Hari Asyura, kelebihan Puasa 9,10,11 Muharam

Hari Asyura, kelebihan Puasa 9,10,11 Muharam

Antara amalan sunat yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam bulan Muharram adalah berpuasa pada 10 Muharram atau lebih dikenali dengan puasa ‘Asyura.

Tahukah anda apakah itu Hari Asyura dan bagaimanakah tatacara yang paling baik untuk melaksanakan puasa sunat ini?



Berikut dikongsikan lebih lanjut untuk makluman bersama.

Kelebihan Bulan Muharram

Di antara kelebihan bulan ini seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran adalah berdasarkan firman Allah S.W.T yang berikut:

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ



Maksudnya: Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah S.W.T adalah sebanyak dua belas bulan sebagaimana yang terdapat di dalam kitabullah (Lauh al-Mahfuz) pada hari diciptakan langit-langit dan juga bumi. Di antaranya (bulan-bulan tersebut) adalah empat bulan haram. Demikian itulah agama yang lurus maka janganlah kalian menzalimi diri kalian di dalam bulan-bulan tersebut.

Surah al-Taubah (36)

Rasulullah S.A.W telahpun memberikan penjelasan berkenaan dengan empat bulan haram tersebut dengan sabda baginda:

السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا مِنْهَا، أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلاَثٌ مُتَوَالِيَاتٌ، ذُو الْقَعْدَةِ وَذُو الْحِجَّةِ وَالْمُحَرَّمُ وَرَجَبُ مُضَرَ الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ



Maksudnya: Dalam setahun itu ada dua belas bulan dan di antaranya adalah empat bulan haram. Tiga bulan yang berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharram serta bulan Rejab yang berada di antara Jamadil Akhir dan juga Syaaban.

Riwayat al-Bukhari (184)

Justeru, dua nas di atas jelas menunjukkan bahawa bulan Muharram dimuliakan kerana ia termasuk dalam kalangan empat bulan haram yang mana diharamkan untuk berperang pada bulan-bulan haram serta ianya sangat dihormati dari sudut amalan soleh di dalamnya menjadi besar ganjarannya manakala dosa dan maksiat juga turut menjadi lebih besar di dalam bulan-bulan haram.

Puasa pada bulan Muharram adalah seafdhal puasa selepas berpuasa pada bulan Ramadhan kerana Muharram merupakan awal tahun Hijriah maka sangat digalakkan dibuka dengan amalan puasa yang merupakan amalan paling utama.



Bagi tahun 2023, tarikh Hari Asyura & Hari Tasu’a adalah seperti berikut:

PUASA TASU’A : 9 Muharram = 27 Julai 2023 (Khamis)
PUASA ASYURA : 10 Muharam = 28 Julai 2023 (Jumaat)
Puasa Hari Putih : 13, 14, 15 Muharam – 31 Julai, 1 Ogos, 2 Ogos 2023

1. Galakan Berpuasa Hari Asyura (10 Muharam)

Marilah kita memperbanyakkan berpuasa sunat pada bulan Muharram.



Disunatkan untuk berpuasa pada 9 Muharram atau pada 11 Muharram berserta dengan puasa hari ‘Asyura dengan tujuan untuk menyelisihi dan berbeza dengan golongan Yahudi.

Dari Abu Qatadah : Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW tentang puasa ‘Asyura, maka kata Baginda SAW :

أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ

Maksudnya : Aku berharap ke atas Allah agar ia dapat mengampunkan dosa setahun yang berlalu.



Riwayat Muslim (1162)

2. Galakan Puasa Hari Tasu’a (9 Muharram)

Abdullah bin Abbas RA meriwayatkan:

حِينَ صَامَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ إِنَّهُ يَوْمٌ تُعَظِّمُهُ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «فَإِذَا كَانَ الْعَامُ الْمُقْبِلُ إِنْ شَاءَ اللهُ صُمْنَا الْيَوْمَ التَّاسِعَ» قَالَ: فَلَمْ يَأْتِ الْعَامُ الْمُقْبِلُ، حَتَّى تُوُفِّيَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: Apabila Rasulullah SAW berpuasa pada Hari Asyura dan menyuruh umat Islam berpuasa pada Hari Asyura, para sahabat berkata: Ya Rasulullah, sesungguhnya ia merupakan hari yang diagungkan oleh orang Yahudi dan Kristian. Rasulullah SAW pun bersabda: Tahun depan, insya-Allah kita akan berpuasa pada hari ke-9 bulan Muharram.

Ibn Abbas berkata: Tetapi pada tahun berikutnya, Rasulullah SAW telah wafat.

