Perang Palestin-Israel: Israel terpaksa benarkan bantuan ke Gaza melalui Mesir
Israel akan membenarkan bantuan kemanusiaan memasuki Semenanjung Gaza dari negara jiran Mesir, sambil mengekalkan pengepungan di wilayah Palestin.
Kesan buruk daripada sekatan Israel dan pengeboman berterusan ke atas Gaza, yang menempatkan 2.4 juta orang, menjadi kebimbangan utama dalam kalangan sekutu negara itu dan menjadi bahan perbincangan utama ketika lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden ke Israel selama beberapa jam semalam.
“Berdasarkan permintaan Presiden Biden, Israel tidak akan menggagalkan bekalan bantuan kemanusiaan melalui Mesir,” kata pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, mengumumkan keputusan Kabinet.
Kenyataan itu menyatakan bantuan kepada orang awam di selatan Gaza akan dibenarkan “selagi bekalan ini tidak sampai ke Hamas”, yang memerintah wilayah itu.
Tiada jadual waktu penghantaran diberikan, tetapi pengumuman itu disambut baik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Banyak nyawa bergantung pada perkembangan ini,” ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus menulis di X, sebelum ini Twitter.
Penduduk Gaza berdepan kekurangan yang teruk kerana wilayah itu disekat sepenuhnya berikutan serangan 7 Oktober oleh pejuang Hamas ke atas komuniti dan pos tentera Israel.
Peperangan sejak 7 Oktober lalu meragut kira-kira 1,400 nyawa di Israel dan 3,478 di Gaza, menurut pegawai kedua-dua pihak.
Sebelum ini Israel memberi amaran ia tidak akan membenarkan bantuan ke Gaza sehingga tebusan dibebaskan.
Pengumuman Israel itu dibuat ketika Biden menamatkan lawatannya, yang mana beliau mengumumkan bantuan AS$100 juta (RM474.45 juta) kepada rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat yang diduduki.
“Rakyat Gaza memerlukan makanan, air, ubat-ubatan dan tempat tinggal,” kata Biden kepada pemberita pada akhir lawatannya.
Presiden AS itu mengakui bantuan Gaza akan menghadapi “pemeriksaan” dan perlu dijauhkan daripada Hamas, tanpa menyatakan sama ada yang beliau maksudkan adalah sayap bersenjata, pemimpin politik, atau kementerian kerajaan yang dikendalikan oleh kumpulan itu.
Biden juga berjanji bantuan ketenteraan untuk membantu Israel mengekalkan sistem pertahanan udara Iron Dome dan berkata beliau akan meminta Kongres AS minggu ini untuk pakej sokongan pertahanan yang “belum pernah berlaku sebelum ini” untuk Israel.
Bagaimanapun di sebalik mesej solidariti Biden yang kuat kepada Israel, pemimpin AS itu juga mengingatkan supaya tidak bertindak terlalu jauh dalam menuntut pembalasan.
“Keadilan mesti dilakukan. Tetapi saya mengingatkan bahawa ketika anda merasakan kemarahan itu, jangan termakan olehnya,” katanya, mengakui kesilapan dilakukan AS selepas serangan 11 September 2001 oleh Al-Qaeda. – AFP
Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda
Baca Artikel Menarik:
- Pengarah syarikat nasi kandar direman SPRM
- Ditikam 40 kali kerana kacau isteri rakan
- Tony Fernandes dikecam netizen hadir mesyuarat tanpa baju sambil ‘massage’
- Polis sahkan pengasas bersama MYAirline Goh Hwan Hua ditahan
- Mia Khalifa dipecat Playboy kerana sokong Palestin
- Anwar cabar Hamzah bagi bukti MP Kuala Kangsar diugut sokong kerajaan
- Budak tercampak keluar dari kereta dirempuh 2 kereta (Video)
- Dina sebak dengar doa Angeline Tan (Video)
- Israel cuba menipu dunia dakwa Jihad Islam dalang serangan hospital Gaza
- Skandal mata wang 1993: Ku Li salur maklumat pada Kit Siang
- 500 rakyat Palestin maut dalam serangan rejim Zionis di hospital Gaza
- Kereta McLaren Artura bernilai RM1 juta terbakar ketika pandu uji [VIDEO]
- Zii Jia, Tze Yong naik ranking dunia
- Bomoh rogol remaja kononnya mahu buang ‘pendamping’
- Man Raja Lawak dedah cara turun berat badan dalam 3 bulan saja
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Pelakon Kacak Didakwa Hamilkan Wanita
Roslan Madun menangis lihat pergaduhan keluarga ND Lala (Video)
You must be logged in to post a comment.