Banyak aduan diterima, Agong titah perlu lebih efektif selesaikan masalah rakyat

Banyak aduan diterima, Agong titah perlu lebih efektif selesaikan masalah rakyat

Kembara Kenali Borneo yang diilhamkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, memberi peluang untuk Seri Paduka membina jambatan silaturahim antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Al-Sultan Abdullah bertitah, kembara itu diilhamkan semata-mata untuk mengenali rakyat di Sabah dan Sarawak secara lebih dekat dengan mengambil pendekatan mendampingi serta menyantuni rakyat.

“(Kembara ini merupakan) kesempatan menghulur atau membina jambatan baharu yang tidak ada sungai. Jambatan itu adalah jambatan silaturahim. Kehadiran saya, keluarga saya, rombongan saya adalah seolah-olah mewakili sebahagian daripada rakyat di Semenanjung.

“Saya mewakili Raja-Raja Melayu menghulur tangan kepada semua sebagai satu keluarga negara Malaysia yang kita cintai ini,” titah Seri Paduka pada Majlis Penutup dan Santapan Kerajaan Negeri Sarawak sempena Kembara Kenali Borneo, di sini, tengah malam tadi.

Al-Sultan Abdullah bertitah, sambutan dipamerkan rakyat di Sabah serta Sarawak di sepanjang jalan dan waktu yang dilalui konvoi kembara itu adalah di luar jangkaan, sekali gus akan menjadi kenangan manis buat Seri Paduka sekeluarga.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah menitahkan wakil-wakil rakyat khususnya yang mewakili kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak, supaya terus mendampingi rakyat bagi memahami keperluan mereka secara lebih mendalam.

Al-Sultan Abdullah bertitah, sepanjang kembara itu berlangsung, banyak aduan serta surat permohonan diterima daripada penduduk yang belum menikmati keperluan-keperluan asas seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya yang baik.

Seri Paduka juga bertitah, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu memainkan peranan bersama yang lebih efektif untuk menyelesaikan masalah rakyat.

Yang di-Pertuan Agong memberi jaminan semua aduan yang diterima daripada rakyat di sepanjang kembara itu akan diberikan perhatian sewajarnya serta dimajukan kepada pihak berwajib secepat mungkin.

Al-Sultan Abdullah yakin dengan komposisi wakil-wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak yang ada dalam Kerajaan Persekutuan, segala keperluan kedua-dua negeri itu akan dapat dipenuhi.

Seterusnya, Al-Sultan Abdullah bertitah, Kembara Kenali Borneo menjadi kunjungan terakhir Seri Paduka ke Sabah dan Sarawak sebagai Yang di-Pertuan Agong sejak ditabalkan pada 2019.

Yang di-Pertuan Agong bertitah, sepanjang tempoh itu, rakyat di Sabah dan Sarawak telah memberi sambutan hebat bukan hanya ketika kembara berkenaan tetapi juga setiap kali Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, berkunjung ke Bumi Kenyalang serta Negeri di Bawah Bayu itu.

“Kunjungan ini adalah kunjungan terakhir saya sebagai Yang di-Pertuan Agong. Justeru pada malam yang penuh bermakna ini, saya ingin menzahirkan ucapan selamat tinggal dan terima kasih kepada seluruh rakyat Sabah serta Sarawak atas segala memori manis yang akan terpahat segar dalam sanubari saya,” titah baginda.

Majlis santapan itu turut dihadiri Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Rombongan Al-Sultan Abdullah melengkapkan Kembara Kenali Borneo bagi Sarawak yang merangkumi jarak sejauh 1,194 kilometer dengan membuat perjalanan ke Telok Melano, hari ini, tapak permulaan bagi Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak, sebelum kembali ke Kuching dan berangkat pulang ke Kuala Lumpur. BH

Banyak aduan diterima, Agong titah perlu lebih efektif selesaikan masalah rakyat

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Pelakon janda sondol suami orang

Allah nak tarik nikmat balik kejap saja – Syafiq Amzah

Ruhainies ditegur pakai seksi nampak lurah

Nur Nilam dedah video intim Azlan Komeng

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker