinamakan sebagai Malbatt 850 (Malaysian Battalion 850) merupakan kontinjen keenam terbesar dalam Unifil dengan 833 anggota.
Malaysia telah terlibat dalam 37 misi PBB, dengan lima daripadanya masih berjalan. Selain misi pengaman di Lubnan, Malaysia turut menjadi pemerhati PBB di Congo, Sudan, Sahara barat dan Yaman.
Pangkalan Unifil di selatan Lubnan telah beberapa kali diserang roket dan artileri sejak beberapa minggu lalu, dengan beberapa anggota dilaporkan cedera.
Unifil berkata pihaknya sedang menyiasat serangan itu.
Mohamad berkata penglibatan Malaysia dalam misi keamanan menunjukkan pengiktirafan antarabangsa terhadap profesionalisme dan kewibawaan ATM.
Dia berpesan agar para anggota menjalankan tanggungjawab mereka bagi membuktikan Malaysia komited dalam usaha kemanusiaan dan keamanan.
“Kepada ahli keluarga, saya berharap semua turut mendoakan kesejahteraan dan keselamatan mereka sepanjang di bumi Lubnan,” katanya lagi. Mk
Siap sedia untuk sebarang kemungkinan – Tok Mat
Baca Artikel Menarik:
- Mahkamah ketepi pendakwaan terhadap Inspektor Sheila
- Jana Wibawa: Adam Radlan akan berdepan tuduhan tambahan
- Lebih ramai sokong Anwar jika PN enggan runding
- Jaguar ‘reban ayam’ berharga RM576,000
- Tauke penipu bebas beroperasi, cuti sakan
- Kawan anak mengurat kerana disangka kakak
- Malaysia terima 3 notis daripada Kedutaan AS kerana tegas perjuang hak Palestin
- Polis cari ‘Dato Mohamad’
- Ustazah Asma tegur dialog terlampau drama TV3 (Video)
- Tular adegan ranjang filem Mar Rak , kru produksi dipanggil
- Janna menantu jahat di Tanah Suci
- Bapa syaitan mahu perang, tolak gencatan senjata
- Netizen kecam Mas Khan sambut Halloween, siap jadi ‘pondan’ (Video)
- Tengku Zafrul jawab tuduhan Hishammuddin
- Shahidan, Annuar dilantik AJK PAS Pusat
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
You must be logged in to post a comment.