(Hadis Riwayat Muslim, no. 1134)

Niat Puasa Asyura & Tasu’a 2023

i) Niat Puasa Hari Tasu’a (9 Muharram)

نَوَيْتُ صَوْم تَاسُعَاء سُنَّة لله تَعَالى

Maksud:

Sahaja aku puasa sunat Tasu’a kerana Allah Ta’ala.

ii) Niat Puasa Hari ‘Asyura (10 Muharram)

نويت صوم عشر سنة لله تعالى

Maksud:

Sahaja aku puasa sunat ‘Asyura kerana Allah Ta’ala.

Semoga apa yang dikongsi ini memberikan manfaat kepada kita semua dan selamat beramal.

ADAKAH PUASA 10 MUHARRAM PERLU DISERTAI DENGAN HARI SELEPASNYA? – Pejabat Mufti WP

Perintah Supaya Menyelisihi Yahudi

Walaupun kita digalakkan untuk berpuasa pada 10 Muharram, akan tetapi kita juga turut diperintahkan untuk mengikutinya dengan berpuasa pada hari sebelum ataupun hari selepasnya. Ini adalah bertujuan untuk menyelisihi golongan Yahudi yang hanya berpuasa pada 10 Muharram secara tunggal. Hal ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata bahawa Nabi S.A.W bersabda:

صُومُوا يَوْمَ عَاشُورَاءَ، وَخَالِفُوا فِيهِ الْيَهُودَ، صُومُوا قَبْلَهُ يَوْمًا، أَوْ بَعْدَهُ يَوْمًا

Maksudnya: Berpuasalah kalian pada hari ‘Asyura dan berbezalah dengan golongan Yahudi. Berpuasalah sehari sebelumnya ataupun sehari selepasnya.

Riwayat Ahmad (2154)

Demikian juga sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Abbas R.anhuma, kata Nabi S.A.W:

لَئِنْ بَقِيتُ إِلَى قَابِلٍ لأَصُومَنَّ التَّاسِعَ

Maksudnya: Sekiranya aku masih hidup pada tahun hadapan nescaya aku akan berpuasa pada hari yang ke 9 (Muharram).

Riwayat Muslim (1134)

Demikian juga ketika Nabi S.A.W memerintahkan untuk berpuasa pada hari ‘Asyura, maka para sahabatnya berkata: “Wahai Rasulullah S.A.W, sesungguhnya ia adalah hari yang mana golongan Yahudi dan Nasrani membesarkannya”. Maka Rasulullah S.A.W menjawab:

فَإِذَا كَانَ الْعَامُ الْمُقْبِلُ – إِنْ شَاءَ اللَّهُ – صُمْنَا الْيَوْمَ التَّاسِعَ

Maksudnya: Apabila datangnya tahun hadapan Insha Allah kita akan berpuasa pada hari yang ke sembilan.

Riwayat Muslim (1134)

Nas-nas di atas jelas menunjukkan bahawa Rasulullah S.A.W memerintahkan kepada kita untuk dilakukan juga puasa sehari sebelum 10 Muharram ataupun sehari selepasnya dengan tujuan untuk menyelisihi golongan Yahudi.

Pendapat Para Fuqaha

Berikut beberapa pendapat para fuqaha berkenaan isu mengikuti puasa hari ‘Asyura dengan berpuasa sehari ataupun selepasnya.

Sebahagian para ulama mengatakan bahawa cara mengerjakan puasa ‘Asyura itu ada tiga keadaan seperti berikut:

Berpuasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya.
Berpuasa padanya (10 Muharram) secara tunggal.
Berpuasa sehari dan selepasnya.

Manakala cara terbaik serta paling lengkap untuk melakukannya adalah sebagaimana turutan yang disebutkan oleh Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah di dalam kitabnya Zaad al-Ma’ad (2/72) dengan cara seperti berikut:

Berpuasa pada hari sebelumnya dan juga hari selepasnya.
Berpuasa pada 9 dan 10 Muharram sahaja.
Berpuasa pada 10 Muharram sahaja.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, disunatkan untuk berpuasa pada 9 Muharram atau pada 11 Muharram berserta dengan puasa hari ‘Asyura dengan tujuan untuk menyelisihi dan berbeza dengan golongan Yahudi.

Ayuh kita rebut peluang melakukan puasa sunat sempena Asyura. Semoga amalan berpuasa sunat Asyura akan menjadi penebus dosa-dosa kita setahun yang lalu.

Semoga semua amalan kita semua diterima Allah SWT.

Hari Asyura, kelebihan Puasa 9,10,11 Muharam

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Bekas suami Yasmin Hani tayang kekasih baru, lagi hot

Laporan polis terhadap Papagomo dibuat kerana memfitnah oleh Setpol Fahmi Fadzil

Farid Kamil bagi respon ‘pedas’ bila ada persoal Diana tinggalkan anak ketika pergi Festival Good Vibes

Sean Edward dituduh sebabkan kematian Nurin Najmina

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker